Sedalam Mana Rindumu?

Sunday, March 15, 2009


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرحمن الرحيم.. الحمدلله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف المرسلين، وعلى اله وصحبه أجمعين. أما بعد

“Rindunya saya pada Rasulullah SAW..” Seseorang meluahkan rasa di bibir. Entah hati atau bibir semata bersuara.

“Tahun ni kita adakan majlis besar-besaran menyambutnya!..” Cadang seorang pembesar di sebuah negeri antah berantah pula.

Pada saya tidak menjadi kesalahan mahu berkata begitu. Malahan para ulama’ ramai yang berpendapat mengharuskan sambutan Maulidur Rasul. Dipetik dari tulisan kitab Al-Kalam Al-Thayyib, Dr Ali Jum’ah, Mufti Republik Arab Mesir dengan kata mereka: “Syariat telah mengajar kita menyambut kegembiraan dan perayaan, dan mengajar kita melihatnya sebagai suatu ibadah, dan melihatnya sebagai kemuliaan serta kebaikan. Ia adalah hari yang digembirakan dengan utusan Allah, Muhammad SAW.”

Keharusan Menyambut Maulidur Rasul

Ulama’ yang mengharuskan sambutan Maulidur Rasul membawa dalil dari Ibn Abbas r.a yang mana telah berkata:

Telah pergi Nabi SAW ke Madinah, maka dilihat baginda orang-orang Yahudi berpuasa pada hari asyura’. Maka baginda telah bersabda:

“Apakah ini?” Mereka berkata: Ini adalah hari yang baik, ini adalah hari di mana Allah SWT melepaskan Bani Israel dari musuh mereka dan memberi kemenangan pada Nabi Musa a.s. Maka berkata Nabi SAW: “Kami lebih utama dengan Musa daripada mereka.” 

Manakala Ibnu Hajar Al-Asqolani berkata: Hari Asyura adalah asas untuk menyambut hari Maulidur Rasul.

Syariat juga mengajar kita tidak salah menyambut dan meraikan hari tertentu walaupun tidak pernah dilakukan sebelum ini asalkan tidak melanggar batas syariat. Ini bukanlah bida’ah dholalah.

Sedangkan Abu lahab seorang kafir yang jelas termaktub di dalam Al-Quran bahawa Allah telah mengazabnya dengan siksaan api neraka berasa gembira apabila mendapat tahu tentang kelahiran Rasulullah SAW. Bahkan dia ketika itu langsung membebaskan seorang hamba yang bernama Thuaibah. Lalu Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah SWT meringakan azab Abi Lahab pada setiap hari isnin kerana telah membebaskan Thuaibah.”
Hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa menyambut kelahiran baginda dengan perasaan gembira merupakan suatu perkara yang diberi ganjaran pahala sewajarnya oleh Allah Azza Wajalla.

Hujjah yang dikeluarkan pula oleh At-Tabrani dalam kitab (Al-Ausot) dan Baihaqi daripada Anas bin Malik:
Sesungguhnya Rasulullah SAW mengaqiqahkan untuk dirinya pada hari ulang tahun kelahirannya. Manakala Abu Lahab dan Abdul Mutalib telah mengadakan aqiqah untuk Rasulullah SAW, tetapi Rasulullah SAW mengulangi aqiqah tersebut pada hari ulang tahun kelahirannya.

Maka, jelas kesemua hujjah dan dalil di atas telah disepakati oleh fuqaha’ bahawa menyambut perayaan Maulidur Rasul bukanlah sesuatu perkara yang sesat lagi menyesatkan.


Sedalam Mana Rindumu?

Persoalannya. Sedalam mana rindu kita terhadap Rasulullah SAW? Adakah cukup dengan majlis perayaan sebesar-besarnya? Adakah kita telah menyerapkan syariat yang diajar baginda? Adakah sudah cukup bibir menutur kata membuah rasa rindu yang tersangkut di kerongkong tidak ke hati? Terlalu banyak persoalan mahu dilontar rawak berserakan.
“Bagus bukan tak bagus sambut besar-besaran…tetapi ada yang cakap rindu..selawat ramai-ramai namun tak sampai ke hati..hanya dibibir.” Al-Fadhil Ustaz Syed Abdul Kadir bin Syed Hussin Al-Joofre.

“Banyak sirah hidup baginda telah membuktikan baginda amat merindui kita sebagai umatnya.” Sambung beliau lagi.

Sungguh, Rasulullah SAW sememangnya merindui kita sebagai umatnya sehinggakan tatkala mahu dicabut nyawa oleh malaikat Izrail sekalipun masih ingat untuk berkata-kata “ummati..ummati..ummati.” Bahkan ada riwayat mengatakan baginda mahu menanggung beban sakit ketika dicabut nyawa terhadap umat ke atas pundaknya. Subhanallah! Betapa agungnya hakikat kasih sayang baginda. Terpancar seluruh alam kerinduanmu Ya Rasulullah SAW! Sollu alan Nabi.

النبي صلوا عليه

اَلنَّبِي صَلُّوا عَلَيْهِ * صَلَوَاتُ اللهِ عَلَيْهِ

وَيَنَالُ الْبَرَكَاتِ * كُلُّ مَنْ صَلَى عَلَيْهِ

اَلنَّبِي يَاحَاضِرِيْنَ * اِعْلَمُوا عِلْمَ الْيَقِيْنِ

اَنَّ رَبَّ العَالمَِيْنَ * اَفْرَضَ الصَّلاَةَ عَلَيْهِ

اَلنَّبِي يَا مَنْ حَضَرْ * اَلنَّبِي خَيْرُ الْبَشَرْ

مَنْ دَنَالَهُ الْقَمَرْ * وَنَزَلْ سَلَّمْ عَلَيْهِ

اَلنَّبِي ذَاكَ الْعَرُوْسِ * ذِكْرُهُ يُحْيِى النُّفُوْسِ

اَلنَّصَارَى وَالْمَجُوْسِ * اَسْلَمُوْا عَلَى يَدَيْهِ

اَلنَّبِي ذَاكَ الْمَلِيْحَ * قَوْلُهُ قَوْلٌ صَحِيْهَ

وَالْقُرآنْ شَىْءٌ فَصِيْحَ * اَلَّذِى اُنْزِلْ عَلَيْهِ

اَلنَّبِي يَااهْلَ الْعَرَبْ * اَلنَّبِي مَدْحُهُ طَرَبْ

اَلْحَبِيْب عَالِى النَّسَب * صَلَوَاتُ اللهِ عَلَيْهِ

اَلْحَسَنْ ثُمَّ الحُسِيْنِ * لِلنَّبِي قُرَّةُ الْعِيْنِ

نُوْرُهُمْ كَالْكَوْكَبَيْنِ * جَدُّهُمْ صَلُّوْا عَلَيْهِ

“Sentiasa menambahkan keimanan dan kecintaan kepada Rasulullah. Antara cara untuk menambahkan kasih sayang terhadap Rasulullah ialah dengan mengkaji sirah hidup junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW.” Pesannya lagi.

“Bagai terhentak kepala di dinding keras…kalbu terasa sesak menahan sebak.” Hati berbicara sendiri.

Kesimpulan

Oleh itu, marilah kita cuba praktikkan apa yang diajar baginda baik secara khusus mahupun umum di dalam kehidupan seharian kita. Terapkan syariat baginda samaada secara individu, jemaah mahupun negara. Istiqamahlah dalam mengamalkan amalan itu. Nescaya kita mengerti apa itu rindu dan sayang pada Nabi SAW.

Mencintai kekasih hati, manusia berdaya sehingga terkeluar kata-kata tidak masuk akal inikan pula kewajipan mencintai kekasih Allah SWT yang lebih mulia dari kita.


Rujukan:
Suara Kampus edisi Johor, bilangan 111.

Ibnurashidi
7:40 AM, 16 Mac 2009,
Siberbay, Tanta.



Luangkan sedikit masa anda untuk berkomentar, semoga sama-sama mendapat Tsaqafah dan Ilmu berguna...

28 komentar:

Iliana said...

salam ustaz

teringin sekali bertemu baginda s.a.w
jika hingga ke akhir hayat baginda s.a.w masih menyebut 'ummati..' kita, jika terdengar sahaja lafaz 'rasulullah, muhammad, baginda' masih lagi ramai yang tidak mahu menyambutnya dengan 's.a.w'..jika seringan kata itu, masih berat di bibir, apakah cerminannya?

Ibnurashidi said...

Salam Iliana...

Jadilah wanita solehah, tentu termakbul doa kamu.

Sangat betul katamu. Jangankan mahu mempraktik sunnah, menyebut Sollallahhu alaihi wassalam juga ramai yang berat dan kelu lidah. Bagaimana mahu merindu kalau tidak mengenal siapa yang dirindui?

Tiada cerminan lagi.

Tie said...

Kak Tie - Merasa amat sayu bila membaca kisahnya ketika saat2 menghembuskan nafasnya yang terakhir...kerana baginda terlalu sayangkan umatnya...

Ibnurashidi said...

Salam Kak Tie...

Iya, kisahnya sangat menyayat hati. Bayangkanlah sewaktu wafatnya Rasulullah SAW, Saidina Bilal sudah tak sanggup tinggal di Madinah kerana terkenangkan memori bersama Rasulullah SAW lalu berpindah ke Syam.

Ingatlah, Rasulullah SAW suka dengan umat kemudian yang tak pernah bertemu baginda tetapi mampu menyintainya.

nahmy said...

alhamdulillah...mmg dlm pencarian akan 'rindu abadi' kpd Rasulullah itu. gusar tidak bertemu akannya...

SRISUFI said...

Salam Ibnurashidi

semoga kamu sihat dan dipermudahkan urusan di sana.

alhamdulillah kita semua masih lg dalam nikmat iman dan Islam. Sedih. ya sedih bila terkenangkan pengorbanan Rasulullah dan cara manusia menghargainya.

apabila mendengar lagu Rasulullah nyanyian Hijjaz tanpa sedar sebenarnya kita telah berjanji utk meneruskan perjuangan baginda. Namun, lihatkan sahaja sekarang...golongan itu cuma sedikit sahaja, amat sedikit.

semoga kita tergolong dlm golongan yang meneruskan perjuangan itu walau cara berbeza2.

tronx013 said...

salam

Tiada salah memperingati Nabi Muhammad dengan pelbagai sambutan, akan tetapi perkara yang jelas bukan daripada Rasulullah perlulah diberitahu.Antara sunnah dan juga bukan. sambutan maulidur rasul itu hanyalah sempena bulan kelahiran kelahiran bukanlah untuk kita memeriahkan dengan aktiviti yang 'dahsyat'sehingga tiada nilai mencontohi rasulullah.

Saya sendiri sedar akan betapa banyaknya pemesongan sirah telah tersebar luas dalam masyarakat tentang rasulullah. Antaranya kisah hijrah, yang mengatakan saidina Ali menjadi pengganti rasulullah yang tidur di rumah baginda ketika kaum musyirikin mengepung rumah Nabi, sebenarnya cerita ini adalah suatu pembohongan untuk membesarkan kehebatan saidina Ali untuk pengikut yang mengagungkan sahabat ini... Alangkah indahnya, andai Ibnurashidi(ustaz) mengupas mengenai pemurnian sirah demi memperbetulkan pemahaman kita terhadap sejarah rasulullah yang dipesongkan oleh mereka yang tidak memahami perintah rasulullah... kerana saya hanya mengikuti ceramah di USM,Kelantan tentang -Pemurnian sirah yang singkat masanya..

sebarkanlah kebenaran nyata yang diselewengkan dalam pengembaraanmu, moga kami di sini mampu memahami hakikat kehidupan.....

Anonymous said...

Alhamdulillah. Harap sangat kelahiran Rasulullah ini kembali disambut seperti dahulu ya. Sekarang ini rasanya semakin kurang kesedaran dan semangat untuk menyambutnya.

p/s Ibnurashidi, di sana ada dibuat sambutan?

kin hashim said...

hendaknya kita merindui dan mengingati baginda sepanjang masa, bukan hanya pada tarikh2 tertentu sahaja; istiqamah...mudah2an...

Anonymous said...

salam..
tertarik dgn artikel ibnu rashidi kali ini..terasa ingin berkomentar sejenak..
Bukan berkomentar dgn idea sendiri.tetapi idea yang dipinjam dari seorang tokoh.

Para sarjana sejarahwan Islam berbeza pendapat tentang tarikh sebenar kelahiran Nabi s.a.w. Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim hanya menyebut bahawa baginda lahir pada hari Isnin tanpa menyebut haribulannya. Sesiapa yang membaca karya-karya sejarah Islam yang besar seperti al-Bidayah wa al-Nihayah oleh al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) akan melihat berbagai pendapat tentang haribulan dan bulan kelahiran baginda s.a.w.


Bagi yang berpendapat baginda lahir pada Bulan Rabi’ul Awwal, mereka berbeza pendapat pula dalam menentukan haribulannya. Ada yang menentukan pada 8 haribulan, ada yang pada 9 haribulan, ada pula pada 12 haribulan seperti yang menjadi anggapan ramai, ada juga pada 17 haribulan dan seumpamanya. Di samping di sana ada pula sarjana Islam yang menyatakan baginda lahir pada Bulan Ramadan dengan hujah-hujah mereka yang tersendiri.

Apa pun yang penting, sejarahwan Timur atau Barat, Utara atau Selatan tidak pernah berbelah pendapat tentang lahirnya seorang insan bernama Muhammad bin ‘Abdillah yang diikrarkan oleh umat Islam sebagai rasul terakhir yang diutuskan Allah. Hal ini berbeza dengan Jesus yang berada dalam gambaran Barat. Setengah ahli kajian mereka mempertikaikan tentang kelahiran Jesus itu sendiri.

Kegagalan sarjana untuk mengetahui hari dan bulan sebenar kelahiran Nabi s.a.w antaranya berpunca daripada tindakan para sahabah Nabi s.a.w yang tidak merayakan tarikh tersebut. Walaupun dalam sejarah Islam, merekalah generasi yang paling mencintai Nabi s.a.w namun mereka tidak membuat perayaan khas hari kelahiran baginda disebabkan kerana mereka tidak melihat baginda melakukan hal yang demikian.

Bahkan Ibn Kathir menceritakan bagaimana Saidina ‘Umar apabila dicadangkan permulaan tahun Islam dikira pada tahun kelahiran Nabi s.a.w, beliau menolaknya. Sebaliknya khalifah agung itu memilih tahun hijrah baginda sebagai permulaan kiraan. Bukan kelahiran tidak penting, tetapi hijrah adalah permulaan kejayaan dan sejarah perjuangan. Perkara yang paling utama buat seorang rasul ialah baginda diikuti, bukan sekadar dirayakan. Saban tahun orang Kristian Barat merayakan kelahiran Jesus, namun apakah kehidupan mereka sama seperti yang diajar oleh Jesus?

Dalam Fatawa al-Azhar diakui bahawa ahli sejarahwan Islam tidak mengetahui sesiapa pun yang memulakan perayaan Maulid Nabi s.a.w melainkan Kerajaan Syi’ah Fatimiyyah di Mesir yang mengadakannya secara besar-besaran. Mereka turut meraikan hari kelahiran tokoh-tokoh Ahlil Bait dan kelahiran Nabi Isa a.s. Kemudian pada tahun 488H dihentikan oleh Khalifah mereka al-Musta’la billah. Kemudian dihidupkan kembali oleh sesetengah kerajaan dan negeri. Demikianlah sejarahnya.

Di samping itu, hendaklah kita sedar, jika kita mengikuti Nabi s.a.w, maka pastikan kita tidak menokok tambah ajaran baginda apa yang baginda tidak izinkan. Baginda bersabda:

“Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak” (Riwayat Muslim).

Oleh kerana baginda tidak pernah menunjukkan kita ibadah khas sempena kelahiran baginda samada solat khas, atau puasa khas atau bacaan khas, maka kita tidak boleh mengadakannya. Jalan yang patut diikuti dalam masalah ini adalah jalan para sahabah baginda s.a.w. Sabda baginda s.a.w:

“..Sesungguhnya Bani Israil berpecah kepada 72 puak, dan umatku akan berpecah kepada 73 puak. Kesemua mereka dalam neraka kecuali satu puak”. Mereka bertanya: “Apakah puak itu wahai RasululLah?” Jawab baginda: “Apa yang aku dan para sahabahku berada di atasnya”. (Riwayat al-Tirmizi dinilai sahih oleh al-Diya al-Maqdisi).

Perlu diingat, antara keistimewanya sejarah Nabi s.a.w kerana ia dapat dikenal pasti antara yang tulen dan tokok tambah. Ini berbeza dengan sejarah pengasas-pengasas agama dalam dunia ini yang hampir keseluruhan sejarah mereka dibina atas sangkaan atau perkhabaran yang tidak pasti. Ilmu hadis yang menapis sanad dan matan telah memelihara fakta sejarah nabi kita Muhammad s.a.w. Hanya sejarah yang pasti sahaja yang menjadi ikutan kita, bukan yang direka.

Kata al-Sayyid Sulaiman al-Nadwi:

“Sesungguhnya sirah yang berhak diikuti oleh manusia sebagai contoh yang baik dan teladan yang tinggi disyaratkan terlebih dahulu mestilah bersifat tarikhiyyah (sejarah). Adapun sirah yang tertegak diatas dongengan dan cerita-cerita khurafat yang tidak disokong oleh riwayat-riwayat yang dipercayai kesahihannya, adalah menjadi tabiat insan tidak akan terpengaruh dengan apa yag diceritakan kepadanya tentang sirah peribadi yang direka sedangkan sejarah tidak pernah mengenalinya” (Sulaiman al-Nadwi, al-Risalah al-Muhammadiyyah, m.s. 41, Saudi: al-Dar al-Sa`udiyyah).

Kita semua bersyukur dan bergembira dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Namun kita wajib pastikan cara kita ikut dan faham mengenai baginda. Saban tahun banyak pihak yang meraikan maulid, apakah umat Islam bertambah dekat dengan baginda?

Anonymous said...

Pendapat Ulama Tentang Maulid al-Rasul

Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama tentang hukum menyambut maulid Nabi:
Al-Hafiz Ibnu Hajar, Ibnu al-Haj, Ibnu Katsir, Ibnu Abaad, Ibnu Marzuq, al-Subki, Abu Syamah (guru Imam Nawawi), Ibnu Duhayyah, al-Suyuthi, al-Sakhawi dan beberapa ulama lain lagi membolehkan sambutan hari kelahiran Nabi dengan syarat sambutan tersebut bersih dari segala aktiviti kemungkaran. Manakala Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah, al-Syatibi, al-Abdari dan beberapa ulama lain mengharamkan sambutan maulid ini. Al-Hafiz Ibnu Hajar, Ibnu al-Haj dan al-Sakhawi setuju bahawa sambutan maulid al-Rasul adalah bid’ah kerana tidak pernah dilakukan pada zaman Rasulullah, tidak pula pada zaman sahabat dan generasi sesudah mereka. Namun begitu, mereka menilai bahawa sambutan maulid Nabi ini sebagai bid’ah hasanah (bid’ah yang baik), dan akan menjadi bid’ah dhalalah (bid’ah yang sesat) jika mengandungi kemungkaran. Sebahagian besar ulama memandang bahawa sambutan maulid al-Rasul adalah bid’ah muharramah (bid’ah yang haram). Mereka juga berpendapat bahawa segala perbelanjaan harta (infaq) untuk sambutan maulid adalah haram. Yang paling masyhur di antara para ulama yang menyatakan hal ini merupakan bid’ah dhalalah adalah Tajudin Umar bin Ali al-Lakhami al-Sakandari al-Maliki yang terkenal dengan panggilan al-Fakihani. Beliau mengarang kitab berjudul al-Maurid fi al-Kalami ala Amali al-Maulid yang memuat jawapan dari pelbagai pertanyaan oleh masyarakat.

