Jaulah Kembara Matruh Siwa ‘07

Thursday, August 9, 2007



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرحمن الرحيم.. الحمدلله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف المرسلين، وعلى اله وصحبه أجمعين. أما بعد

Alhamdulillah bersyukur kepada Allah SWT kerana telah berlangsung dengan jayanya Jaulah Kembara Matruh Siwa ’07 yang berlangsung pada tarikh (Ahad) 29 Julai 2007 bersamaan 14 Rejab 1428 sehingga (Rabu) 01 Ogos 2007 bersamaan 17 Rejab 1428. Program tersebut adalah kesinambungan dari program tahunan DMPT yang mana penasihatnya ialah saudara Mohd Hafiz Bin Md Zuki. Manakala Pengarahnya adalah Mohd Hafizul Bin Mohd Sis, serta Timb.Pengarah pula ialah saudara Mohd Nor Firdaus Bin Mustafa. Ajk yang terlibat dalam bahagian Masakan dan juga Promosi/Protokol diantaranya Saudara Mohd Farizal Bin Mohd Shah bersama saudara Adnan Bin Yusof. Pada kali ini, saudara Mohd Hatta Bin Ramli sekali lagi ditaklifkan sebagai Musyrif serta pengurusan pengangkutan dan penempatan. Walaubagaimanapun, disini penulis ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada DPMT serta AJKT terlibat dalam menjayakan program tersebut. Dibawah ini penulis menceritakan sedikit sebanyak catitan tentatif Jaulah yang berlangsung.



 Bas yang kami naiki...


  Sampai di chalet...



(Ahad) 29 Julai 2007
11 :30 malam : Berkumpul di Bait Izzah dan peserta dikendaki mendaftarkan diri .

(Isnin) 30 Julai 2007
12:30 pagi : Bertolak. Kami melalui kawasan laut garam dan kebun buah zaitun, tetapi kebanyakan dari kami tidur jadi ada yang tidak tersedar kawasan apa yang dilalui dan apa yang berlaku. Mungkin kerana kepenatan.
3:50 pagi : Berhenti rehat , solat subuh di Tob’ah serta membeli sedikit barang makanan ringan buat bekal perjalanan.
7:00 pagi : Kami tiba di Matruh kemudian musyrif dikehendaki melapor diri serta urusan tempahan rumah penginapan.
8:30 pagi : Rehat beramaii-ramai ditempat penginapan sambil menunggu aktiviti dan arahan selanjutnya.
9:30 pagi : Penulis berjalan kaki di pinggir pantai dan pekan Marsa Matruh serta bergambar bersama rakan-rakan. Dikatakan bahawa pekan pantai Marsa Matruh telah lama wujud. Ia diberi nama sempena kedudukannya yang terpinggir daripada peta Mesir. Jarak Marsa Matruh daripada ibu kota Mesir ialah 500 km. Manakala tempoh perjalanan daripada Kaherah mengambil masa sekitar 7 jam perjalanan dengan bas atau van. Kedudukan Marsa Matruh adalah di pesisiran laut Mediterranean dan bersebelahan dengan Negara Libya. Marsa Matruh merupakan pusat peranginan bagi rakyat Mesir bertaraf sederhana dan bergiat aktif apabila menjelang musim panas. Mercu tanda bagi Bandar Marsa Matruh ialah Kijang dan tanaman utama disini ialah buah tin dan buah anggur ungu. Bandar Marsa Matruh telah diasaskan sekitar tahun 700 s.m oleh Ratu Mesir bernama Cleopatra. Ratu Cleopatra merupakan pemerintah dinasti pertengahan Firaun Mesir. Ratu Cleopatra telah membina istana di Bandar ini suatu ketika dahulu, kemudiannya telah berkahwin dengan Raja Rome yang bernama Mark Anthony. Hasil perkahwinan itu mereka telah dikurniakan anak lelaki yang kemudiannya telah mengasaskan pemerintahan campuran Firaun-Roman di Mesir yang berpusat di Iskandariah. Pemerintahan ini secara langsung telah menamatkan dinasti Firaun. Selain itu, semasa perang dunia kedua meletus, tentera Jerman telah mendarat melalui Bandar ini yang diketuai Romel dan telah bertembung dengan tentera British disebuah tempat yang diberi nama Al-A’lamin. Itali merupakan sekutu rapat bagi Jerman turut menyertai peperangan ini bagi membantu Jerman menetang British. (cumanya kami tidak berkesempatan pada kali ini untuk menyaksikan kesan tinggalan tentera penjajah ini).
12:30 tengahari : Balik rehat serta makan tengahari. Dalam waktu sebegini kami hanya berehat didalam rumah sahaja memandangkan cuaca agak panas membahang.
3:00 petang : Kami bertolak ke pantai Agiba. Ianya terletak 10 km dari pecan Marsa Matruh. Mengagumkan!Subhanallah, cantik sekali pantai ciptaan Allah SWT. Dengan deruan ombak ditiup bayu, simbahan sang suria memantulkan cahaya dan warna laut yang bersinar-sinar memukau pandanganku, lebih-lebih lagi apabila waktu terbenam matahari yang akan menghasilkan perubahan kepada 7 warna. Begitu juga keadaan pantai yang dikelilingi oleh batu batan. Puas bergambar disana. Teringat seketika penulis suasana pantai di Terengganu. Lebih kurang begitulah gambarannya cuma bezanya lekukan teluk di pantai Agiba lebih cantik. Akan tetapi ianya tidak sesuai untuk bermandi manda kerana berbahaya disebabkan batu karang yang banyak (ada juga arab yang terjun mandi, biasalah arab katakan).



 Kenangan di Pantai Agiba...


Pantai Agiba...


3:45 petang : Bertolak pula ke Pasar Libya, ketika ini Ammu drebar dah mula naik angin dan merepek2 kepada kami kerana lewat masa. Apa boleh buat, kami terpaksa akur.
5:15 petang : Sampai ke Pasar Libya. Berjalan-jalan serta beli sedikit barang. Tidak ada apa yang menarik hati untuk dibeli kerana pasar tersebut semacam pasar di Masjid Badawi, Tanta ( tempat tinggal penulis sekarang ). Seterusnya makan Shawarma bersama rakan-rakan.
7 petang : Kami balik ke rumah sewa. Seterusnya rehat dan kendiri.
10 malam : Kami mula keluar untuk bersiar-siar disepanjang pantai. Penulis serta rakan-rakan singgah di Fun Fair berhampiran sambil melihat-lihat rakan lain bermain buaian berputar, kereta langgar dan sebagainya. Hanya sekadar cari pengalaman. Pulang ke rumah penginapan untuk menikmati makan malam.

(Selasa) 31 Julai 2007
1:00 pagi : Penulis keluar sekali lagi bersama seorang rakan dan menyewa basikal serta berkayuh disepanjang pantai bagi memerhati gelagat arab diwaktu malam dengan lebih dekat. Pada waktu sebegini, ramai pengunjung arab bersama keluarga mereka “lepak-lepak” dipesisir pantai.
3:00 pagi : Pulang ke rumah penginapan lalu berehat sebentar sambil menunggu waktu subuh. Kelihatan AJK masakan serta pengarah jaulah bersengkang mata untuk menyediakan masakan untuk esok hari, semoga Allah memberi ganjaran atas usaha kalian lakukan yang dilakukan!
6:00 pagi : Berehat sambil sarapan pagi, bersiap-siap untuk ke Siwa.
7:30 pagi : Meneruskan perjalanan ke Siwa.
11:30 pagi : Sampai di Siwa serta terus ke Jabal Mauta untuk destinasi pertama kami. Ianya menjadi kubu tempat persembunyian penduduk sewaktu peperangan dan juga tempat jenazah dikebumikan. Terdapat kubur Sa’amoun dan Qaisis (tetapi semasa kami kesana mumia tersebut sudah dibwa ke muzium). Kesan-kesan tulang dan rangka dahulu masih boleh dilihat. Terdapat juga tempat-tempat untuk dijadikan simpanan meriam-meriam Jerman sewaktu perang dunia kedua. Disitu, bahang panasnya amat terasa sekali, rasanya dalam 40 lebih darjah Celsius. Hangit badan dibuatnya umpama Udang Sungai kubri digoreng merah menyala.


Di puncak Jabal Mauta...


Ust.Lah dan zaujah pun ikut serta...

12:15 tengahari : Selepas itu kami dibawa untuk melawat kubur seorang pelajar azhar yang telah meninggal dunia pada tahun 2006 akibat lemas di Kolam Cleopatra. Disana timbul keinsafan diri dalam muhasabah amal kebaikan yang dilakukan selama ini.
12:30 tengahari : Kami tiba di Kota Siwa Lama, mendaki hingga kepuncak bukit tersebut bukanlah sesuatu perkara yang mudah kerana agak berbatu-batu. Turun bersolat Jamak Qasar di Masjid berdekatan.
2:00 petang : Selepas solat, kami dibawa ke Kubu Iskandar lama
atau Tempat Ibadat Iskandar. Tertarik serta menarik melihatkan senibina yang dibuat oleh masyarakat dahulukala. Kubu Iskandar lama atau Tempat Ibadat Iskandar ini dibina lebih kurang 300 tahun yang lalu. Pintu gerbangnya juga dibina sejak dahulu lagi dan sehingga kini masih wujud. Kawasan ini dikatakan menjadi tempat persembunyian penduduk dahulu diwaktu peperangan. Kedapatan sebuah menara kubu, ia digunakan untuk membuat pengunguman. Terdapat juga sebuah telaga untuk memandikan jenazah. Manakala bersebelahan ma’bad Iskandar terdapat lubang simpanan emas dan barang-barang berharga namun telah diambil oleh penjajah barat.
3:00 petang : Kami seterusnya dibawa ke dalam kawasan yang ditumbuhi rimbunan pohon kurma sehingga dahan-dahannya melanggar atap bas. Sampai di sebuah kolam Cleopatra yang agak besar serta dalam. Airnya bewarna kehijauan menampakkan lumut-lumut didasarnya. Dinamakan sedemikian rupa bersempena kedatangan Ratu Cleopatra. Diceritakan bahawa setiap pasangan pengantin baru akan mandi disitu, ia merupakan adapt yang dilakukan oleh penduduk siwa lama dan ada yang mengatakan bahawa ia masih diamalkan sehingga sekarang bagi sesetengah dari mereka. Disitu kami berhenti berehat serta menjamu selera.


 Saya tak mandi..fobia, hehe...


 
 Bergambar di pohon kurma putik..


 
Kolam Cleopatra


4:00 petang : Setelah itu, kami dibawa ke pekan Siwa untuk membeli belah barangan serta buah tangan untuk dibawa pulang. Antara barang-barangnya adalah kurma, badam, minyak zaitun, minyak gargir, za’faran, habatus sauda’ dan lain-lain lagi.
5:00 petang : Bertolak balik semula ke Matruh.
9:15 malam : Setiba di Matruh kembali kami seterusnya berehat, solat serta makan malam.

(Rabu) 01 Ogos 2007
12:00 malam : kami keluar berjalan-jalan ditepi pantai Matruh. Sempat juga penulis masuk ke pertunjukkan silap mata di Fun Fair berdekatan. Pelik tapi benar. Tidak mustahil jika menggunakan sihir untuk melakukan semua itu. Seterusnya ke Ma’rad pakaian juga dikawasan berhampiran membeli sedikit barang. Sebelum pulang ke Rumah penginapan, penulis sempat menikmati deruan angin sepoi-sepoi bahasa di pesisir pantai sambil minum the panas. Penulis terpaksa menghabiskan LE7 untuk secawan teh dan sebotol minuman. Mahal!! (biasalah kawasan perlancongan).
3:00 pagi : Pulang berehat di rumah penginapan.
4:30 pagi : Solat subuh, kendiri serta sarapan pagi.
8:40 pagi : Kami mula berkemas barang seterusnya bertolak untuk ke destinasi seterusnya walaupun terpaksa menunggu lebih kurang setengah jam kerana bas yang dinaiki mengalami sedikit kerosakan. Walaubagaimanapun, kami akhirnya dapat juga meneruskan perjalanan semula.
9:45 pagi : Sampai di Hamam Cleopatra. Menarik juga kawasan sekitarnya.

 Santai di Pantai Ubayd...


10:15 pagi : Bertolak ke pantai Ubayd.
11:00 pagi : Berehat-rehat, mandi manda ditenghari yang panas serta makan tengahari. Disini penulis telah kehilangan kacamata sehinggalah waktu hendak pulang ke Tanta masih tak dijumpai. Akur dan pasrah. Meninggalkan kenangan berharga di Pantai Ubayd.


 Mandi manda...



2:35 petang : Bertolak balik ke Tanta. Sampai Jam 9:45 malam.
Begitulah serba sedikit catitan kembara dalam Jaulah Matruh Siwa pada kali ini. “Seronok dan tersentuh jiwa” hanya itulah yang mampu penulis katakan. Apa yang penting, kami telah pun mendapat seribu satu macam kenangan dan pengalaman baru yang menarik.
Sekian, Wassalam.


0 komentar:

Post a Comment

Blogger Muslimin

HarakahDaily.Net

Blogger Muslimat

Tranungkite Online V8

  © Blogger templates Newspaper by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP