Penerimaan Dan Halangan Dalam Pusaka Islam
Saturday, August 30, 2008
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم.. الحمدلله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف المرسلين، وعلى اله وصحبه أجمعين. أما بعد
“Timbul persoalan dari sebilangan masyarakat. Siapakah dan kenapa ia layak menerima harta pusaka?. Siapa pula yang terhalang dari menerima harta pusaka?. Ini perlu diketahui secara jelas sebelum berlakunya pembahagian tersebut supaya masing-masing tahu kedudukannya.”
Justeru itu, untuk mengetahui akan jawapan bagi persoalan tersebut adalah lebih elok kita membicarakan soal definasi terlebih dahulu. Sebagaimana disebutkan oleh al-‘Alim al-Imam Shabban :-
Sesungguhnya pengenalan setiap ilmu sepuluh perkara : Definasi, Perbincangan, Kemudian Faedah, Kelebihan, Nisbah serta Pengantar cara, Gelaran, Petikan, Hukum Syara’, Masalah, Setengah daripada setengahnya memadai, Barangsiapa yang mengetahui ke semuanya akan mendapat kemuliaan.
Definasi Ilmu Mirath
Pada bahasa ia dinamakan dengan dua makna iaitu perbuatan waris dan dengan makna mewariskan.
Dari segi Istilah pula ialah : Ialah ilmu dengan kaedah-kaedah untuk mengetahui hak setiap waris daripada tarikah ( harta peninggalan ).
Sebagaimana diketahui, ilmu pembahagian harta pusaka ini dinamakan sebagai Ilmu Faraid. Dengan kata lain bermakna ilmu fiqh warisan dan ilmu hisab sebagai jalan mengetahui pusaka si mati daripada harta ataupun hak-hak.
Definasi Waris
Di dalam bahasa Arab ia disebut Al-Irith bermaksud : Perpindahan sesuatu daripada sesebuah kaum kepada sesebuah kaum yang lain atau seseorang kepada seseorang. Sebagaimana firman Allah SWT berbunyi :
“Nabi Sulaiman mewarisi daripada Nabi Daud a.s…" ( Surah An-Naml : 16 )
Mewarisi dalam erti bahasa Arab bersifat umum dengan pelbagai makna iaitu mewarisi takhta, rumah, kenderaan, pangkat, harta dan sebagainya. Manakala dalam istilah ahli fuqaha’ pula ialah bermakna : Perpindahan milik daripada si mati kepada waris yang masih hidup samaada berupa harta, tanah ataupun hak-hak daripada hak syariat seperti gadaian, kaffarah dan lain-lain lagi. Ia tidak dinamakan warisan seperti mewarisi takhta, pangkat kemuliaan dalam istilah fuqaha’.
Apakah rukun-rukun menerima harta pusaka?
Rukun penerimaan harta pusaka ini terbahagi kepada tiga bahagian :-
1.Orang yang akan mewarisi harta si mati.
2.Orang yang meninggal dunia dan meninggalkan harta kepada waris.
3.Harta peninggalan berkenaan.
Baiklah sekiranya sudah mengerti apa itu ilmu faraid atau pembahagian harta pusaka, kita terus pula kepada persoalan diatas. Pertamanya persoalannya siapakah yang layak menerima harta pusaka dan sebab-sebabnya ada empat perkara. Sebagaimana berikut :-
1. Pertalian Nasab ( Keturunan )
Antaranya ialah mereka yang terdiri dari kedua ibu bapa, anak-anak, bapa saudara dan lain-lain lagi.
2. Perkahwinan
Perlu diketahui, perkahwinan ini bermaksud sebuah ikatan perkahwinan yang sah walaupun tidak berlaku persetubuhan. Maknanya sekiranya selepas sahaja akad berlaku si suami atau isteri meninggal dunia belum sempat berlaku persetubuhan maka waris boleh mewarisi harta pusakanya.
3. Wala’ ( Wilayah )
Perkara yang ketiga ini jarang berlaku sekarang kerana ia melibatkan hamba sahaya. Walaubagaimanapun saya cuba jelaskan gambarannya. Misalnya, apabila mati bekas hamba dan beliau mempunyai harta tetapi tiada waris seperti bapa dan anak nescaya hartanya itu dipusakai oleh bekas tuannya ( yakni yang memerdekakan hamba tersebut ).
4. Islam
Jika seorang muslim meninggal dan tidak mempunyai sesiapa untuk diwarisi hartanya maka harta peninggalan itu hendaklah diserahkan kepada Baitul Mal.
Persoalan kedua yang dilontarkan diatas ialah siapa yang terhalang dari menerima harta pusaka?Maka jawapannya bolehlah dibahagikan kepada tiga bahagian seperti berikut :-
1. Bunuh
Perkara sebegini seringkali berlaku di dalam masyarakat sehinggakan filem-filem dan drama ada terselit memaparkan kisah sebegini. Pada asalnya seorang waris berhak menerima harta pusaka namun diharamkan menerimanya selepas dia membunuh pewarisnya ( si mati ). Bagi Mazhab Syafi’e membunuh dengan sengaja atau tidak tetap terhalang mewarisi. Begitu juga jika seorang gila atau budak kecil. ( Pendapat ulama’ mazhab lain rujuk Al-Mughni jilid VI )
2. Hamba
Segala bentuk perhambaan. Bergelar status hamba maka beliau tidak boleh menerima pusaka dari sesiapa pun melainkan setelah dibebaskan.
3. Berbeza agama
Begitu besar penghinaan bagi mereka-mereka yang murtad sehinggakan tidak layak untuk menerima harta pusaka. Itu belum lagi termasuk hukuman yang dikenakan didunia mahupun akhirat. Wal iyyazubillah. Contoh bagi situasi ini ialah, seorang anak yang beragama Kristian tidak boleh menerima pusaka dari bapanya yang beragama Islam jika ketika meninggal dunia masih lagi beragama kristian tersebut. Begitu juga sebaliknya.
Dari Asamah bin Zaid r.a, sabda baginda Rasulullah SAW: “Orang Islam tidak mewarisi harta pusaka orang kafir dan orang kafir tidak mewarisi harta pusaka orang Islam”.
( Hadis Riwayat Muslim Syarah Nawawi 11/52 )
Sebagai peringatan, yang dimaksudkan agama orang kafir itu adalah satu, tidak ada bezanya samaada Hindu, Buddha, Yahudi, Kristian atau agama lainnya selain Islam. Ianya tetap dinamakan sebagai agama orang kafir.
Sepakat dari ulama’ muktabar mengatakan mereka ( murtad keluar dari agama Islam ) tidak boleh menerima harta dari orang muslim.
Terdapat persoalan lagi disini, adakah boleh mempusakai daripada orang murtad atau tidak ( yakni ahli keluarganya muslim )?
Jawabnya jumhur fuqaha’ daripada fuqaha’ Syafi’e, Maliki dan pendapat sah Hanbali : Tidak boleh mempusakai orang muslim dari orang murtad. Hartanya menjadi harta rampasan orang muslimin, akan dikembalikan sekiranya kembali kepada Islam. Bagi mazhab Hanafi pula, harta itu diwariskan kepada kaum muslimin ( Ini riwayat Saidina Ali, Abu Bakar dan Ibnu Mas’ud, sila rujuk Hasyiah Ibnu Abidin 7/359 ). Seandai jika yang murtad itu adalah seorang perempuan maka hartanya terpulang kepada warisnya ini kerana dalam mazhab Hanafi perempuan tidak wajib dibunuh tetapi dipenjara sehingga kembali kepada Islam.
Namun ada ulama’ menambah syarat halangan keempat iaitu Daurul Hukmi.
Kesimpulannya
Sebagai mengakhiri bicara hukum pada kali ini, ingin saya selitkan sabda Rasulullah SAW sebagai pedoman, pengajaran dan penghayatan. Sabda Baginda :-
“Pelajarilah ilmu faraid ( Pusaka ) serta ajarilah kepada manusia kerana ia merupakan separuh daripada ilmu dan ia juga merupakan ilmu yang pertama diangkat daripada umatku”. ( Riwayat Ibnu Majah dan juga Hakim )
Sekian, Wallahu Ta’ala A’lam..
Rujukan :-
1. Kitab Al-Mirath Wal Wasiyyatu Al-Wajibatu Fil Syaria’ti Islamiyyati Tahun 3, Oleh Ustaz Doktor Judah Abdul Ghani Basiuni, Ketua Bahagian Fiqh Kuliyyah Syariah Wal Qanun Tanta, Universiti Al-Azhar.
2. Pusaka dalam perspektif Islam, Mohammed Fauzi Abdul Aziz, izin terbit BPP PMRAM.
3. Fiqh Lima Mazhab, Oleh Muhammad Jawad Mughniyah.
4. Fiqh Al-Manhaji, Oleh Dr.Mustofa Al-Khin, Dr.Mustofa Al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji.
5. Ahkam Al-Mawarisi Dirasah Tathbiqiyyah ( 1400 ) Masalah Mirasiyyah Tasymilu Jami’ Halati Al-Mirathi, Oleh Muhammad Thoha Abul Ula Khalifah, Darul Salam Qaherah.
Ibnurashidi
2:38 AM, 29 Ogos 2008,
Siberbay.
"Luangkan sedikit masa anda untuk berkomentar, semoga sama-sama mendapat Tsaqafah dan Ilmu berguna..."
18 komentar:
Alhamdulillah..penerangan yang cukup jelas...terimakasih kerana berkongsi ilmu.
Syukur..itulah yang ana harapkan. Moga dengan kefahaman itu membolehkan enti menyampaikan kepada yg lain..
Jika sahabat sahabiah ada penambahan bolehlah terus berkongsi disini..
Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak kepada semua umat Islam..
Faraid ni cara terbaik untuk bagi harta si mati kepada ahli keluarga si mati. Saya konfius sikit pasal faraid atau wasiat ni..
Saya biasa tengok orang2 kita ni kalau nak bagi wasiat kebanyakannya ikut cara senang.
Cth: Seorang ayah meninggal dunia kemudian dia wasiatkan semua tanah2 dia pada anak bongsu dia sebab anak bongsunya paling baik dgn dia berbanding anak2nya yg lain.
Apa pula hukum wasiat macam tu?
p/s: Kat sana mula puasa Ramadhan bila?
Salam..artikel yg bgs m'bri manfaat. Ske bc pnuls menuls :-).Hukum faraid besanya d jalnkn ble si mati menggl dunia tnpa tggalkn wasiat. Blhx kalo wasiat yg dh d tls d rombk blik sbb ketidakadiln n xikt hkm faraid.. Pas2 pe hkum kalo p'bhgian hrta d jalnkn xikt hkm faraid?..
Selamat m'jalani ibadah puasa d perantauan.. Jgn cdh2 ek :)
Salam...
Terima kasih sudi berkongsi ilmu semuga ianya member manafaat kepada semua..
Selamat menjalani ibadah puasa..
akhi,anak angkat boleh dapat harta pusaka dak?
salam..
sebelum ni belajar basic je..
skrg ni blh + information..
arigato..:P
-DA
Cth: Seorang ayah meninggal dunia kemudian dia wasiatkan semua tanah2 dia pada anak bongsu dia sebab anak bongsunya paling baik dgn dia berbanding anak2nya yg lain.
Apa pula hukum wasiat macam tu?
p/s: Kat sana mula puasa Ramadhan bila?
Masalah wasiat dan faraid berlainan. Hukum wasiat pada asalnya adalah wajib ketika awal kedatangan Islam. Namun ianya dimansukhkan dengan turunnya ayat dan hadis berkaitan pusaka. Dalil wasiat, firman Allah SWT:-
"Kamu diwajibkan apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika dia ada meninggalkan harta, (hendaklah dia) membuat wasiat untuk ibubapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertakwa.."(al-Baqarah : 180)
Abdullah bin Abbas r.a berkata :-
Hukum wasiat terus diamalkan berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud : Kamu diwajibkan apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika dia ada meninggalkan harta, (hendaklah dia) membuat wasiat untuk ibubapa dan kaum kerabat..sehinggalah ayat ini dimansukhkan dengan ayat pusaka.
Ada beberapa keadaan ketika ingin berwasiat:-
Wajib
Ada tnggungjwb syare'i perlu diselaikan spt Haji dan Zakat. Jika tidak diwasiatkan bimbang akan habis.
Haram
Jika mewasiatkan sesuatu yg haram spt arak dan perkara mencemar akhlak masyarakat.
Harus
Ditujukan kepada sahabat handai untuk mengerat silaturahim misalnya.
Makruh
Jika pewasiat kurang berada dan ada waris memerlukan harta dan juga miskin. Dan makruh diberikan kepada orang fasik.
dan untuk mewasiatkan sesuatu harta kena tengok juga keadaannya. Contoh spt rendah diri katakan jika anak bongsu kesayangan dapat lebih. Baik, untuk mewasiatkan harta, pewasiat digalakkan agar tidak mewasiatkan hartanya melebihi satu pertiga. Menurut mazhab Syafi'e, makruh hukumnya jika mewasiatkan lebih satu pertiga namun tetap sah. Akan tetapi jika hendak dibagi lebih satu pertiga hendaklah mendapat persetujuan dari waris-waris si mati terlebih dahulu. Jika mereka setuju maka bolehlah dibagi. Jika mereka tidak setuju maka terbatal menurut ijmak Ulama'. Oleh itu Ulama' mazhab Syafi'e berpendapat wasiat adalah sunat kurang satu pertiga berdasarkan hadis Nabi SAW : "Satu pertiga sudah banyak"
P/S : Kami mula puasa pada Hari Isnin. Sama macam Malaysia.
Hukum faraid besanya d jalnkn ble si mati menggl dunia tnpa tggalkn wasiat. Blhx kalo wasiat yg dh d tls d rombk blik sbb ketidakadiln n xikt hkm faraid.. Pas2 pe hkum kalo p'bhgian hrta d jalnkn xikt hkm faraid?..
Jawapannya:-
Boleh dirombak balik. Ini kerana wasiat dianggap akad yang harus bukan akad yang wajib spt jual beli dan akad nikah. Jadi, pewasiat boleh menarik balik sebahgian wasiatnya, kesemua atau mengubahnya atau menambah syarat bru kerana harta itu masih dalam hak miliknya selagi dia masih hidup.
Jika sudah meninggal dunia, para waris boleh menolak wasiat itu jika tidak bersetuju. Dan jika bersetuju boleh diambil namun punya masalah dikemudian hari barangkali. Spt yg saya sebutkan diatas, harta wasiat tidak melebihi satu pertiga.
Wallahua'lam
Ya, Selamat Menjalani Ibadah Puasa juga buat Muslimin Muslimat..
Sama-sama Akak..
Hanya secebis ilmu dari diri yang dhoif, harapan saya ia menjadi salah satu ibadat dibulan puasa.
salam akhi Yaseer Hasbullah..
Sebenarnya jawapan itu sudah terjawab diatas. Siapa yang berhak menerima atau tidak. Anak angkat bukanlah dari kalangan keluarga. Maka sudah tentu dia terkeluar dari senarai penerima. Tetapi jika hendak mendapat wasiat mungkin boleh. Atas budi bicara pewasiat dan persetujuan waris yang lain. Wallahua'lam..
Jika sudah ada basicnya, Alhamdulillah lebih mudah untuk mempelajarinya kelak jika mahu.
Jika sudah mengerti teruskan memberitahu kepada yg tidak tahu. Sampaikan walau satu ayat.
Dan satu lagi jawapan lupa nak dijawab..
Jika tak ikut hukum Faraid?
Pelaksanaan hukum pusaka atau faraid adalah wajib. Ini kerana sistem ini sah berdasarkan kepada nas-nas Al-Quran, Sunnah dan ijmak Ulama'. Ianya sama seperti hukum sembahyang, zakat, muamalat dan hudud. Ia wajib dilaksanakan dan diamalkan. Tidak harus ubah dan diabaikan. Ia merupakan syariat Allah SWT yang terpuji dan memelihara semua kepentingan manusia. Biar sebijak mana manusia membuat undang2 biar baik mana manusia membuat peraturan namun undang-undang Allah SWT adalah yang lebih terbaik. DIA yg menciptakan manusia, dia lebih tahu isi hati manusia dan makhluknya. Bab harta jika tidak dibahagi secara adil nescaya tetap akan timbul persengketaan kelak. Sudah banyak bukti berlaku. Firman Allah SWT :-
"Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata..." (al-Ahzab : 36)
Salam ibnurashidi,
Kak su teringat masa arwah mak dan ayah meninggal dulu. Masa tu kak su muda sgt lagi... awal remaja. Pembahagian harta kak su serahkan pada keluarga. Mungkin mrk ikut hukum faraid kot. Tak pasti sangat dan kak su mmg tak kisah. Masa tu kak su masih muda, dan bila dah tua cam nih, kak su rasa tak perlulah nak ambik tahu. Yang lepas... biarkan saja. paling penting hubungan keluarga lebih perlu dijaga.
Bagi kak su, apa yang mrk serahkan pd kak su, itulah rezeki kak su. Kalaupun ada lebih kurang dlm pembahagian tu, kak su halalkan saja. Harta tak boleh bawak ke kubur pun.
Harta yg paling berharga adalah ilmu yg ada di dada. Dengannya, kita boleh tentukan samada kita akan kebuluran atau kekenyangan. Tapi pastinya rezeki yg dapat tu dengan berkat pertolongan dari Allah.
Apapun, amat baik kalau kita tahu tentang ilmu faraid dan pembahagian harta ni. Untuk mengelakkan pertelingkahan yang mendatangkan keburukan, Allah dan Rasul telah berikan kita garis panduan yang memang lengkap untuk kesejahteraan bersama. Terima kasih atas perkongsian ilmu ini.
Wa'alaikumsalam Kak Su..
Dalam masalah redha wasiat atau tidak itu mungkin ada kelonggarannya. Tetapi jikalau bab Faraid ada eloknya dibahagikan mengikut sistem Faraid itu sendiri. Harta lebih berkat dan keharmonian lebih terjamin.
Jikalau ikutkan kiraan Faraid, Kak Su berhak mendapat 1/6 daripada pusaka tersebut namun dilihat juga dari pihak keluarga yang lain.
Benar, harta tidak boleh dibawa mati. Namun, harta juga boleh membawa manusia ke Syurga. Buktinya? Saidina Abu Bakar As-Siddiq, AbdurRahman Bin Auf antara jutawan Islam yang dijanjikan Syurga. Begitu juga Ilmu, Ilmu manfaat boleh bawa ke Syurga Ilmu tidak bermanfaat mengundang neraka. Ilmu bagaimana?Ilmu sesat, Ilmu Sihir, Ilmu Syirik dll. Ternyata masing-masing ada Pro dan Kontra.
Jika mengikut keadaan semasa, walau rasa redha macammana pun sebaiknya gunakanlah ilmu Faraid. Praktikkanlah. Tidak tahu banyak pakar rujuk diMalaysia sekarang. Kerana Harta banyak manusia binasa, banyak yg merana, banyak yg merasuah, banyak yg berbunuhan, banyak yg berpecah. Hati-hati dengan fitnah Harta. Firman Allah SWT :-
"Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang bathil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui."
( Al-Baqarah : 188 )
Post a Comment