Di dalam kitab tersebut, terdapat soalan tentang maulid berbunyi; “apakah ada dasarnya menurut syara’ ataukah hal itu merupakan bid’ah dalam agama?”. Maka Tajudin menjawab, “Saya tidak mengetahui adanya dasar syar’i untuk sambutan maulid baik dalam Al-Kitab mahupun Sunnah, begitu pula tidak ada satu riwayat pun dari salah seorang ulama umat yang menjadi teladan dalam urusan agama, yang berpegang teguh pada atsar (peninggalan khazanah) orang-orang terdahulu yang mendukung, bahkan hal itu (sambutan maulid) merupakan bid’ah. Bukan termasuk kewajipan yang sesuai dengan ijmak, tidak pula sunnah kerana hakikat dari sunnah (mandub) adalah tuntutan syara’ tanpa adanya celaan bagi yang meninggalkannya. Mereka yang mengadakan maulid tidak mendapat izin dari syara’ untuk menyambutnya. Para sahabat tidak pernah melakukannya, begitu pula para tabi’in tidak melakukannya. Para ulama pun tidak melakukannya. Begitulah sesuai yang saya ketahui...” [lihat Al-Hawiy li al-Fatawi, Imam Suyuthi, juz 1 hlm 190]. Imam Suyuthi sendiri mengarang makalah tentang maulid dengan judul Husnu al-Qasdi fi Amali al-Maulid, di mana di dalamnya beliau menjawab hukum maulid di mana beliau cenderung kepada membolehkannya. Imam Suyuthi menilai berkumpulnya manusia untuk membaca Al-Quran dan pelbagai riwayat atau khabar (hadis) Rasulullah, kemudian ada jamuan makan di dalamnya sebagi bid’ah hasanah, sebab di dalamnya terdapat pengagungan terhadap kedudukan Rasulullah dan menampakkan kegembiraan akan kelahiran baginda. Beliau mengupas pendapat al-Fakihani dan membantahnya.

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah yang hidup hingga awal abad ketujuh hijriyah (meninggal tahun 728H) pula berpendapat, “Apa yang diada-adakan oleh sebahagian orang dalam aktiviti maulid, kadang-kadang menyerupai Nasara dalam menyambut kelahiran Nabi Isa as, dan kadang-kadang sebagai ungkapan kecintaan dan pengagungan kepada Nabi, bukan untuk bid’ah seperti menjadikan hari kelahiran baginda sebagai hari raya Nabi (maulid), meskipun tanggal kelahiran baginda masih diperselisihkan oleh ulama. Namun sesungguhnya sambutan maulid itu tidak pernah dilakukan oleh orang-orang terdahulu dari generasi salaf (sahabat, tabi’in dan tabi’i tabi’in) padahal merekalah yang lebih berhak melakukannya jika itu diperlukan, dan tidak ada suatu apa pun yang dapat mencegah mereka melakukannya. Andaikata itu merupakan satu kebaikan yang pasti atau kuat dugaan kebenarannya, nescaya generasi salaflah yang paling berhak dari kita untuk melakukannya, kerana mereka termasuk orang-orang yang paling kuat kecintaannya dan pengagungannya kepada Nabi dan dari segi mengerjakan kebaikan, mereka lebih memerhatikan hal ini dari generasi-generasi Islam lainnya. Kesempurnaan dan kecintaan kaum Muslimin dan pengagungan mereka kepada Nabi seharusnya nampak dalam peneladanan, ketaatan dan pelaksanaan perintah Rasul. Termasuk dalam hal ini adalah menghidupkan sunnah Nabi baik secara batin (dalam diri) mahupun zahir (dalam realiti kehidupan), menyebarkan risalahnya serta berjihad dalam penyebaran risalah itu dengan hati, tangan dan lisan. Itulah cara orang-orang terdahulu...” [Iqtidhau al-Sirathil Mustaqim Mukhalafatu As-habi al-Jahim, hlm 294-297].

Sesungguhnya dalam apa jua perkara yang diperselisihkan oleh umat Islam, maka wajiblah dikembalikan kepada Allah dan Rasul. Firman Allah, “...jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (Al-Sunah) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhir...” [TMQ al-Nisa’ (4):59]. “Tentang suatu apa pun yang kamu berselisih, maka hukumnya (terserah) kepada Allah” [TMQ al-Syura (42):10]. Atas dasar ini, maka marilah kita mengembalikan perkara ini (sambutan maulid al-Rasul) kepada Kitabullah dan Sunah RasulNya. Di dalam KitabNya, Allah mengingatkan kita bahawa, “Dan apa sahaja yang dibawa (diperintahkan) oleh Rasul kepadamu, maka ambillah (laksanakanlah) ia, dan apa sahaja yang dilarangnya, maka tinggalkanlah ia” [TMQ al-Hasyr (59):7]. Allah juga berfirman, “Dan hendaklah orang-orang menyalahi perintah Rasul takut akan ditimpa fitnah atau ditimpa azab yang pedih” [TMQ al-Nur (24):63].
Sambutan maulid al-Rasul ini pastinya bukan perkara yang didatangkan oleh Rasulullah kerana tidak ada seorang pun yang meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah menyatakan atau melakukan atau memerintahkan atau menunjukkan persetujuannya terhadap sambutan hari lahir baginda.

Dengan merujuk kepada Al-Sunnah pula, kita tidak akan menjumpai nas yang menjelaskan Rasulullah menyambut hari kelahiran baginda atau memerintahkan umatnya untuk menyambutnya. Tidak pula kita dapati ia disambut oleh para Khulafa’ Rasyidin atau sahabat-sahabat yang lain, tidak juga oleh para tabi’in mahupun tabi’ihim bi ihsan (generasi sesudahnya yang mengikut mereka dengan baik). Dengan ini, amatlah jelas bagi mereka yang berakal bahawa sambutan maulid al-Rasul merupakan perkara yang tidak pernah dikenal pada masa awal Islam, sehingga dapat dikatakan secara pasti bahawa sambutan maulid al-Rasul ini adalah termasuk dalam perkara bid’ah. Di sini timbul satu persoalan bagi mereka yang membolehkan sambutan maulid al-Rasul ini atas niat ibadah atau taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah. Apakah hukumnya? Sebenarnya hal inilah justeru yang dengan sendirinya menjadikan perkara ini sebagai bid’ah, kerana bid’ah itu bermaksud suatu perbuatan yang dilakukan seseorang dengan niat beribadah dan bertaqarrub kepada Allah tetapi tanpa didasari oleh dalil syara'. Agar ibadah dikatakan benar dan sah, maka mestilah ada nas yang membenarkannya. Ibadah adalah termasuk di dalam persoalan yang bersifat tauqifiyyah (telah ditetapkan oleh Allah dan di ambil seadanya, tanpa boleh diubah, ditambah atau dikurangi). Kita tidak boleh melakukan ibadah, kecuali dengan cara (kaifiyat) yang telah ditunjukkan oleh Rasul kepada kita sahaja. Jika seseorang beribadah kepada Allah dengan caranya sendiri (tanpa ada nas), maka dia telah mengikut hawa nafsu dan akan tergolong ke dalam ahlu al-bid’ah. Na’uzubillah min zalik. Segala jenis ibadah dan bentuk taqarrub illallah wajiblah dilakukan mengikut Rasulullah secara tauqifi (seadanya).

Jadi, sekiranya seseorang Muslim berniat ingin beribadah dan ingin bertaqarrub kepada Allah tetapi dengan cara yang tidak pernah disyariatkan oleh Allah maka hal inilah yang justeru disebut bid'ah. Adapun pandangan sesetengah ulama' yang mengatakan bahawa ada terdapat perbuatan yang disebut bid'ah hasanah (bid’ah yang baik), maka hal ini mestilah dikembalikan kepada nas dengan cara yang benar, sesuai dengan sabda Rasulullah, “Setiap (perbuatan) bid'ah itu sesat” [HR Abu Daud, Tirmidzi, Ahmad]. Inilah yang hak/benar (yakni) setiap bid’ah itu adalah sesat dan tidak ada pada hakikatnya yang disebut di dalamnya bid’ah yang baik. Sabda Rasulullah lagi, “Barangsiapa yang melakukan suatu perbuatan tanpa didasari perintah dari kami maka perbuatan tersebut tertolak” [HR Bukhari & Muslim].

Di samping termasuk di dalam hal bid’ah, sambutan maulid al-Rasul ini juga boleh menjerumuskan seseorang Muslim itu kepada tasyabbuh bil kuffar (menyerupai orang-orang kafir) jika ia disambut dengan niat ke arah itu. Jika kita mengamati sambutan maulid Nabi yang dirayakan sejak dahulu lagi maka kita akan dapati sebahagian dari umat Islam melakukan hal ini sebagai sikap taqlid dan menyerupai orang-orang Nasrani yang merayakan hari Krismas bagi menyambut kelahiran Nabi Isa. Hal ini pernah terjadi ke atas kaum Muslimin di masa kemunduran berfikir melanda mereka, sehingga mereka berkata, “Nabi Muhammad lebih utama dari Nabi Isa, jadi mengapa mereka boleh memuliakan Isa dan kita tidak boleh memuliakan Nabi Muhammad?” . Dengan analogi yang salah dan tidak berdasarkan nas ini, mereka menganggap bahawa ianya adalah baik jika diadakan. Bagi mereka yang melakukan hal ini berdasarkan analogi tersebut maka mereka telah termasuk ke dalam perbuatan yang haram kerana menyerupai orang-orang kafir. Banyak hadis sahih yang melarang tasyabbuh bil kuffar ini. Di antaranya, “Tidak termasuk golongan kita orang yang menyerupai kaum lain” dan “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia termasuk salah seorang dari mereka” [HR Muslim dan Ahmad]. Rasulullah begitu menekankan perlunya kita berbeza dari golongan kafir sehingga orang-orang Yahudi pernah berkata, “Muhammad ini tidak meninggalkan sesuatu urusan kita melainkan melakukan hal-hal yang sebaliknya”.

Dengan ini, amatlah jelas bahawa sambutan maulid Nabi ini tidak termasuk bahagian dari ajaran Islam, malah merupakan satu hal yang bid’ah dan tasyabbuh bil kuffar yang mesti ditinggalkan. Bagi yang melakukannya kerana ingin memuliakan Rasulullah, maka ingin kami tegaskan di sini bahawa memuliakan Rasul itu memanglah wajib, tetapi ia hendaklah dilakukan dengan cara yang telah ditetapkan oleh syara’, bukan mengikut hawa sendiri. Sesungguhnya memuliakan Nabi itu adalah dengan mengikuti dan berpegang teguh kepada segala sunnahnya, baik itu perkataan, perbuatan ataupun taqrir (pembenaran) baginda. Memuliakan Rasul juga boleh dilakukan dengan cara membaca selawat ke atas baginda di setiap waktu, bukan hanya di hari maulid baginda. Firman Allah, “Allah dan malaikatNya berselawat kepada Nabi (Muhammad Sallallahu alaihi wa Sallam). Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya” [TMQ al-Ahzab (33):56]. Kaum Muslimin di zaman Rasulullah begitu berhati-hati dalam melakukan sebarang perbuatan kerana bimbang akan melakukan bid'ah. Pernah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim bahawa para sahabat pernah bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimanakah caranya untuk kami ucapkan selawat untukmu? Maka Nabi pun mengajarkan mereka caranya...” .Terdapat banyak lagi hadis yang menjelaskan keutamaan berselawat kepada Rasul di setiap waktu, namun apa yang jelas, perbuatan selawat sekalipun, haruslah mengikuti dalil-dalil syara’ yang telah ditetapkan. Malangnya kini umat Islam terlalu berpegang kepada fatwa-fatwa yang kadangkalanya terpesong jauh dari hukum syara’ dan umat Islam terlalu banyak bertaqlid buta tanpa mengkaji sendiri dengan lebih mendalam akan dalil-dalil bagi setiap perbuatan yang ingin dilakukan mereka. Keadaan menjadi lebih parah apabila para pemerintah dan ulama yang ada membenarkan, dan lebih buruk mengarahkan perkara ini tanpa mengkaji nas-nas dengan terperinci akan kebolehannya. Islam di ambil hanya di dalam bentuk untuk memuaskan kehendak kerohanian atau untuk memenuhi gharizah tadayyun (naluri beragama) semata-mata, tanpa diambil sebagai hukum-hakam untuk menyelesaikan seluruh permasalahan manusia.

Bagi para ulama dan juga kaum Muslimin yang membolehkan sambutan maulid al-Rasul dengan alasan masih terdapat syubhat al-dalil di dalamnya, maka semoga hal tersebut dapat menjadi hujah dan alasan yang membebaskan mereka di sisi Allah nanti kerana hal itu dibolehkan/dilakukan atas dorongan kecintaan, penghormatan dan keagungan mereka kepada Rasulullah; atau dengan maksud untuk bersyukur kepada Allah di atas kurnia yang diberikanNya kepada kaum Muslimin dengan dilahirkan seorang manusia yang paling mulia di muka bumi yang mana kita telah menjadi umatnya. Namun mesti diperhatikan di sini bahawa para ulama yang membolehkan diadakannya sambutan maulid Nabi ini telah mensyaratkan bahawa ia mestilah bersih dari segala kemungkaran seperti zikir yang menyesatkan, ratapan, tangisan yang berlebih-lebih, nyanyian, iktilath (percampuran antara lelaki dan perempuan), tabarruj (bersolek dan menghiaskan diri - bagi perempuan) dan lain-lain kemungkaran lagi.

wallahua'lam...

Ibnurashidi said...

nahmy...

Aiwahh, teruskan mencari Encik..semoga anda ketemui apa yang dicari itu.

Tirana said...

Salam Farid..

Rindu dan sayangnya kak tirana pada suami ialah dengan mentaatinya selagi perintahnya tidak bercanggah dengan syari'at begitu juga bila rindu dan sayang pada Rasululllah..taati dan ikuti sunnah baginda walaupun baginda telah tiada di sisi kita.

DAMAI said...

Salam buat perindu Rasulullah SAW ^^

Ya,kadang2 mulut ini lebih banyak cakap daripada tangan dan kaki ini buat….semoga Allah ampunkan kelemahan kita…

Sunnah Rasulullah SAW itulah yang harus kita hidupkan sebagai bukti cinta,kasih,rindu,sayang pada baginda SAW….jangan memandang sunnah2 Baginda SAW sebagai suatu yang berat dan payah untuk dilaksanakan….membasuh tangan sebelum makan itu juga satu sunnah.....susahkah untuk dilakukan?

Ayuh,ibnurashidi dan pembaca yang lain…mari buktikan yang kita ini ummat yang terbaik kerana penghulu kita adalah yang terbaik seluruh alam…^^

Ibnurashidi said...

Salam SRISUFI…

Alhamdulillah sihat sejahtera hendaknya. Iya, nikmat terbesar selaus hamparan langit dan bumi. Sedikit itulah yang dinamakan ghuraba’. Kerana akhir zaman umat Islam akan kembali berdagang. Jadi tak mustahillah kalau mereka-mereka yang membawa agama suci ini begitu sedikit.

Amin. Asalkan cara itu menepati syariat dibawanya..silakan.

Ibnurashidi said...

SangMentari…

Dahulu umat Islam bukan saja menyambutnya, malahan turut serta mempraktikkan segala suruhan baginda. Itulah sebaik-baik sambutan terhadap lahirnya seorang Rasul akhir zaman ini.

P/S: Berkebetulan dengan program EMINENT ’09 pihak terlibat turut mengadakan ceramah Maulidur Rasul.

Ibnurashidi said...

k.kin hashim…

Benar, itu antara motif tujuan saya menulis entri ini. Mengingati junjungan mulia sepanjang masa..berselawat serta lakukanlah suruhannya.

az said...

Salam...
Apa yg saya dapati, negara kita terlalu banyak membuat rujukan buku2 daripada pemikir2 barat...terutamanya soal motivasi, psikologi sedangkan banyak yang boleh kita rujuk daripada Rasulullah SAW.
Akhirnya timbullah pemikiran2 yang tidak sehala dengan cara hidup Islam.

Anonymous said...

Salam..memg patut sgt mengingati junjungan besar kita..saya skrg kat walaupn tgah kursus tp still da smbtan maulidur rasul..nk wat sepanduk..kt sek pun plajr kne wat jgak utk perarakan..ingatkan nk mintk tlg sorg kawan design kan..tp dia mcm busy je..kena cr idea sendri la nampaknye :-)

Ibnurashidi said...

Salam tronx013…

Benar bicara kamu. Oleh itu, tidak perlulah terlalu membazir dengan program yang seakan bunyi tong yang kuat bila diketuk tetapi isinya kosong.

Insya’Allah. Dan ketika saya menuntut dalam bidang Sejarah Tamadun Islam dahulu, memang pensyarah ada berpesan yang banyak buku-buku sejarah di Malaysia telah terseleweng daripada kebenaran. Terutamanya dalam masalah Perang Jamal dan Siffin era Saidina Ali r.a dan Muawiyyah.

Ibnurashidi said...

Salam Kak Tirana…

Alhamdulillah. Moga Allah SWT memberkati kehidupan kak sekeluarga. Harapannya rasa kecintaan itu meresap ke dalam keluarga kalian.

Ibnurashidi said...

Salam DAMAI…

Nauzubillahhiminzalik…semoga dijauhkan daripada perkara-perkara tersebut.

Ia, membasuh tangan, membaca doa makan, menjilat jari dan bermacam lagi sunnah hal ehwal makan. Belum masuk perkara lain lagi.
Insya’Allah..

P/S: Bila membaca entri kamu barulah tahu apa yang terjadi. Sangat mengaibkan.

Ibnurashidi said...

Salam Az…

Benar, kalau mengambil sekadar membaca untuk tahu itu tidak ada masalah. Tetapi yang menjadi masalah bila pemikiran itu meresap dalam jiwa. Lalu cuba mencampuradukkan dengan antara kebenaran dan kebatilan. Lebih bermasalah, berbangga pula dengan pemikiran barat serta bermati-matian mempertahankannya.

Ibnurashidi said...

Salam Nur_syahadah…

Ingat selalu. Tidak kira waktu. Tak semestinya hanya ketika datangnya Maulidur Rasul sahaja.
Designkan sepandukkah?

nohas said...

Salam...Alhamdulillah, dapat dua pencerahan ilmu, dari tuan punya blog dan komentar sahabat_islam..

Tidak pernah jemu membaca kisah detik-detik terakhir Rasulullah s.a.w, pasti mengalir air mata..Qudwah Hasanah..

Ibnurashidi said...

Salam sahabat_islam selaku sahabat semenjak Sekolah Menengah sehingga kini. Semoga ukhwah yang terbina terus mekar ke akhirnya..Insya'Allah.

Pertama sekali, terima kasih di atas penerangan yang jelas lagi bernas. Semoga Allah SWT memberkati.

Apapun, memandangkan ia masalah khilafiyyah. Maka diharap umat Islam tidak perlu bertelagah dalam hal ini sehingga timbul perpecahan sebagaimana yang berlaku di tanahair atau sekitarnya. Semoga Allah meredhai mereka yang menyokong dan yang tidak mengamalkannya.

Apa yang pasti...selawat, mengamal sunnah dalam kehidupan kita seharian termasuk semua aspek adalah satu tuntutan. Itu pointnya.

Wallahu a'lam.

Ibnurashidi said...

Salam orangbukit...

Syukran..saya berharap begitu juga. Iya, usahlah jemu dalam membaca serta menghayati sirah Rasulullah SAW. Kerana kita akan timbul satu perasaan kasih syg padanya..lalu merasa untuk melakukan pula suruhan baginda. Itu pentingnya sirah nabawi..

Anonymous said...

Salam..a'a,betul tu..wajib mengingati junjungn besar kita walau di mane berada dan walau bila masa pun..

P/s: design sepanduk dah settle,utk design kt buku pulak.. Tapi da kawan dah tlp design kan..tq very much!

Post a Comment

Blogger Muslimin

HarakahDaily.Net

Blogger Muslimat

Tranungkite Online V8

  © Blogger templates Newspaper by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP