Ada Apa Dengan Rejab? ( Bahagian 1 )

Saturday, July 5, 2008



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


بسم الله الرحمن الرحيم.. الحمدلله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف المرسلين، وعلى اله وصحبه أجمعين. أما بعد




Pada hari Jumaat bertarikh 4 Julai 2008 sekali lagi kita dipertemukan dengan bulan Rejab bersamaan 1429H. Alhamdulillah semoga dengan nikmat umur yang diberikan Allah SWT ini kita dapat juga bertemu dengan bulan Sya’ban dan Ramadhan akan datang. Sebagai tazkirah buat diri yang dhoif ini dan kepada rakan-rakan, saya cuba untuk menulis serba sedikit pengetahuan tentang bulan Rejab. Semoga ianya dikira amalan sedekah secara tidak langsung buat diriku tambahan pula dibulan yang diberkati ini. Untuk permulaanya mari kita lihat apakah pengertian Rejab menurut bahasa Arab dan kefahaman masyarakat Arab itu sendiri.




Pengertiaan Rejab

Bulan Rejab adalah bulan ketujuh mengikut kiraan Qamariah. Menurut pengertian dari segi bahasa, Rejab bermakna kebesaran atau kemuliaan dan ia membawa maksud bulan yang dibesarkan atau dimuliakan. Masyarakat Jahiliyah menamakan bulan ini dengan bulan Rejab kerana mereka memulia dan menghormati bulan ini dengan mengharamkan berperang di dalamnya. Ketika datangnya Islam, Rasulullah SAW masih mengekalkan nama ini dan mengharamkan pertumpahan darah di bulan Rejab. Dan bagi umat Islam, kita memperingati dan memuliakan Rejab sempena dengan peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah SAW iaitu peristiwa Isra' dan Mi'raj dan beberapa peristiwa lain lagi. Manakala 3 huruf ejaan Rejab pula dikaitkan dengan 3 pengertian seperti berikut :-



1. Huruf (ر) adalah bererti rahmat ( sifat kasihan belas ) Allah SWT ke atas umat Nabi Muhammad SAW telah menerima permintaan Rasulullah SAW untuk mengurangkan solat 50 kali sehingga 5 kali ketika mana berlakunya peristiwa Isra’ Mi’raj.

2. Huruf (ج) adalah bererti betapa pemurahnya Allah SWT memberikan ganjaran pahala 5 kali solat setiap hari bersamaan dengan pahala 50 kali solat.


3. Huruf (ب) adalah bererti kebaikan dan kebajikan yang dilakukan pada bulan ini akan mendapat ganjaran pahala besar disisi Allah SWT.



Peristiwa penting dibulan Rejab


Hijrah Pertama Ke Habsyah


“Dan orang yang berhijrah kerana Allah setelah mereka dizalimi, pasti Kami akan memberikan tempat yang baik kepada mereka di dunia. Dan pahala di akhirat pasti lebih besar, sekiranya mereka mengetahui….” ( An-Nahl : 41 )


Seiring dengan penyebaran Islam di Mekah pada peringkat awal, pelbagai ancaman dari kalangan kaum musyrikin Mekah telah dilakukan. Para sahabat baginda berterusan mendapat penyiksaan dan penderaan yang pedih. Maka para sahabat mengadu akan hal itu kepada baginda. Justeru itu, baginda SAW menyuruh para sahabat supaya berhijrah pertama kalinya ke Habsyah.


Antara tujuan penghijrahan ini dilakukan adalah kerana untuk menjaga keselamatan diri, Iman dan Islam itu sendiri. Kesinambungan dari itu, gerakan Islam dapat diteruskan lagi serta gerak kerja strategi penyebaran Islam dapat dilakukan secara berterusan dan sistematik. Malah dengan berhijrah, mereka mendapat tapak baru untuk langkah seterusnya. Antara sahabat Nabi SAW dari kalangan lelaki yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Uthman bin Affan bin Abi A’si bin Umayyah bin Abd Syam, Abdullah bin Auf, Zubair bin Awwam bin Khuwailid bin Asad dan lain-lagi. Manakala dikalangan wanita termasuk anak Rasulullah SAW iaitu Roqiyyah binti Muhammad SAW serta beberapa orang wanita lain lagi. Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Banyak sebab mengapa Habsyah dipilih sebagai destinasi Hijrah antaranya ialah kerana keadilan Raja Najashi dan kesolehan beliau. Ada pendapat mengatakan beliau adalah seorang ahli kitab. Selain itu, negeri Habsyah adalah merupakan sebuah negeri yang aman serta tidak wujud kezaliman dikalangan rakyat dan pemimpinnya.



Peristiwa Isra’ dan Mi’raj

Peristiwan ini berlaku pada 26 atau 27 Rejab. Dalam peristiwa inilah pensyariatan Solat Fardhu diturunkan kepada baginda SAW dan umat Islam. Pada asalnya Allah SWT mewajibkan solat sebanyak 50 kali akan tetapi diringankan menjadi 5 kali sehari setelah diminta oleh Rasulullah SAW. Maha Suci Allah SWT yang Maha Mengetahui isi hati hamba-hambanya.




Bersambung....



Ibnurashidi.blog
5 Julai 2008
3:08 PM


Rujukan :-

- Sirah Nabawiyah Mujallid Awwal, oleh Dr.Ali Muhammad Muhammad As-Sollabi.

- Panduan lengkap kehidupan Muslim, oleh Haji Nik Azran Muhamed dan Warnidah Wan Abd Razak.

- www.al-azim.com/masjid/rejab/index.htm

- Tafsir Syamil Al-Quran.



1 komentar:

Ibnurashidi said...

salam..

Kepada sahabat2 yang ada penambahan ataupun sebarang pembetulan ayat atau fakta dan sebagainya boleh terus komen disini..harap maklum..

Post a Comment

Blogger Muslimin

HarakahDaily.Net

Blogger Muslimat

Tranungkite Online V8

  © Blogger templates Newspaper by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP