Memahami Definasi Dan Memasyarakatkan Ibadah Puasa

Sunday, September 16, 2007


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرحمن الرحيم.. الحمدلله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف المرسلين، وعلى اله وصحبه أجمعين. أما بعد


Definisi Puasa

Pengertian puasa dari segi bahasa ialah menahan diri daripada sesuatu samaada kata-kata ataupun makanan. Dalilnya ialah firman Allah Ta'la menceritakan tentang kisah Maryam ibu Al-Masih Isa a.s.
"Sesungguhnya aku bernazar untuk berpuasa kerana ( Allah ) Ar-Rahman".   ( Maryam : 26 )
Manakala puasa dari segi istilah pula ialah menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan  puasa bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari disertai dengan niat.

Istilah Ramadhan dan Asal Usul Pensyariatan

Asal dinamakan Ramadhan diambil daripada perkataan ( arramdhu ) yang bermakna kesangatan panas. Ini kerana, masyarakat Arab dalam hendak menamakan sesuatu nama disesuaikan bulan tersebut dengan keadaan ataupun peristiwa yang berlaku dalam bulan tersebut. Oleh kerana ketika hendak menamakan bulan Ramadhan itu keadaannya sangat panas, maka dinamakan Ramadhan.

Justeru itu, ibadah puasa sebenarnya telah disyariatkan ke atas umat Islam oleh Allah SWT melalui junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW pada 10 Sya’ban tahun 2 Hijrah. Maka selepas dari pensyariatan tersebut, puasa telah diwajibkan ke atas seluruh muslimin dan muslimat yang mengakui akan keesaan Allah SWT dan Muhammad SAW sebagai pesuruh-Nya. Lanjutan dari situlah bermulanya pensyariatan berpuasa di bulan Ramadhan ke atas semua umat Islam yang baligh dan berakal. Adapun bagi kanak-kanak yang masih belum baligh dan bagi orang gila tidak diwajibkan akan tetapi ibu bapa hendaklah mengasuh anak-anak sejak dari umur 7 tahun, seandainya pada umur 10 tahun mereka tidak mahu berpuasa maka pukullah mereka. Seandainya jika mereka berpuasa, puasa tersebut dikira sah. Walaubagaimanapun, apa yang penting di sini ialah kita sebagai umat Islam wajib mengikuti segala titah perintah yang telah Allah SWT wahyukan melalui baginda kepada kita.

Dalil pensyariatan puasa di bulan Ramadhan ialah sebagaimana firman Allah SWT bermaksud :-
"(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil). Karena itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur."

( Al-Baqarah :185 )

Peristiwa Bila Tibanya Ramadhan

Dewasa ini, jikalau kita tinjau secara rambang di Malaysia khususnya masih wujud lagi manusia yang tidak tahu bagaimana hendak berpuasa. Maksud saya ialah mereka yang tahu bahawa puasa itu wajib, mereka sudah cukup syarat sebagai muslim baligh tetapi mereka tetap berdegil tidak mahu melaksanakannya. Ini yang menyedihkan kita sebagai umat Islam akhir zaman, apa tidaknya sudahlah tidak berpuasa selepas itu cuba bersekongkol dengan 'Tuan Restoren' yang berjual beli makanan di bulan puasa. Langsung tidak ada perasaan tahu menghormati bulan Ramadhan. Inikah masyarakat yang diharapkan oleh kerajaan Islam Hadhari??soalan ditujukan kepada mereka yang terlibat.

Perbezaan ini ketara jika dilihat keadaan dan sambutan yang ditunjukkan oleh masyarakat arab Mesir terasa jauh berbeza dengan di tanah air kita. Kemeriahan sambutan tersebut begitu menjiwai dikalangan mereka dan kami sebagai pelajar muafiddin di sini. Berlainan cara sambutannya kerana masyarakat arab Mesir memuliakan akan ketibaan Ramadhan. Antara perkara menarik yang boleh dipuji ialah masjid-masjid boleh dikatakan senantiasa dipenuhi jema'ah tidak kira solat lima waktu ataupun sunat terawikh. Masjid-masjid juga akan dibuka bagi memberi peluang kepada jema'ah yang ingin beriktikaf di situ. Malah ditempat saya duduki iaitu Siberbay, Tanta akan kedengaran suara bilal mengejutkan Makmum untuk bersahur pada waktu pagi. Sesuatu yang jarang terdapat di Malaysia. Jika adapun mungkin di sesetengah daerah barangkali. Mungkin kaedah ini releven digunakan ditanahair. Bukan hanya hebat mengiklankan juadah kuih Raya sahaja akan tetapi turut meriah dengan pengisian Ramadhan itu sendiri. Namun begitu saya tidak menafikan, wujud beberapa kerat arab yang tidak berpuasa tetapi penghayatan itu lebih menonjol berbanding tangkapan.




Kesimpulan

"Memahami Definasi Dan Memasyarakatkan Ibadah Puasa" mudah disebut tetapi susah dipraktikkan. Tiada ibadat tanpa dugaan nafsu dan syaitan. Itulah realitinya. Namun jika ada daya usahanya mustahil masyarakat tidak akan memasyarakatkan ibadat. Setelah memahami erti puasa kemudiannya amalan itu pula sudah menjadi kebiasaan, sedikit sebanyak gejala tidak sihat dengan sendirinya akan terhakis. Akan hilang taringnya. Manusia akan malu untuk berkata "Aku Tidak Berpuasa". Mereka lebih takutkan Allah SWT dari tangkapan Jabatan Agama Islam.




Sumber rujukan : 
Fikh Manhaji, Dr.Mustofa Al-Khin, Dr.Mustofa Al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji.
100 Persoalan Puasa, terbitan ; Lajnah Pengetahuan dan Informasi BKAKLM (PMRAM), Mesir, Cetakan Pertama November 2000.



Ibnurashidi
Siberbay, 2007.

0 komentar:

Post a Comment

Blogger Muslimin

HarakahDaily.Net

Blogger Muslimat

Tranungkite Online V8

  © Blogger templates Newspaper by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP