Akal Manusia : Penciptaan Agung Allah SWT
Sunday, December 16, 2007
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم.. الحمدلله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف المرسلين، وعلى اله وصحبه أجمعين. أما بعد
Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT kerana masih lagi menghidupkan kita pada hari ini, ia memberikan nafas berupa oksigen untuk kita meneruskan kehidupan sebagai khalifatullah. Hari ini, tiada ada apa yang istimewa berlaku dalam hidup saya mungkin kerana saya tidak pandai mencorakkan kehidupan seharian menjadi seceria warna pelangi dilangit barangkali. Hanya pada malam ini, selepas sahaja mengikuti kelas tambahan bagi persediaan imtihan sempat saya bersama rakan ke pekan mencari barang dan singgah di Restoran Canaria di Akhir Said menjamu selera. Menunya ialah Pizza Daging dan Roti Shawarma (sejenis kebab daging). Bolehlah tahan juga tahap kesedapannya berbaloi dengan harga yang ditawarkan. Lebih kurang 14 junaih ( tak sampai rm10 rasanya) makan dua orang. Maklumlah musim sejuk sebegini perut cepat bernyanyi-nyanyi pelbagai jenis lagu.
Angin bayu sejuk menusuk tulang sudah semakin bertambah dari hari kehari menandakan musim sejuk di bumi anbiya' ini sudah mencapai tahap kemuncaknya, cuma masih belum 'berasap mulut' kata pelajar-pelajar sini. Seandainya di Malaysia dulu sewaktu kecil saya seringkali menonton filem-filem "mat saleh" yang berlatar belakangkan salji serta musim sejuk. Terdetik juga ketika itu mahu ke negara-negara yang sejuk seperti itu. Alhamdulillah, akhirnya saya menjejaki kaki ke sini sebuah negara beriklim sejuk panas. Dapat juga merasa kesejukan semulajadi ciptaan Allah SWT dan awal tahun 2007 sempat juga saya merasa bagaimana rupa bentuk salji ketika mendaki di Jabal Musa.
Pizza dan Roti Shiwarma yang sedap...
Begitulah hebatnya penciptaan Allah SWT ke atas manusia dan alam semesta bagi sesiapa yang berfikir tentangnya. Bagaimana dalam suatu masa Allah SWT mampu mengawal keadaan bumi seluruhnya berlainan musim. Di barat sejuk bersalji, di selatan sejuk berangin, di timur sejuk berhujan, di utara panas bermembahang. Ajaib bukan?mampukah manusia melakukan sedemikian rupa?sekadar mencipta Air-cond dan peti sejuk pun sudah terasa bagai dunia ini mereka yang punya inikan dengan pelbagai aliran musim bertukar wajah senantiasa. Saya ada juga bertanya rakan yang berada di United Kingdom katanya ketika ini musim sejuk di sana sudah ketahap menusuk ke tulang sum-sum, lebih kurang -4 darjah Celcius. Maklumlah, di sana memang begitu kebiasaannya kesejukan ke tahap membeku sudah sebati dengan jiwa meraka. Mungkin kita yang beriklim khatulistiwa apabila tiba ke tempat-tempat sebegitu terasa semacam shock ataupun agak terkejut dengan perubahan cuacanya yang dialami. Begitu juga di Mesir, walaupun tidaklah sesejuk di United Kingdom tetapi di sini kami tetap memerlukan sehelai Saratoga (selimut tebal), pakai sejuk berlapis-lapis, kasut tapak itik (sejenis kasut yang diperbuat dari kain), dan beberapa keperluan lain. Kadangkala ada juga sahabat-sahabat yang tidak tahan sejuk membeli mesin pemanas hawa untuk mengurangkan tahap kesejukan yang dialami.
Kasut "Tapak Itik" dipakai ketika musim sejuk...
Ulam gargir pengganti pegaga...
Berbalik kepada cerita penciptaan akal manusia oleh Sang Maha pencipta. Sememangnya nikmat akal fikiran, nikmat Iman dan Islam apabila ianya bersatu seperti nasi putih yang dicampur kari ayam, sayur campur tidak kiralah sayur gargir (sejenis sayur yang masyur di Mesir) atau sebagainya menjadi suatu sebatian yang amat lazat sekali. Begitu jugalah sebatian antara nikmat Akal, Iman dan Islam. Apabila Akal kita gunakan untuk berfikir secara positif serta rasa keagungan kepada Allah SWT sudah tentu ia akan melahirkan perasaan khauf atau takut, hina dina, takjub dengan penciptaan Allah SWT maka di sana akan lahirlah keimanan yang jitu terhadap agama yang kita anuti. Contoh penciptaan Allah SWT ke atas alam semesta disebut dalam Al-Qur'an Allah SWT sebagaiman dengan firmannya :-
"Dia menciptakan langit dan bumi dengan kebenaran. Dia membungkuskan malam atas siang dan membungkuskan siang atas malam..."
(SurahAz-Zumar:5)
Maka didalam Al-Qur'an, perkataan yang digunakan untuk menerangkan alam semesta adalah sangat penting. Kalimah arab yang diertikan sebagai 'membalut' dalam ayat di atas adalah 'takwir', dan dalam bahasa inggeris, ia bermakud 'menjadikan sesuatu membalut sesuatu yang lain, dililit sebagai satu pakaian yang terhampar. Sebagai contoh, dalam kamus arab perkataan ini digunakan untuk perbuatan membalut sesuatu mengelilingi suatu yang lain seperti mana orang yang memakai serban.
Maklumat yang diertikan di dalam ayat mengenai siang dan malam yang membalut antara satu sama lain menyatakan maklumat yang tepat mengenai bentuk dunia. Fenomena ini hanya akan menjadi benar sekiranya bumi adalah berbentuk bulat. Ini bererti bahawa di dalam Al-Qur'an, yang diturunkan di abad ke 7, bentuk sfera bumi telah disebutkan secara kiasan di dalamnya.
Ianya harus diingat, bagaimanapun, bahawa pemahaman mengenai astronomi ketika itu melihat dunia secara berbeza. Ketika itu difikirkan bahawa bumi berbentuk dataran rata dan semua pengiraan saintifk dan penjelasan berdasarkan kepada kepercayaan ini. Ayat Al-Qur'an bagaimanapun telah memuatkan maklumat yang baru diketahui beberapa abad sebelum ini, oleh kerana Al-Qur'an adalah kalam Tuhan, perkataan yang paling tepat digunakan di dalamnya ketika menerangkan mengenai alam smesta. Takjub bukan dengan penemuan ilmiah sebegitu?itulah kelebihan akal yang Allah kurniakan kepada manusia, seandainya digunakan sebaik mungkin nescaya kita akan menjumpai beribu-ribu lagi penemuan ajaib di dalam penciptaan Alam semesta umumnya dan Al-Qur'an khususnya. Bahkan Allah SWT berulang kali menyebut akan penciptaannya di dalam kalamullah supaya kita berfikir sewaras mungkin dan tidak melanggar akan segala suruhannya. Allah SWT berfirman :-
“Dan Dialah yang telah menciptakan bagi mu pendengaran, penglihatan dan hati. Amat sedikitlah yang bersyukur. Dan Dialah yang menciptakan serta meramaikan kamu di bumi ini dan kepada-Nyalah kamu akan dihimpunkan. Dan Dialah yang menghidupkan dan mematikan, dan Dialah yang (mengatur) pertukaran malam dan siang. Apakah kamu tidak berfikir tentangnya?”
(Surah Al-Mukminun ayat 78-80)
Saya juga tertarik dengan untaian kalam-kalam yang lahir dari seorang Ulamak hadis terkenal Imam Malik berkenaan masalah kewujudan Allah SWT. Imam Malik pernah ditanya oleh khalifah Harun Ar-Rasyid tentang bukti kewujudan Allah, dan beliau menjawab: “Buktinya ialah, setiap manusia telah dikurniakan mulut dan lidah yang lebih kurang sama kejadiannya, tetapi bahasa, suara dan intonasi setiap seorang daripada mereka adalah berbeza.” Imam Ar-Razi telah meriwayatkan kisah tersebut.
Manakala Imam Abu Hanifah pula pernah ditanya oleh sekumpulan manusia tentang bukti kewujudan Tuhan Yang Maha Pencipta, dan beliau menjawab: “Aku sedang berfikir tentang sebuah kapal di laut yang sarat dengan muatan dan barang dagangan tetapi yang peliknya kapal ini tidak ada nakhoda dan anak-anak kapal. Ia belayar ke sana ke mari dan menyelesaikan masalah dengan sendirinya”. Mereka yang mendengar perkataan Imam Abu Hanifah ini terus berkata: “Ini adalah satu kisah gila yang tidak masuk akal”. Imam Abu Hanifah terus menjawab: “Kamu menganggap orang yang mengatakan kapal boleh belayar dengan sendirinya adalah seorang yang gila. Bagaimana pula dengan golongan yang mengatakan, alam ini yang begitu halus dan tersusun kejadiannya, terjadi dengan sendirinya tanpa Pencipta dan Pengurus?” Golongan yang menemui Imam Abu Hanifah itu terus tergamam dan akhirnya mengucap dua kalimah syahadah.
Imam Syafie pula ketika ditanya tentang dalil kewujudan Allah telah berkata: “Lihatlah daun Tut ini (mulberry leaves). Apabila dimakan oleh ulat, ia mengeluarkan sutera. Apabila dimakan oleh lebah, ia mengeluarkan madu. Apabila dimakan oleh binatang ternakan, ia mengeluarkan najis. Apabila dimakan oleh rusa, ia mengeluarkan kasturi. Bagaimana semua ini boleh berlaku sedangkan daun yang dimakan adalah sama jenisnya?”
Begitulah kehebatan pemikiran dan kecerdikan ulama' terdahulu hasil pemberian Allah SWT dalam mengaplikasikan ilmu, akal pemikiran didalam kehidupan seharian. Seperti yang telah saya sebutkan tadi, apabila akal dan ilmu digunakan sebaik mungkin serta ditadbik didalam kehidupan nescaya akan lahirlah pancaran nur pemberian ilahi. Sememangnya, tidak dapat dinafikan lagi akan kehebatan serta kebesaran Allah SWT di dalam penciptaannya terhadap makhluk serta semua jenis alam cakerawala semesta.
Manakala didalam kitab Tafsir Al-Quran Al-Azim, Imam Ibn Kathir berkata: “Sebahagian ulama berpendapat, sesiapa yang mengamati langit yang luas dengan bintang-bintang, bulan dan matahari yang beredar di atas paksinya tanpa henti, kemudian memerhatikan laut yang mengelilingi tanah daratan, kemudian memerhatikan bumi serta gunung ganang yang terpancang di atasnya, kemudian memerhatikan sungai yang mengalir....... di samping pelbagai jenis haiwan serta tumbuh-tumbuhan, akan memperolehi bukti tentang kewujudan Tuhan Yang Maha Pencipta lagi Maha Agung dan Maha Bijaksana”
Oleh itu wahai sahabat-sahabat yang dikasihi sekelian, marilah sama-sama kita merenung, mentafsir, memikir secara mata hati akan segala keagungan Allah SWT supaya kesannya dapat kita ambil istifadah buat pengajaran dalam kehidupan. Ingatlah, manusia yang bijak ialah mampu memikirkan sesuatu dengan rasional serta melakukan pula dengan sistematik. Ada sebuah kata-kata mengatakan bahawa berfikir sesaat itu lebih baik dari beribadah sehari-hari..mungkin juga benar, mungkin juga ada yang kurang bersetuju. Walaubagaimanapun..berfikirlah sebaiknya, Insyallah ada hikmahnya.
Ibnurashidi,
3:13AM, 17 September 2007,
Siberbay.
0 komentar:
Post a Comment