Lelaki dan Marah ; Seputar Ulasan

Sunday, January 6, 2008



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


بسم الله الرحمن الرحيم.. الحمدلله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف المرسلين، وعلى اله وصحبه أجمعين. أما بعد

Kes beginilah bukanlah menjadi aib bagi masyarakat arab Mesir khususnya. Jika anda perhatikan disekitar tempat anda menginap di sini tidak kiralah samaada di bandar, desa, ladang gandum, masjid, pasar, pekan, tepi jalan dan sebagainya sudah tentu akan terjumpa. Malah saya juga kadang-kadang pernah terlibat sama. Tentu anda tertanya-tanya. Kes apa yang saya nak bawakan di sini? Kes-kes yang saya maksudkan ialah, pertengkaran, perkelahian, pergaduhan, perdebatan mulut, caci makian, kutuk mengutuk. Bagi saya sudah lali melihat 'benda' semacam ini dalam masyarakat Mesir. Kadang-kadang apa yang digaduhkan itu hanyalah perkara kecil, "ma yanfa' syi" ( tak logik ) kata mereka dalam loghat ammiyah. Tergelak kecil melihat pertengkaran mereka, kadang-kadang suka juga saya memperhatikan gelagat mereka. Bukan apa, di Malaysia jarang jumpa kes sebegini. Mungkin kalau adapun masyakat kampung akan labelkannya sebagai "tidak cerdik", "perangai budak-budak" dan macam-macam gelaran lagi.


Deretan bangunan di Hayyu sabie'...


Jadinya, sebenarnya saya ingin berkongsi cerita peristiwa pagi tadi ketika mana selepas solat subuh di Masjid berhampiran rumah saya. Sebagaimana biasa Si Imam terus dengan tugasnya menjadi Imam Masjid. Manakalah makmum dengan caranya sebagai makmum. Sejurus masuk rakaat kedua Si Imam tersilap baca ayat quran dan terus ditegur oleh makmum mengikut kebiasaannya. Dan pada celah itu, Si Imam tersasul menyebut "na'am" ( Ya ) ketika ditegur. Ok, selesai seperkara. Kemudiannya selepas sahaja menunaikan solat subuh ( di sini kebiasaannya arab Mesir tidak membaca wirid selepas solat ) terus makmum menegur perbuatan Imam dengan katanya batal solat kerana menyebut perkataan "na'am" tadi kerana hujjahnya mengatakan ia bukanlah sebahagian Ayat Quran, Zikir, Takbir dan Tasbih. Memang benar ada hadis menyebut tentangnya. Apalagi meradanglah Si Imam tadi dengan getaran jerkahan memecahkan keheningan pagi. Fuss, dashyat juga. Semakin lama semakin panas perdebatan tersebut. Maklumlah arab manusia yang "Hot tamper" pantang dicabar, terus naik angin tidak kiralah waktu musim sejukke atau musim panas. Saya dengan suka hati mendengar setiap ucapan mereka sehingga selesai. Akhirnya perbalahan itu selesai begitu sahaja tanpa sebarang kesimpulan yang menarik. Si Makmum tadi menunaikan solat subuh sekali lagi kerana ia berpegang dengan pendapat mengatakan batal.

Bagi anda sebagai pembaca, apa komen anda tentang kisah di atas?Jika ada pendapat boleh dikongsikan bersama. Sebelum ini pun pernah saya lihat peristiwa sebegini berlaku juga di dalam masjid ( masjid berhampiran rumah lama saya ). Si Imam memarahi Makmum kerana tidak melarang budak-budak belum baligh melintas depan orang yang sedang bersolat. Sama-sama panas baran, natijahnya pergaduhan juga berlaku. Begitulah sebahagian perangai masyakat di sini. Banyak lagi kes-kes yang berlaku dan ingin dikongsi bersama sahabat-sahabat tetapi tidak tertulis diruangan terhad ini.


Saidina Umar r.a Sebelum Islam dan Selepas Islam

Pada pandangan saya, sifat panas baran, marah, kurang bersabar, suka bergaduh bukanlah sifat-sifat seorang mukmin sejati yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW dan Agama Islam itu sendiri. Kerana cepat marah dan tunduk kepadanya adalah petanda lemahnya insan sekalipun dia memiliki lengan yang gagah dan tubuh badan yang sihat. Di dalam sebuah Hadis baginda SAW bermaksud :-
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa seorang lelaki berkata kepada Rasulullah SAW : "Berilah wasiat kepadaku." Lalu Rasulullah SAW bersabda : " Jangan Marah." Lelaki tersebut mengulangi pertanyaanya berkali-kali, sabda Rasulullah SAW : "Jangan Marah."
( Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari di dalam kitab 'Adab', bab 'Amaran daripada bersifat marah'. Nombor 5765. )
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya : Rasulullah bersabda : "Bukanlah orang yang gagah itu orang yang kuat bergusti, tetapi orang yang gagah atau kuat adalah orang yang mampu menahan dirinya ketika marahnya."


Ramai sahabat baginda sewaktu zaman jahiliyahnya mempunyai perangai sebegitu akan tetapi apabila hadirnya sinar Hidayah di dalam sanubari maka terbentuklah Insan berakhlak tinggi hasil didikan Rasulullah SAW. Contoh yang biasa kita dengar kisah bagaimana Islamnya Saidina Umar r.a. seorang pemuda yang bengis, garang, dan juga bersifat panas baran. Akan tetapi segala-galanya berubah kerana Islam. Islam mengajar seseorang akan nilai akhlak yang mulia. Tidak ada pada agama lain. Kebengisannya digunakan hanya kepada musuh Islam sahaja selepas beliau memeluk Islam. Bahkan dikisahkan bahawa setiap lorong yang beliau lalui bukan sahaja digeruni oleh musuh, bahkan syaitan juga tidak berani lalu. Islam telah mengangkat darjat seseorang yang hina kepada manusia yang dimulia disisi Allah SWT bahkan makhluknya yang lain turut memberi penghormatan. Subahanallah!!


Kesan-kesan marah yang dimurkai
 

Sifat marah tanpa bersebab apabila ditonjolkan oleh seorang individu kadangkala boleh menjatuhkan maruahnya sebagai seorang muslim, malah hilang penghormatan masyarakat kepadanya. Apabila seorang insan menghambakan dirinya dengan sifat marah maka dia akan jatuh tumbang bersama kesan-kesannya samaada kepada diri dan masyarakat.

  • Kesan kepada Individu ; Ia terkesan ke atas sifat zahiriyyahnya ( tubuh badannya, sifat batiniyyah serta sifat keimanan ( Akhlaknya dan Kerohanian ). Ia dapat dilihat dimana ketika seseorang itu marah maka akan muncullah kata-kata makian, kejian, kutukan, mengumpat, tubuhnya menggeletar, muka merah padam, matanya merah menyala. Firman Allah SWT bermaksud :
Dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan-kesalahan orang. Dan (ingatlah) Allah SWT mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik."
( Surah Ali Imran : 134 )
  • Kesan kepada masyarakat ; Boleh menyebabkan perasaan kurang senang, dengki, irihati, di dalam masyarakat seterusnya menyebabkan masyarakat berpecah belah dan bermusuhan. Putusnya tali silaturahim sesama Islam.



Sifat lemah lembut dan keluhuran budi Rasulullah SAW

Di kisahkan bahawa telah datang seorang lelaki bernama Zaid bin Sa'nah menemui Rasulullah SAW ketika mana sebelum keislamannya. Beliau datang untuk menguji salah satu sifat kenabian iaitu sifat lemah lembut mengatasi sifat marah dan sifat terlalu jahil orang jahil akan menambahkan lagi sifat lemah lembutnya. Lalu Zaid menuntut hutangnya yang belum sampai masa daripada Rasulullah SAW dengan begitu kasar dan keras. Walaupun begitu, Rasulullah SAW tetap membalasnya dengan dada yang lapang dan senyum manis, sebaliknya Umar r.a memarahi lelaki tersebut. Lalu Rasulullah SAW bersabda untuk memberi tunjuk ajar kepada Umar dan lelaki tersebut : "Aku dan dia, kami sebenarnya lebih berhajat kepada selain daripada ini wahai Umar! Kamu sepatutnya menyuruh aku supaya melakukan pembayaran dengan baik dan menyuruhnya supaya menuntut hutang dengan cara baik."

Lalu Rasulullah SAW mengarahkan supaya ditunaikan hutang dan ditambah haknya sebagai gantian akibat herdikan yang diterimanya daripada Umar. Itulah yang menyebabkan Zaid memeluk Islam dan terselamat daripada kemurkaan Allah dan neraka-Nya. Hadis diriwayatkan oleh Ibnu Hibban, al-Hakim dan at-Tobaraani.





Kesimpulannya


Tidak ada faedahnya jika kita terlalu ikutkan emosi kerana emosi bukanlah jalan penyelesaiannya. Bahkan mendatangkan kesan lebih buruk dari itu lagi. Banyak kisah-kisah menceritakan kebaikan dan keluhuran budi pekerti Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat baginda. Cuma tinggal kita menceduk serta mentadbikkan di dalam kehidupan harian kita sebagai seorang muslim. Tidak kiralah siapa dia, bangsa mana, warna kulit dan sebagainya seadainya Islam tidak dijadikan role model maka jauhlah dia dengan akhlak terpuji dan syariat Islam. Nasihat ini saya tujukan kepada diri saya yang hina serta para sahabat-sahabat sekelian sebagai tanda peringatan. Semoga sama-sama kita boleh mengambil Istifadhah daripada kisah diatas. Sekian, Wallahua'lam..




Ibnurashidi, 
8:14 p.m, 27 Zulhijjah 1428H,
Siberbay.


2 komentar:

Anonymous said...

salam ya akh.. marah itu ada batasnya, dan yang berlebihan itu hanyalah bawaan syaitan.. menegur tidak salah, namun islam ada garis panduannya dlm menegur spya yang ditegur tidak malu dan yg menegur diterima pendapat. jadi tidak mungkin terjadinya pertengkaran..lagi-lagi bagi pihak lelaki, biasanya 'sound direct' memang bisa menaikkan suhu kemarahannya.. mungkin bukan ego, tetapi itu fitrah semulajadi lelaki, dan lemah lembut dlm hemah teguran insyaALLAH yg terbaik utk lelaki. sesungguhnya Rasulululah saw sbg qudwah hasanah, seindah cerita baginda di dlm entri kali ini.. tersentuh ana..

wallahua'lam..sekadar pandangan

sebenarnya ada satu artikel yg hampir sama seperti entri nta ni ana tulis, 'muslimah dan emosi', tp belum publish..belum sempat dikemaskini krn hambatan masa dan kemudahan access internet yg belum smpi ke bilik, kelak insyaALLAH.. hampir sama dan moga ada tambahan pengajarannya nanti

Anonymous said...

salam..mmg marah adalah tabiat biasa bgi lelaki,krn llki dri kecil hngga bsr dajar dgn kasar dan sbgainya.Bagi ana semoleknya llki ddidik dgn cara tersbut, krn Nabi juga ada mnyruh llki bljar memanah, mnggang kuda, berenang. tujuannya spya tidak wjudnya laki 'sotong' lembut tanpa bersebab.Akan ttpi sume itu perlu ada caranya, marah dan tegas jika dcmpur dgn akhlak yg mulia alangkah indahnya Islam..nescaya musuh Islam tak berni nak pijak kepala kita sbgaimana yg berlaku skrng..pemuda hlng kekuatan, ketegasan pemudi hanyut dgn kemewahan,kecantikkan,metarial...dll..

Silalah post artikel tersebut..mungkin boleh dibaca n dambil pengajaran..insyaallah..

Post a Comment

Blogger Muslimin

HarakahDaily.Net

Blogger Muslimat

Tranungkite Online V8

  © Blogger templates Newspaper by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP