Terhakis Pahala Ketika Berpuasa
Wednesday, September 10, 2008
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم.. الحمدلله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف المرسلين، وعلى اله وصحبه أجمعين. أما بعد
Muqaddimah
Saban tahun menjadi kewajipan umat Islam seluruh dunia untuk menunaikan salah satu rukun Islam yang lima iaitu berpuasa dibulan Ramadhan. Alhamdulillah, ramai yang berpuasa walaupun ada segelintirnya masih merasa diri seperti bayi tidak menanggung apa-apa kewajipan dibahu. Namun begitu, dikalangan ramai yang berpuasa itu timbul lagi beberapa masalah. Ya, masalah ini sering berlaku. Mereka yang berpuasa tetapi?
Tidak menjaga lidah
Maksudnya, seseorang itu sentiasa bercakap hal tidak berfaedah hatta bulan Ramadhan sekalipun. Ini termasuklah berkata-kata dengan perkataan sia-sia ( lagho ), mengumpat, mengeji, mengutuk, mencerca dan pelbagai lagi kata-kata makian dilontarkan. Rasulullah SAW ada berpesan dalam sabdanya berbunyi :-
Daripada Abu Hurairah r.a berkata : Rasulullah SAW telah bersabda : “Berpuasa bukan hanya menahan daripada makan dan minum, tetapi berpuasa adalah menjaga daripada berkata sia-sia dan berkata-kata dengan perkara keji, apabila seseorang memakimu atau mencercamu ataupun melakukan pekerjaan orang jahil atasmu, maka katakanlah ( kepadanya ) : Sesungguhnya aku berpuasa, sesungguhnya aku berpuasa.”
( Riwayat Hakim dan Baihaqi )
Kebiasaannya sikap begini adalah kerana hasil tarbiyah selama 11 bulan. Bercakap berlandaskan nafsu bergurukan syaitan. Hobi dimasa lapang tidak dapat tidak mesti diselitkan umpatan, kutuk mengutuk sesama Islam. Sehinggalah terbawa-bawa ke bulan yang mulia. Sedarlah. Tidak kira siapa status anda, sesungguhnya Nabi Muhammad junjungan mulia tidak pernah mengajar akan hal begini ( tidak menjaga lidah ).
Mendengar Muzik Melalaikan
Perbahasan berkaitan muzik ini telah pun bincangkan oleh para ulama’ secara panjang lebar sejak zaman berzaman. Pelbagai kekhilafan telah muncul hasil perbicangan berpanjangan itu. Namun begitu, kebanyakkan ulama’ berpendapat muzik sememangnya pada asalnya harus dan akan menjadi haram jika muncul sebab-sebab mengharamkannya. Untuk lebih terperinci hal berkaitan klik di sini.
Muzik dan nyanyian itu ada yang dibenarkan dan ada pula yang dilarang. Jadi seeloknya bertepatan dengan bulan yang mulia ini mari cuba kita tarbiyahkan diri, hindarkan mendengar muzik dan nyanyian melalaikan supaya dibulan-bulan mendatang juga terus istiqamah begitu. Sungguh merugikan jika puasa hanya dihabiskan mendengar lagu-lagu demikian rupa. Alangkah baiknya mendengar alunan Al-Quran, Nasyid, Zikir dan sebagainya. Pahala pun dapat dosa terhindar. Tertarik dengan kesimpulan yang dibuat oleh Imam Al-Ghazali berkaitan hal ini, katanya :-
“Dengan demikian jelaslah bagi kita bahawa sesungguhnya alasan pengharaman alat-alat muzik itu tidak semata-mata kerana kelazatan. Kerana secara umumnya semua yang lazat itu halal hukumnya, kecuali jika penghalalannya mengakibatkan kerosakan.”
Tidak membazir ketika bersahur dan berbuka
Adakalanya sesetengah dari kita apabila bersahur penuh semeja pelbagai hidangan disediakan. Malah, terdapat juga yang liat untuk bangun. Menganggap tidur lebih utama. Merasakan dapat bertahan perut jika tidak bersahur. Sedangkan ini bukan matlamatnya. Ini kerana matlamat asal kita bersahur kerana suruhan agama, suruhan Rasulullah tercinta demi mendapatkan keberkatan yang dijanjikan. Realitinya tidak nampak tetapi wujud. Inilah yang dinamakan “Ubudiyyah” iaitu perhambaan diri kepada Sang Pencipta. Sabda baginda SAW :-
Daripada Abi Said r.a berkata, Rasulullah SAW telah bersabda : “Bersahurlah kamu walaupun dengan seteguk air.”
( Riwayat Ahmad )
Begitu juga halnya ketika hendak berbuka. Berkumandangnya azan terus menerus dijamah makanan tanpa henti sehinggalah kekenyangan. Tersandar didinding berat untuk bangun menunaikan ibadat solat. Sedangkan makanan terhidang sebenarnya belum pun dapat dihabiskan. Apa tidaknya, bermacam aneka juadah sudah terbeli. Jika memasak dirumah pula pelbagai resepi mahu dicuba. Hasilnya hanya sekadar eksperimen. Bukan untuk dimakan tetapi untuk diambil bau dan dilihat. Itu hakikat. Hakikat perlu diperbetulkan. Seeloknya ketika hendak berbuka, dimulakan dengan menjamah sedikit tamar dan air. Terus menunaikan solat maghrib. Selepas itu, mahu makan apa-apa hidangan kesukaan dipersilakan namun ada batas-batasnya bimbang terawih pula keberatan.
Tabarruj ( Berhias-hias ) bagi wanita
Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya[Jalabib ( jamak ) : baju kurung yang menutupi seluruh badan, iaitu bahagian atas menutup kepala dan dada, manakala bahagian bawah menutup badan dan kaki] ke seluruh tubuh mereka." Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak di ganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
( Al-Ahzab : 59 )
Hadis Rasulullah SAW ada menyebut yang bermaksud :-
“Perumpamaan perempuan yang memperagakan perhiasannya kepada bukan ahli keluarganya adalah seperti kegelapan Hari Kiamat, tidak ada cahaya baginya”
Ayat Al-Quran dan Hadis diatas sudah cukup jelas untuk difahami oleh kita bahawa larangan daripada berhias-hias. Namun, saya merasakan ada lagi yang masih keliru apakah makna sebenar tabarruj atau sengaja buat tidak tahu. Abul A’la al-Maududi berpendapat bahawa kalimat tabarruj apabila ditujukan kepada wanita mempunyai tiga makna :-
1. Menampakkan kecantikan wajah dan bahagian-bahagian yang merangsang atau mengghairahkan kepada lelaki bukan mahram.
2. Menampakkan kecantikan pada pakaian dan perhiasannya kepada lelaki bukan mahram.
3. Menampakkan diri sambil berjalan lenggang lenggok dan bergaya kepada lelaki yang bukan mahram.
Perlu difahami secara jelas, bukan sahaja mereka yang terlibat ini terdiri dikalangan “membuka aurat” tetapi turut terlibat ialah mereka yang “menutup aurat”. Jangan menyangka dengan menutup aurat itu dikira kewajipan sudah terlaksana. Ini kerana harus diingat jika seluruh tubuh ditutup sekali pun, tetapi muka masih tertempel solekan, berwangi-wangian, penuh perhiasan menghiasi diri dengan pakaian pula mengghairahkan lelaki memandang ianya tetap tidak menepati piawaan syariat Islam. Sabda Rasulullah SAW bermaksud :-
“Mana-mana wanita apabila memakai wangi-wangian, kemudian melintasi satu kaum supaya mereka terhidu baunya, maka dia ( seperti ) berzina”
Seperti yang diterangkan diatas, definasi tabarruj ialah berhias. Yakni perhiasan asal yang sengaja didedah dan barangan perhiasan sengaja ditambah. Semua ini adalah termasuk dosa berhias dan diharamkan oleh Islam. Perbuatan begini adalah dilarang kepada muslimah keseluruhannya lebih-lebih lagilah dibulan yang mulia ini. Kerana dibimbangi ibadah puasa menjadi sia-sia. Bagaimana hendak mendapat puasa sempurna jika diri masih menyalahi syariat ilahi?
Kesimpulan
Situasi diatas adalah cebisan gambaran suasana masyarakat yang terus menerus masih diamalkan. Sebenarnya banyak lagi perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh muslimin muslimat telah dan sedang berlaku samaada dibulan puasa atau bulan lain-lainnya. Namun, saya hanya menyenaraikan beberapa keadaaan kebiasaan dilakukan seperti diatas untuk dijadikan tazkirah dibulan Ramadhan ini. Semoga ibadah puasa tidak terhakis pahala dek kerana secangkir dosa. Dibimbangi tergolong di dalam golongan berpuasa tetapi hanya lapar dahaga dirasa. Nauzubillah. Menegur bukan bererti membenci malah mengasihi. Pesanan buat al-faqir diri yang hina serta buat semua. Wallahua’lam.
Ibnurashidi
04:53 PM, 10 September 2008,
Siberbay.
"Luangkan sedikit masa anda untuk berkomentar, semoga sama-sama mendapat Tsaqafah dan Ilmu berguna..."
13 komentar:
Alhamdulillah..penulisan yang memberi kesedaran. Terimakasih kerena berkongsi ilmu. Mudah-mudahan hari ini lebih baik dari semalam.
Benar, semoga hari ini lebih baik dari semalam..semoga duka semalam menjadi pengajaran pada hari ini. Allah SWT itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang:)
Salam..tme ksh ats artkel peringatn..kekdg dri xt'lpas drp melakukn kslhn.. Cite pasl wnta xphm 1je.npe wnta yg ttp aurt lngkp slalu jgk d jdkn bhn uskn @ kekdg lbh trk jd mgsa laki yg gns2 kt luar2.knape xcri wanita yg suke dedhkan aurt..kecian pd yg xb'dosa..
Salam..
Biasalah, dah namanya manusia. Seringkali akan melakukan kesilapan. Namun mesti sentiasa perbaiki diri dari semasa ke semasa supaya tidak terus terjerumus selalu.
Masalah gangguan sebegitu dikategorikan sebagai gangguan seksual. Tidak dinafikan, banyak yang lelaki begitu sekarang. Banyak faktor mereka jadi begitu. Memandangkan selalu terdedah dengan kelucahan budaya sehingga hilang ingatan antara batu dan permata. Semua dibantai tidak kenal dosa dan pahala. Untuk mengubati penyakit itu, tidak lain tidak bukan kena kembali kepada Allah SWT dan RasulNya. Kena kembali kepada sistemnya. Insya'allah semua ini akan terhapus sediki demi sedikit. Buktinya?sejarah Islam menceritakannya.
Lelaki juga bersalah dalam hal ini. Sepatutnya menjadi pemimpin kepada wanita bukan dayus semata. Perempuan juga tidak terlepas, hindarkanlah tabarruj. Efeknya amat berat, bukan sahaja perempuan berdosa malah mengheret lelaki turut sama ke kancahnya.
Kurang komentar disini barangkali artikel ini agak berat difahami?
Bila diri sudah terbiasa dgn kebiasaan yg tak betul, apa yg tak betul itu dirasakan betul..sbb tu la ada org kata... biasakan yg betul, dan betulkan yg biasa...
salam
Apa pendapat penulis apabila kita melihat muslimah2 termasuk yang pakai tudung labuh letak gambar mereka dlm friendster @ yg sewaktu dgnnya la. Takkan lah mereka x tau atau buat2 x tau wajah mereka jadi tontonan lelaki2..lebih2 lagi yg ngaji agama.
Atau memang x dosa letak gambar sbb tu mereka semua letak ek..explain cket.
Maaflah, tp memang dah lama musykil ni..???
Salam ya akhi.
syukran, tazkirah ramadhan..
semoga kita mendapat ampunan & redhaNya di bulan mulia ni. ameen.
Kin Hashim..
Betul, betul, betul..kata watak Upin & Ipin.:)
Apabila diri sentiasa membiasakan dengan keadaan biasa maka biasa itu akan menjadi kebiasaan sehingga tua. Diwaktu muda, lakukanlah dan perbaikilah. Nescaya akan beruntung dikemudian hari.
Hana..
Wa'alaikumsalam..afwan. Na'am, diharapkan begitu. Dizon Maghfirah mari kita banyakkan beristighfar dan bertaubat..
Kepada penanya pasal gambar diFS..
Bagi ana, ana juga tidak bersetuju perempuan, muslimah, akhwat meletakkan gambarnya diFS untuk tontonan umum. Banyak kesan boleh terjadi. Contohnya kita boleh save gmbr diFS dan mcm2 lagi. Ini sudah tentu memberi peluang kepada sesiapa mengambil gambarnya tanpa keizinan. Apa tujuan seorang Muslimah meletakkan gambarnya?tunjukkan kecantikan?berbangga?atau apakah tujuannya?
ntah la..
tanya r mereka sendiri..
sedang menanya tapi tiada jawapannya..
Post a Comment