Antara Puasa Haq Dan Bathil

Wednesday, September 26, 2007

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرحمن الرحيم.. الحمدلله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف المرسلين، وعلى اله وصحبه أجمعين. أما بعد

Sebagai meneruskan bicara Ramadhan kita pada kali ini. Suka saya bawakan beberapa sejarah dan cerita bagaimana agama selain Islam berpuasa. Mungkin dengan cara tersebut sedikit sebanyak dapat menambah ilmu pengetahuan kita seterusnya menguatkan lagi Iman kita terhadap Ad-Deen yang dicintai.

Puasa Dalam Agama Yahudi

Sebahagian rasul-rasul yang wajib dipercayai dalam agama Islam terdiri dari Bani Israel. Umat Islam perlu berhati-hati apabila mengutuk hebat bangsa Yahudi kerana kejahatannya, jangan turut mengaitkan rasul-rasul dari kalangan Bani Israel itu sendiri. Dalam Encyclopedia of Religion menyatakan penganut Yahudi yang Ortodoks mengamalkan puasa wajib satu hari pada hari Yom Kippur (Hari pembersihan dosa) seperti mana yang disuruh oleh Mosaic Law (kemungkinan merujuk kitab Taurat Nabi Musa), kemudian mereka menambah empat hari lagi, masing-masing satu hari pada bulan Ab, Tammuz, Tebeth dan Tishri mengikut kalendar bulan Yahudi sebagai hari berkabung di atas bencana yang menimpa bangsa Yahudi. Mengikut Encyclopedia itu lagi terdapat segolongan penganut Yahudi mengamalkan puasa mengikut nabi Yahya, mengamalkan 40 hari puasa nabi Musa, 40 hari puasa Nabi Ilyas dan puasa pada hari Isnin dan Khamis secara sukarela.

Puasa Dalam Agama Kristian

Selepas kematian Nabi Isa, kitab Injil mengalami perubahan besar. Dengan demikian kita dapati dalam Bible (New Testament) tidak menyebut secara nyata tentang wajib puasa kepada penganutnya. Menurut Encyclopedia of America pada dua abad pertama sejak kemunculan agama Kristian, puasa dalam agama ini adalah sukarela. Puasa hanya diwajibkan pada abad ke 4. Secara tradisinya agama Kristian menghendaki penganutnya berpuasa 40 hari mulai hari besar Ash Wednesday hingga hari perayaan Easter, iaitu sebelum perayaan Krismas. Puasa ini dibuat sebagai simbul menghormati kesengsaraan Nabi Isa yang mengalaminya selama 40 hari. Puasa-puasa tradisi lain ialah puasa pada hari Rogetion Days, Ember Day, puasa mingguan pada hari Rabu dan Jumaat dan puasa sempena perlantikan paderi dan hari Baptis.


Walau bagaimanapun menurut Encyclopedia of Britanica, kedudukan puasa tradisi dalam masyarakat moden Kristian hari ini telah mengalami perubahan besar. Dalam persidangan Majlis Gereja Vatican 1965 di Rom telah memutuskan mereka hanya perlu berpuasa sebahagian atau pada hakikatnya berpantang dengan tidak makan daging pada hari perayaan Ash wednesday dan hari Good Friday. Kelonggaran peraturan itu dibuat sebagai usaha menggalakkan masyarakat Kristian berpuasa. Dengan demikian menurut Encyclopedia of Religion Masyarakat Kristian Ortodoks Greek dan Roman Katolik yang suatu ketika dahulu kuat mengamalkan puasa tradisi, hanya kini mengamalkan puasa atau berpantang pada hari Ash Wednesday dan Good Friday sahaja. Manakala sebahagian besar Gereja-gereja di bawah Mazhab Kristian Protestant hanya menganggap puasa itu adalah hak budibicara individu untuk mengamalkannya.





Puasa Dalam Agama Lain

Menurut Encyclopedia of Religion, walaupun sebahagian besar penganut agama Buddha cenderung berpantang tetapi mereka menganggap puasa sepenuhnya sepanjang hari bukanlah suruhan agama Buddha. Mengikut ajaran Buddha kurangkan makan atau berpantang adalah salah satu dari 13 ajarannya untuk mencapai hidup bahagia. Dengan demikian walaupun mereka berpuasa tetapi mereka boleh makan sekali sehari sebelum waktu tengah hari. Di kalangan penganut agama Buddha hanya sami yang taat berpuasa atau berpantang yang mereka amalkan empat kali dalam sebulan. Demikian juga puasa dalam agama Hindu, confusius, Tao dan ajaran kuno lain adalah mengamalkan puasa untuk pemujaan roh nenek moyang. Puasa mereka lebih bersifat berpantang dengan tidak makan daging atau dibenarkan makan sekali sehari.


Kesimpulan

Kesimpulannya semua agama mengakui bahawa puasa adalah amat penting dan menjadi satu keperluan universal kepada semua manusia. Tetapi agama Islam yang diturunkan Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW lebih mulia serta benar dari agama sesat lain. Islam telah mengambil langkah bijak dengan pensyariatan berpuasa dibulan Ramadhan sebagai satu agenda wajib kepada umat Islam yang baligh dan berakal menjalankan puasa selama satu bulan. Malah Islam menggalakkan umatnya menjalankan puasa-puasa sunat sebagai kesinambungan mengekalkan gaya hidup sihat seperti yang dikehendaki dalam semangat dan matlamat Ramadhan. Selama 11 bulan anggota badan kita aktif menjalankan jentera dan kemudiannya satu bulan pula diwajibkan berehat, maka suruhan agama Islam itu adalah tepat. Walaupun terdapat percubaan agama-agama bukan Islam untuk mewajibkan puasa kepada penganutnya tetapi tidak berjaya kerana agama itu tidak mempunyai rangkaian undang-undang yang lengkap. Maka hanya sami-sami, pendita dan paderi yang agaknya masih meneruskan saki baki amalan puasa atau berpantang larang sepertimana yang dituntut oleh agama berkenaan walaupun mereka sesat hakikatnya.



Ibnurashidi
Siberbay, 2007.

0 komentar:

Post a Comment

Blogger Muslimin

HarakahDaily.Net

Blogger Muslimat

Tranungkite Online V8

  © Blogger templates Newspaper by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP