Hakikat Puasa Serta Hikmahnya
Thursday, September 20, 2007
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم.. الحمدلله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف المرسلين، وعلى اله وصحبه أجمعين. أما بعد
Hikmah, Rahsia dan Faedah Puasa
Puasa Ramadhan adalah ibadah difardhukan Allah Taala kepada semua muslimin muslimat mukallaf. Ianya menjadi kewajipan yang qat'ei tanpa ada sebarang pengecualian melainkan ada sebab syar'ei membenarkan. Maksud ibadah ialah seseorang muslim melaksanakannya sebagai memenuhi titah perintah Allah Taala dan menunaikan hak perhambaan kepada Allah Taala tanpa melihat apa-apa natijah yang mungkin dihasilkan daripada ibadah puasa itu. Sekiranya seorang muslim telah melakukan perkara tersebut, maka selepas itu tidak ada halangan baginya untuk mencari hikmah dan rahsia ketuhanan yang tersembunyi disebalik sesuatu ibadah seperti puasa dan sebagainya. Suatu perkara yang tidak diragukan lagi ialah hukum-hukum Allah Taala semuanya mempunyai hikmat, rahsia dan faedah untuk hamba-hambaNya. Tetapi tidak disyariatkan hamba itu untuk mengetahui perkara tersebut.
Tidak diragukan juga bahawa puasa mempunyai hikmah dan faedah yang cukup banyak yang kadang-kadang sebahagiannya diketahui oleh hamba, tetapi masih banyak lagi hikmat yang tidak diketahuinya. Diantara hikmat dan faedah puasa yang mungkin diketahui oleh seseorang Islam ialah:
1. Menyedarkan hati seorang mukmin terhadap muraqabah Allah Azzawajalla. Ini disebabkan apabila orang yang berpuasa menghabiskan sebahagian waktu siangnya dengan berlapar, jiwanya inginkan makanan dan minuman. Tetapi kesedarannya tentang ibadah puasa yang sedang dilakukannya menghalang dirinya memenuhi kehendak jiwanya dalam rangka mematuhi perintah Allah Taala. Daripada pertentangan jiwa ini akan lahirlah kesedaran hati dan suburlah perasaan muraqabah Allah Taala serta berterusanlah ingatannya terhadap rububiyah dan keagungan kekuasaan Allah. Begitu juga dia akan sentiasa sedar bahawa dia adalah hamba yang sentiasa tunduk kepada hukum Allah dan mematuhi kehendakNya. Seperti mana disebut Rasulullah SAW di dalam hadisnya :
Dari Abi Umamah, berkata: “Wahai Rasulullah! Tunjukkan kepadaku, amalan yang boleh membawaku kepada syurga. Nabi bersabda: “Ke atasmu puasa, tidak ada amalan yang sama dengannya”.
(Hadis Riwayat an-Nasaa’i: 2220, Rujuk Sahih Sunan an-Nasaa’i: 2097)
2. Ramadhan adalah bulan suci dibandingkan dengan semua bulan yang lain. Allah Azzawajalla menghendaki hambaNya supaya memenuhkannya dengan ketaatan dan mendekatkan diri kepadaNya. Juga mengisinya dengan setinggi-tinggi makna perhambaan kepada Allah Azzawajalla. Alangkah sukarnya untuk merealisasikan perkara itu apabila berhadapan dengan hidangan makanan, berada dimajlis minum, selepas perut diisi penuh dan setelah naiknya hawa makanan ke dalam pemikiran dan otak. Jadi pensyariatan puasa pada bulan ini adalah jalan yang paling mudah untuk memenuhi hak Allah Taala dan melaksana kewajipan perhambaan kepadaNya. Firman Allah SWT :-
أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
"...dan berpuasa itu lebih baik bagi kamu kalau kamu mengetahui." (al-Baqarah 2: 184)
3. Sesungguhnya kehidupan seseorang muslim yang sentiasa berada dalam keadaan kenyang pasti akan memenuhkan jiwanya dengan sifat-sifat yang keras dan menyuburkan sifat-sifat terlampau. Kedua perkara ini bertentangan dengan keadaan sebenar seseorang muslim. Jadi pensyariatan puasa akan membersihkan jiwanya dan menghaluskan perasaannya.
4. Diantara prinsip terpenting tertegaknya masyarakat Islam ialah saling kasih mengasihi dan sayang menyayangi sesama umat Islam. Amat sukar bagi si kaya untuk mengasihi si miskin dengan kasih sayang sebenar tanpa dia merasai kesakitan dan kepayahan kemiskinan juga kepahitan kelaparan dan penderitaan. Bulan Ramadhan adalah sebaik-baik pengalaman yang akan diperolehi si kaya mengenai perasaan si fakir. Ini menjadikannya hidup bersama si fakir di alam kepedihan dan dihalang daripada memiliki makanan. Dari sinilah puasa adalah sebaik-baik perkara yang akan menimbulkan faktor-faktor kasih sayang, rahmat dan kesian di dalam jiwa si kaya.
Kesimpulan
Konklusinya, setiap perkara yang Allah SWT syariatkan ke atas hamba-hambanya itu mempunyai banyak hikmah tersirat dan tersurat. Kadangkala kita tidak tahu disebalik perkara tersebut. Ini kerana ilmu yang ada pada diri kita ini amat terhad jika nak dibandingkan dengan ilmu Allah SWT yang jauh berlipat kali ganda. Tidak dapat dihitung dengan akal fikiran yang cetek lagi lemah ini. Seandainya dicelup di lautan yang luas bukan setakat setitis air bahkan mungkin satu air zarah pun tidak terlekat barangkali. Inikan pula etitis air. Begitulah perumpamaan ilmu yang ada pada diri kita sebagai hamba-Nya. Oleh itu janganlah sesekali kita bersikap takbur dan riak dengan secebis ilmu yang kita miliki. Sampaikanlah kepada mereka yang tidak tahu beserta hati yang terbuka dan ikhlas kepada Allah SWT nescaya besar ganjarannya. Justeru itu, dibulan yang penuh barakah ini marilah kita jadikan sebagai kayu pengukur ataupun medan mentarbiyah jiwa kita serta bermuhasabah dosa-dosa yang kita telah lakukan selama ini. Sesungguhnya diri ini banyak membuat dosa kepada mu Ya Allah SWT..Ampunilah dosa-dosa kami Ya Rahman Ya Rahim…Ameen.
Ibnurashidi
Siberbay, 2007.
0 komentar:
Post a Comment