Penantian Suatu Ujian..
Sunday, July 29, 2007
Setiap detik, setiap saat waktu yang berlalu bagaikan air sungai deras mengalir dari hulu ke hilir dikala musim bah melanda bagitulah kiasan waktu pantas berputar mengelilingi orbit masa. Bagi penuntut-penuntut ber‘title’kan azhari ini merupakan detik debaran cemas apabila natijah imtihan fasal 1&2 bakal disiarkan secara pasti nanti, Insya’Allah..mungkin ada yang bersikap cool, rilex, berdebar, runsing, gembira bahkan mungkin terasa bersedih hati apabila menatap natijah tersebut. Sudah lumrah manusia diciptakan dengan berperasaan sebegitu. Begitu jugalah perasaan yang dialami penulis ketika ini, terkesan dengan kehangatan aura yang melanda dicampur pula dengan panahan sang suria maka bertambahlah tahap debaran menimpa. Apa tidaknya, natijah imtihan dikampus Azhar ini bukanlah sesuatu yang boleh diduga dengan mudah apa yang bakal kita perolehi, secara jujurnya kita tidak boleh mengagak apakah tahap yang akan kita perolehi samaada Rasib, Maqbul, Jayyid, Jayyid Jiddan, Mumtaz. Itu merupakan keistimewaan Universiti tertua didunia ini, kerana penilaian imtihan dibuat tidak dapat dipastikan bagaimanakah skema pemarkahan diambil. Masing-masing menjadi tanda tanya!! Dari pengamatan pengalaman penulis sebelum ini yang pernah belajar di sebuah IPTA iaitu Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin ( KUSZA) atau sekarang sinonim dengan gelaran baru Universiti Darul Iman Malaysia (UDM), jauh berbeza sistem yang diamalkan disana jika dibandingkan disini, semuanya berbeza. Baik dari sistem pembelajaran, pengajaran, peperiksaan dan sebagainya. Sesuatu yang unik. Ingin saya sebutkan perbandingan yang ketara ialah dari sudut skema pemarkahan peperiksaan, jika di IPTA/S sistem perkuliahan dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu :-
1.Pemarkahan dalam kuliyah berdasarkan kerja amali yang dilakukan (Carry Mark)
2.Pemarkahan peperiksaan akhir.
Berdasarkan dua bahagian diatas maka markah akhir akan digabungkan seterusnya itulah keputusan yang bakal diterima oleh pelajar. Secara jelasnya, pelajar-pelajar sudah dapat mengagak apakah keputusan bakal diperolehi kelak. Mungkin jika dibuat penilaian teliti disebalik system tersebut ada kesan positif dan negatifnya bergantung kepada individu yang menterjemahkannya
Bagi penulis, sistem yang diamalkan di Universiti Al-Azhar lebih teruji dari segi mental dan fizikal. Kecekapan, kepintaran, kesabaran, kepimpinan, kerajinan, kesatuan, berdikari, keberkatan, keimanan semuanya perlu diuli menjadi suatu adunan yang mantap bagi melahirkan individu professional, lagi aktif, dinamik, didekasi serta berketrampilan dalam semua bidang. Itu sebenarnya tahap peperiksaan yang perlu ditempuh oleh seseorang mahasiswa bagi menzahirkan kematangan minda dan perlakuannya. Jangan disalah anggap, penulis bukanlah bersifat mahu memburukkan atau menjatuhkan sistem pembelajaran di IPTA/IPTS tempatan tetapi apa yang ingin ditekankan bahawa pelajar-pelajar azhari mempunyai ‘advantage’ tersendiri kerana disana terpaksa berkelana bersendirian, berjauhan diri dari tanahair, bermuamalat dengan bangsa asing mengajar erti keperitan hidup sebenar. Nah!disinilah kelebihannya yang perlu kita ketahui, kelebihan pengalaman serta pengajian amatlah menarik jika digabungkan menjadi satu. Semua ini tidak akan dapat dikutip jika menyambung pengajian ditanah air sendiri. Suatu pengalaman amat berharga bagi diri penulis.
Berbalik kepada cerita asal tentang natijah yang bakal keluar nanti, semestinya menjadi lumrah dunia ada yang berjaya dan ada yang gagal. Itu hakikat dan kepastian yang bakal diterima. Apa yang pasti yang berjaya itu mungkin rezeki baginya, yang gagal pula mungkin sebagai cubaan Ilahi. Penulis merasakan bahawa jika kita berusaha bersungguh-sungguh, bertawakal, serta mengharapkan pertolongan dari Allah SWT dengan senantiasa berdoa kepadanya sudah tentu Allah SWT Maha mendengar permintaan hambanya..Insya’Allah..sebagaimana tersemat kalam mulia didalam firmannya bermaksud :
Sesungguhnya urusan-Nya apabila Dia mengkehendaki sesuatu Dia hanya berkata kepadanya, “Jadilah!” Maka jadilah sesuatu itu.. (Surah Yassin : 82)
Setiap bencana menimpa bumi dan menimpa diri kamu sendiri, semuanya telah tertulis dalam Kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami mewujudkannya. Sungguh, yang demikian itu mudah bagi Allah.. Surah Al-Hadid : 22
Agar kamu tak bersedih hati terhadap apa yang luput dari kamu, dan tidak pula terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepada kamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan membangga diri..Surah Al-Hadid : 23
Tidak mustahil bagi Allah SWT untuk melakukan sesuatu kerana Dia Maha Pencipta lagi Maha Mengetahui. Apa yang penting disini, kita khususnya sebagai golongan yang terpelajar bahkan mempelajari saban waktu ayat-ayat Allah SWT serta Hadis Rasulallah SAW perlu lebih mengerti pengertian hakikat kehidupan sebenar samaada dikala ditimpa kesusahan atau kegembiraan. Penulis mengharapkan kita semua mendapat kejayaan yang cemerlang Duniawi dan Ukhrawi..Ameen Ya Rabbal Alamin..
1 komentar:
Assalamualaikum,
Salam perkenalan dari saya. Minta maaflah, nak bagi komen sedikit, warna yang sdr, guna tidak sesuai untuk dibaca. Mata saya tidak boleh mengesannya. Gunakan warna hitam atapun coklat pekat. Sayang, maklumat yang sdr. tulis tidak boleh dibaca.
saridahamid
htt://saridahamid-kuinginbicara.blogspot.com
Post a Comment