Wanita Pilihan
Monday, December 24, 2007
Rasulullah bersabda yang bermaksud:-
“Ada empat wanita mulia yang juga penghulu segala wanita di dunia...
Mereka ialah Asiah binti Muzahim, isteri Firaun, Maryam binti Imran, ibunda Isa, Khadijah binti Khuwailid, isteri Rasulullah saw dan Fatimah binti Muhammad,”
(Riwayat Bukhari)
Asiah adalah simbol teladan bagi wanita beriman yang tetap mempertahankan keimanannya kepada Allah, meskipun hidup sebumbung bersama suaminya, Firaun yang tidak beriman kepada Allah malah mengaku pula sebagai tuhan bagi manusia.
Maryam pula simbol wanita dalam ibadatnya dan ketinggian darjat ketakwaannya kepada Allah serta mampu memelihara kesucian diri dan kehormatannya ketika mengabdikan dirinya kepada Allah. Meskipun ditohmah dengan pelbagai cercaan dan fitnah beliau tetap tabah mengharunginya bersama anakanda tercinta iaitu Isa a.s.
Khadijah pula simbol isteri setia tanpa mengenal penat lelah mendampingi suaminya menegakkan panji-panji kebenaran Islam, berkorban jiwa dan harta bendanya serta rela menanggung pelbagai risiko dan cabaran dalam menyebarkan risalah Islam yang diamanahkan pada bahu Rasulullah. Dikala Rasulullah SAW keseorangan, beliau telah hadir menemani baginda serta memberi semangat supaya dakwah Islam terus berjalan tanpa memperdulikan ugutan puak musyrikin Quraisy.
Fatimah pula adalah simbol pelbagai dimensi wanita yang solehah, anak yang solehah dan taat kepada ayahnya; isteri yang setia kepada suaminya serta ibu yang bijaksana membesarkan putera puterinya. Malah, dialah panduan segala wanita dan juga seorang wanita mithali yang wajar dijadikan ikutan Muslimah.
Rasulullah SAW menyukai wanita yang mampu melahirkan anak yang ramai kerana kesannya akan meramaikan lagi umat baginda. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :-
“Sebaik-baik wanita itu ialah wanita yang melahirkan anak, yang penyayang; yang memelihara kehormatannya; yang mulia pada kaca mata ahli keluarganya; yang menghormati suaminya; menghiaskan dirinya hanya untuk suaminya tercinta; memelihara diri daripada pandangan orang lain; yang mendengar kata-kata suaminya dan mentaati segala perintahnya"
“Apabila bersama suaminya, dia memberikan apa saja yang diperlukan suaminya dan dia tidak pula menolak ajakannya; serta tidak merendah-rendahkan atau menghina kedudukan suaminya di hadapan orang lain.” ( Riwayat Al Tausi).
Diedit Oleh : Ibnurashidi
0 komentar:
Post a Comment