Tingkatan Puasa ; Dimanakah Kita?
Tuesday, September 18, 2007
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم.. الحمدلله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف المرسلين، وعلى اله وصحبه أجمعين. أما بعد
Bersyukur juga kepada Allah SWT kerana dipertemukan kembali di dalam ruangan yang serba kerdil ini bagi meneruskan perbincangan berkenaan bulan Ramadhan.
Semalam, saya agak sibuk kerana ditugaskan untuk menyiapkan kad nama bagi AJK program yang akan berlangsung pada malam ini. Iaitu program 'Malam Bicara Perdana' yang mana program tersebut bertujuan untuk memperkenalkan barisan exco Tanta sessi 2007/2008. Sehari suntuk saya mengadap komputer. Walaubagaimanapun, syukur Alhamdulillah berjaya juga menyiapkan ketika mana lebih kurang 5 minit untuk masuk waktu berbuka. Disebabkan tidak sempat untuk menyiapkan juadah berbuka, maka saya terus bergegas ke Ma'rad tempat berlangsungnya jamuan berbuka puasa bagi muafiddin ( pelajar-pelajar Azhar luar Mesir ). Jam ditangan dah menunjukkan pukul 6 petang. "Dah nak berbuka", bisik hati. Belum pun sempat sampai ke tempat yang dituju, telah masuk waktu berbuka. Ketika itu, dalam perjalanan menaiki Tramco@Van penumpang. Mujurlah sempat bekal sebiji kurma sebagai bekalan.
Apa yang menarik ialah, ketika on the way ke tempat dituju ada sekatan di sepanjang jalan raya menghulurkan air minuman free buat berbuka puasa. Bagus juga cara begitu. Dapat pahala dan faedah kepada pemandu yang tidak sempat berhenti. Terfikir juga, alangkah indahnya jikalau semua umat Islam bersikap begini bukan setakat bulan puasa sahaja malah dapat diteruskan ke bulan-bulan yang lain. Bukan apa, jika melihat keadaan umat Islam diluar sana masih wujud ramai lagi manusia yang kelaparan berlapar dahaga kerana kemiskinan, dilanda peperangan serta sebagainya. Seandainya umat Islam bersatu serta bersimpati memberikan secebis pertolongan alangkah indahnya hidup dunia ini. Itu hikmah datangnya Ramadhan bagi difikirkan bagi mereka yang berakal.
Tingkatan Puasa
Berbalik kepada perbincangan entri Ramadhan. Pada kali ini saya ingin selitkan sedikit perbandingan serta tingkatan puasa yang telah ulama-ulama sebutkan. Menurut Imam Ghazali di dalam amalan ibadah puasa, beliau telah membahagikan tingkatan puasa kepada 3 bahagian. Di antaranya ialah :-
1. Puasa Awam : Ia meninggalkan syahwat perut dan kemaluan.
2. Puasa Khusus : Ia menahan pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan segala macam perkara dari terlibat dengan kemaksiatan kepada Allah SWT.
3. Puasa Khususul Khusus : Hati yang berpuasa daripada kepentingan dunia dan memikirkan perkara duniawi dan meninggalkan segalanya serta segala-segalanya ditumpukan hanya kepada Allah Azza wa Jalla.
Manakala bagi pendapat sesetengah ulama' iaitu Syeikh Ibnu Al-Arabi , beliau pernah berkata serta membahagikan puasa itu kepada empat tingkatan pula :-
1. Puasa Al-Awwam : Iaitu puasa kebanyakkan manusia dengan menahan makan, minum dan jima’ (yakni keinginan seksualnya).
2. Puasa Khawwash Al Awwam : Iaitu puasa (menahan dirinya dari ) makan, minum dan jima’ di siang hari serta menghindari dari melakukan maksiat dan perkara yang diharamkan daripada perkataan dan perbuatan.
3. Puasa Al Khawwash : Iaitu puasa (menahan diri dari) makan, minum, jima’ pada siang hari dan menghindari dari melakukan maksiat dan perkara yang diharamkan serta tidak melakukan sesuatu perkara melainkan ianya adalah zikir dan ibadah.
4. Puasa Khawwash Al Khawwash : Iaitu puasa (menahan diri) dari mengingati (musyahadah) sesuatu selain Allah Azza wa Jalla.
Perbezaan golongan kedua dan ketiga yang disebut Syeikh Ibnu Al-Arabi di atas ialah bahawasanya golongan kedua masih ada perkara yang mereka lakukan tergolong dalam amalan yang mubah atau harus. Adapun golongan yang ketiga setiap tindak tanduknya dan amalan harian mereka beredar sekitar wajib dan sunat sahaja.
Kesimpulan
Walauapapun tingkatan puasa yang disebutkan, persoalannya dimanakah tingkatan kita berada di dalam amalan berpuasa?, adakah masih ditakuk lama?, ataupun sudah melepasi ke tingkatan yang lebih baik?, seandainya kita sudah berjaya mencapai tahap sebegitu, alangkah indahnya Ramadhan yang dilalui tanpa puasa yang sia-sia. Namun begitu, hakikatnya kita sebagai mukmin dalam mencari keredhaanNya perlu sentiasa mengamalkan konsep muhasabah diri. Ini kerana, kita akan tahu dimanakah kesilapan kita didalam amalan ibadat yang dilakukan samaada pada puasa-puasa lalu. Seterusnya kita dapat kembali mengkoreksi diri dalam mempertingkatkan kembali amalan-amalan wajib mahupun sunat supaya dapat mencapai semaksima mungkin keredhaan serta keampunan dariNya. Marilah kita bersama-sama merenung kembali. Wallahua'lam.
Ibnurashidi
Siberbay, 2007.
0 komentar:
Post a Comment