Secalit Amalan Menghasil Sebesar Ganjaran
Sunday, September 16, 2007
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم.. الحمدلله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف المرسلين، وعلى اله وصحبه أجمعين. أما بعد
Banyak kelebihan Ramadhan telah diketahui umum. Bermula dengan keberkatan bersahur sehinggalah menunaikan solat ditengah malam menanti hadirnya "Lailatul Qadar". Sabda Rasulullah SAW dalam menceritakan keberkatan bersahur, antara lain berbunyi :-
Maksudnya : Daripada Anas r.a berkata, sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda : "Bersahurlah kamu, sesungguhnya dengan bersahur akan mendapat keberkatan." ( Riwayat Bukhari dan Muslim )
Maksudnya : Daripada Abi Said r.a berkata, Rasulullah SAW telah bersabda : "Bersahurlah kamu walaupun dengan seteguk air." ( Riwayat Ahmad )
Justeru itu, untuk entri kali ini saya akan membicarakan sedikit kaitan terkandung dalam hadis dibawah. Di dalam hadis Rasulullah SAW ini ianya memberitahu kepada kita tentang kelebihan bagi mereka yang beribadat di malam Ramadhan.
Diriwayatkan daripada Abi Sa’id Al-Khudri r.a beliau berkata : Bersabda Rasulullah SAW :
“Apabila tiba awal malam daripada bulan Ramadhan, dibukakan pintu-pintu langit (rahmat Allah dan ihsannya), maka tidak ditutup daripanya walaupun satu pintu, sehinggalah tiba akhir malam daripada bulan Ramadhan”.
“Tidaklah seorang hamba yang beriman bersembahyang pada satu malam di dalam bulan Ramadhan, melainkan Allah menyuratkan baginya seribu lima ratus kebaikan dengan setiap sujudnya itu dan Allah membinakan baginya sebuah mahligai di dalam Syurga daripada permata Yaqut yang berwarna merah yang mempunyai enam puluh ribu pintu, bagi tiap-tiap satu pintu terdapat sebuah istana bagu yang diperbuat daripada emas yang dicorakkan (dihiasi) dengan permata Yaqut merah”.
“Maka apabila seseorang itu berpuasa pada awal hari daripada bulan Ramadhan, nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu, begitulah seterusnya sehingga akhir bulan Ramadhan dan memohon keampunanlah baginya setiap hari oleh tujuh puluh ribu malaikat bermula dari sembahyang subuh hingga terbenam matahari dan dikurniakan baginya dengan setiap sujudnya itu di dalam bulan Ramadhan pada waktu malam atau siang satu pohon yang sangat besar seumpama seorang penunggang berjalan di bawah bayangannya lima ratus tahun”
(Hadis ini dikeluarkan oleh Al-Baihaqi lihat Al-Targhib wa Al-Tarhib jilid 2 halaman 94)
Jika dilihat terjemahan hadis di atas menunjukkan kepada kita, betapa banyak serta berlipat kali gandanya pahala yang Allah SWT ganjari ke atas hamba-hambanya yang soleh serta beribadat di dalam bulan Ramadhan. Malah dijanjikan pula dengan sebuah mahligai indah di Syurga kelak lantaran amal soleh yang dilakukan di dunia. Sudah tentu akal fikiran yang cetek ini tidak mampu berfikir bagaimanakah keadaan mahligai yang digambarkan di dalam hadis di atas. Namun Allah SWT Maha Kaya mampu menciptakan segalanya serta memberikan ganjaran bermacam-macam lagi kepada hamba yang disanyangiNya. Oleh itu, marilah seikhlas mungkin kita beribadat kepadanya di dalam kesempatan bulan yang mulia ini dengan melakukan solat jemaah setiap waktu, membaca serta bertadarus Al-Quran, berzikrullah, berselawat ke atas Baginda Nabi SAW, memperbanyakkan sedekah, menghubungkan silaturahim, solat terawikh dan witir, bertafakur dan bermuhasabah diri, beriktikaf pada sepuluh malam terakhir dan sebagainya lagi. Mudah-mudahan kita semua dirahmati Allah SWT hendaknya.
Kesimpulannya
Sesungguhnya banyak kelebihan Ramadhan kepada umat Islam selaku umat Nabi Muhammad SAW kerana Allah SWT telah memberikan kepada kita sebagai umat yang dimuliakan olehNya satu perkara yang tidak pernah diberikan kepada umat terdahulu iaitulah dengan disyariatkan berpuasa. Malah di dalam bulan ini juga, Allah SWT telah menjanjikan kepada hambaNya dengan ganjaran yang begitu besar sekali ini kerana di dalamnya terdapat satu malam yang mana nilainya di sisi Allah SWT amat tinggi sekali sehingga melebihi nilai ibadah seribu bulan. Iaitu malam yang di sebut malam “Lailatul Qadar”. Semoga kita tergolong di dalam golongan mendapat keistimewaan malam seribu bulan itu. Ameen Ya Rabb!
Ibnurashidi
Siberbay, 2007.
0 komentar:
Post a Comment