Alangkah Indahnya Jika...
Sunday, September 30, 2007
Assalamualaikum, bertemu lagi kita diruangan maya ini. Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT kerana hari ini kita telah pun berpuasa selama 20 hari. Kita telah pun memasuki ke peringkat akhir di dalam madrasah Ramadhan kali ini. Terasa amat pantas masa berlalu tanpa sempat menghitung hari, sedar tidak sedar kita telah pun mula sampai ke garisan penamat. Seandainya ini adalah satu perlumbaan F1, garisan penamatlah yang menjadi impian setiap pelumba malah mereka berebut-rebut peluang untuk mendapat tempat yang pertama. Tetapi di dalam bulan Ramadhan ini lain pula skill nya, kita juga berebut-rebut ingin berada ditempat pertama dengan pahala yang berlipat kali ganda tetapi dalam pada waktu yang sama kita juga tidak ingin untuk sampai ke garisan penamat dengan lebih cepat kerana sayangnya setiap detik berada di bulan mulia ini. Semoga kita bertemu kembali dengan Ramadhan yang akan datang..Ameen Ya Rabb.
Pada kali ini, saya ingin bercoleteh sikit berkenaan peristiwa yang berlaku semalam. Saja untuk dikongsi bersama, terutamanya kepada sahabat-sahabat yang berada di Malaysia. Mungkin juga mereka ingin tahu bagaimana kehidupan saya di sini. Pada petang semalam, saya bersama kawan-kawan yang lain sempat berbuka puasa di rumah arab berhampiran dengan Stadium Tanta@Istad. Kami lebih kurang 10 orang dengan semangatnya berjalan kaki lebih kurang 10 minit dari Markaz Mahasiswa Tanta. Ketika sampai, kami agak terlewat kerana sudah pun masuk waktu berbuka. Tanpa melengahkan masa, dengan muka yang ceria serta berseri-seri kami terus makan makanan yang dijamu. Apa yang menarik, itulah kali pertama saya makan makanan arab yang lebih pelik. Antara makanan yang disajikan ialah sejenis buah terung yang disumbat dengan nasi serta digoreng, nasi yang digulungkan dengan kobis, ayam kukus, makaroni goreng, kentang goreng, serta pelbagai jenis air lagi. Walaubagaimanapun, kami berpuas hati dengan layanan yang diberikan ammu arab tersebut. Syukran Jazilan, semoga Allah SWT jua yang membalas jasa baik beliau. (mohon maaf, gambar tak sempat nak ambil).
Begitulah serba sedikit kisah berbuka bersama ammu arab semalam. Dan malam semalam juga saya sempat ke Masjid Jundi, Akhir Said Tanta. Kebetulan lalu sebab nak ke kedai kacamata berhampiran. Apa yang menarik dengan masjid itu?ada, menariknya masjid tersebut tidaklah sebesar Masjid Negara di Malaysia akan tetapi walaupun kecil masjid ini mempunyai jemaah bersolat Isya' dan Terawikh begitu ramai sehingga melimpah ruah hingga ke jalan luar. Sesuatu yang jarang terdapat di Malaysia. Terasa zuuq Ramadhan bila melihat suasana sebegitu. Malah Imam yang mengetuai solat juga tidak kurang hebatnya, dengan alunan suara bacaan seperti Syeikh Rasyid Masyari begitu meruntun kalbu bagi sesiapa yang mendengar. .sayu di buai bayu. Terasa hidupnya suasana bulan Ramadhan berbanding ditempat lain. Maaf juga, kerana tidak sempat untuk mengambil gambar di masjid tersebut, Insya'allah andai berkesempatan saya akan cuba sertakan nanti.
Begitulah serba sedikit coretan ringkas hidupku semalam di bumi ardhul kinanah terutama di bulan Ramadhan Karim ini. Semoga kita dapat ambil iktibar serta ikutan dari peristiwa yang berlaku. Kesimpulannya, alangkah indahnya jika di Malaysia juga wujud ramai sponsor dikalangan golongan berada mengadakan Iftor Jam'ei terutamanya dikalangan warga fakir miskin. Keduanya ialah, teramat bahagia juga seandainya masjid-masjid di tanahair yang besar dan tersergam indah senantiasa dipenuhi jema'ah sebagaimana yang berlaku di sini. Bukan sahaja masjid saja yang besar akan tetapi bersama-sama beroleh berkat dan rahmat Allah SWT.
Sekian, wassalam.
0 komentar:
Post a Comment