Cerita Hantu: Mengkoreksi Erti ‘Takut’

Saturday, February 21, 2009

 
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرحمن الرحيم.. الحمدلله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف المرسلين، وعلى اله وصحبه أجمعين. أما بعد
 
“Pegilah main kat sana, ada hantu..mata dia merah, gigi taring, hitam!” Gertak seorang ibu menakutkan anaknya.

“Ish, malam-malam jumaat camni takutlah aku…tak berani nak jalan sorang-sorang..” Kata Syukri kepada temannya.

Situasi ditakutkan dengan perkara menakutkan itu seringkali berlaku sedari kecil bagi komuniti melayu khususnya. Saya akui, perkara sebegini sememangnya pernah saya dan anda alami semenjak kecil sehinggalah meniti usia remaja. Ini kerana kita sering dimomokkan dengan pelbagai usikan berbaur mistik sehingga terkadang terbawa-bawa ke alam dewasa. Malah terus terpasak kukuh dalam minda, lalu ceritera gerun itu menjadi warisan turun termurun anak cucu dan cicit.

Keadaan ini agak berbeza dengan masyarakat Mesir kerana menurut pengamatan saya mereka tidak terlalu menyerapkan unsur alam mistik khurafat dan budaya takutkan hantu. Mereka hanya mengenali hantu itu sebagai Jin, Syaitan, Ifrit berbanding kita yang mempunyai pelbagai nama jolokan. Mungkin bagi masyarakat kampung melayu sudah mengenali apa itu Pontianak, Langsuir, Pocong, Hantu galah, Hantu raya, Pelesit, Toyol dan beraneka ‘nickname’ yang tergelar.

“Enta tak takut hantuke?gelap tu atas sutuh..” Usik saya kepada seorang lelaki arab ketika datang memasang kabel internet dahulu. Saya cuba melihat reaksinya.

“Ifrit tu kawan ana…kami baik..” Gurau Solah disambut gelak tawa dari saya.

Saya juga pernah menanyakan hal sama kepada seorang rakan arab tentang hantu. Beliau bersahaja menjawab tanpa sebarang memek muka ketakutan.

Cerita Saya

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata harus maju kedepan. Oleh kerana sudah terlajak berbicara tentang ‘hantu’, ingin saya selitkan sedikit cerita yang pernah dialami ketika berada di kampung dahulu. Jika tidak silap kiraan, usia saya dalam lingkungan 15 tahun waktu itu.

Ceritanya begini..

Suatu malam yang hening. Gelap gelita. Zulmat malam hanya terbias sedikit cahaya bulan. Berbalam-balam kesamaran. Atok mengajak saya bersama seorang rakan sekampung dan abang untuk ke sungai menjala ikan. Lebih kurang jam 10 malam, kami bergerak menyelusuri denai berserakan menuju ke sungai. Pokok-pokok hitam meninggi bergentayangan ditiup angin. Gemersik buluh mengalunkan suara alam pekat. Deruan angin terkadang berpuput lembut membelai, terkadang laju bagai malam akan disimbahi hujan. Cengkerik dan katak sungai sibuk mendendangkan irama malam.

Kami turun ke tubir sungai. Air sungai deras melaju dari hulu ke hilir bergemercak. Sejuk terasa. Ketika atok mula menebarkan jalanya secara tiba-tiba golok yang saya pegang terlepas ke dalam sungai. Kami kehilangan masa akibat tertunduk-tunduk menyuluh golok yang tenggelam. Mujur airnya cetek. Cerlang lampu suluh turut membantu. Akhirnya golok dijumpai.

Atok terus menongkah sungai mudik kehulu. Saya hanya mengikutinya dari belakang. Sekadar memegang beg plastik untuk diisi hasil jala. Alhamdulillah, ada juga sedikit hasil yang diperolehi. Hasil yang diperolehi antaranya ialah seperti ikan sisik, sebarau dan belut sungai.

Abang sibuk menyuluh rakan yang menyelam ke dasar lubuk memanah ikan. Katanya ikan malam-malam banyak di lubuk sungai. Saya sekadar mengangguk diam kerana tidak berani untuk menyelam di waktu malam. Jikalau menyelam waktu siang juga sudah gerun melihat lubuk yang hitam legam itu. Inikan malam.

Kami terus berjalan menyelusuri arus sungai. Ada ketika parasnya dalam sehingga ke dada, ada ketika hanya mencecah tumit. Kami melalui selengkoh lubuk dalam. Ia dipanggil tebing tinggi. Budak-budak kampung selalu menggayakan terjun bagai acara terjunan di kolam renang Sukan Olimpik. Lubuk itulah menyimpan nostalgia hitam buat saya. Saya hampir-hampir lemas disedut putaran lubuk ketika bermandi manda di situ. Serik. Lubuk itu juga sering menjadi buah mulut kampung saya mengenai cerita ‘hantu air’ dan tok bunga yang mati lemas.

Ketika kami melintasi sahaja kawasan lubuk itu, saya dicuit perasaan gerun. Tambahan pula kawasan itu agak gelap hitam, pokok-pokok pelempong besar berusia puluhan tahun membangkitkan panorama sukar tergambar. Saya ketika itu berjalan dengan abang sulung. Rakan masih sibuk menyelam. Tiba-tiba, telinga menangkap suatu suara. Jelas, mendayu-dayu perlahan dan kuat. Gemersik, lemah gemalai seakan suara perempuan menyanyi. Persis hikayat ‘Bawang Merah Bawang Putih’.

“Bunyi apa pulak ni..macam radio. Tapi tak dak rumah pun kat sini!” hati saya berbisik. Meremang bulu roma mencanak di tengkuk. Saya terus berlari anak menghampiri atok. Abang dan rakan saya juga turut mengekori belakang atok.

Bunyi itu hilang ditiup bayu malam bila kami sampai di jambatan hujung kampung. Kami bergegas naik lalu segera pulang ke rumah dengan seribu persoalan bermain di kepala.

“Eh, dengar dak bunyi apa tadi?” Saya bertanya kepada Abang dan Rakan ketika berjalan kaki pulang ke rumah malam itu.

“Dengarlaa..bunyi pempuan menyanyi!” Jawab mereka. Rupanya bukan saya sahaja yang mendengarnya, akan tetapi atok, abang dan rakan juga turut sama terdengar. Cuma menurut petua orang tua, ketika mendengar semua jangan berkata-kata. Hanya diam.

Selesai.


Takut Hantu, Jin dan Syaitan?

Berbicara soal hantu, jin dan syaitan ianya memerlukan perbicaraan yang panjang lebar mengenainya. Cuma pada entri ini ingin saya fokuskan kepada “situasi ditakutkan dengan perkara menakutkan” sebagaimana saya sebutkan di awal artikel ini.

Justeru, kesilapan inilah sebenarnya mengundang sebuah emosi yang kurang baik kepada anak-anak kecil terutama ketika permulaan mereka mengenal dunia, bahasa, budaya, perkataan dan objek. Bilamana momokkan perkataan ‘Hantu’ dan ‘Takut’ sudahpun menghuni dalam benak anak kecil, secara psikologinya ia akan terus melekat dalam ingatan hatta usia dewasa. Kesalahan ini menyebabkan kita akan takut dengan hantu semata-mata tetapi berani melakukan jenayah besar dan kemungkaran pada Azza Wajalla.

Oleh itu, pada hemat saya alangkah baiknya perkataan ‘takut hantu’ itu ditukarkan kepada takut Allah SWT. Ini kerana, jika kanak-kanak kecil kita berjaya mendidik dengan rasa takutkan Allah SWT. Saya percaya, kesan kepada kanak-kanak itu ketika meniti usia remaja dan menempuh alam dewasa dalam keadaan sudah mempunyai suatu protection yang kuat untuk mengelak daripada melakukan perkara mungkar menyalahi apa yang disuruh Al-Khaliq. Firman Allah SWT dengan maksudnya:

“Dan barang siapa yang taat kepada Allah dan rasul-Nya dan takut kepada Allah dan bertakwa kepada-Nya, maka mereka adalah orang- orang yang mendapat kemenangan.” (An-Nur : 52)


“Sesungguhnya orang-orang yang takut kepada Tuhannya Yang tidak nampak oleh mereka, mereka akan memperoleh ampunan dan pahala yang besar.” (Al-Mulk : 12)

Tidak ternafikan lagi, selain faktor yang saya sebutkan di atas faktor persekitaraan memainkan peranannya. Namun begitu, bukankah sekelumit perasaan rasa takut kepada Allah SWT yang tertanam semenjak kecil dari hasil didikan ibu bapa itu mampu menjaga dirinya dari tergelincir jauh?

Saya melihat keberanian masyarakat Mesir (tidak pada segenap segi) khususnya dalam hal ‘hantu’ ini antara kesan pembudayaan tidak diusik dengan alam mistik dan hantu. Akan tetapi, mereka percaya kewujudan Jin, Syaitan dan Ifrit bertujuan memesongkan umat manusia. Bukanlah sehingga perlu terlalu takut dengan gambaran rupa Jin itu lalu mencetuskan minda takut bersangatan pada tanah perkuburan, tempat gelap, rumah yang sunyi dan lain-lain keadaannya.

“Kalau orang melayu walau seorang lelaki yang kuat di suruh pergi ke kubur dia tak berani..kalau di Mesir tak takut kalau lalu di kubur, bukan sahaja lalu malah tinggal di kubur..” Kata Syeikh Husni ketika majlis talaqqi kitab Al-Azkar tempoh hari.

Beliau juga menyuruh supaya melaungkan azan jikalau diganggu gangguan Jin dan Syaitan. Ini bertepatan dengan hadis yang dibacakannya di dalam kitab Al-Azkar berbunyi:

روينا فى كتاب ابن السنى عن جابر رضى الله عنه أن النبى صلى الله عليه وسلم قال: إذا تغولت لكم الغيلان فنادوا بالأذان

“kalau kita punya anak selalu nangis, nah kita pegangkan anak itu diubun-ubunnya lalu baca 3 kali baru hembus, Insya’Allah tak nangis lagi..” Pesan beliau sewaktu membacakan hadis:

روينا فى صحيح مسلم والموطأ وكتاب الترمذى وغيرها عن خولة بنت ححكيم رضى الله عنها قالت: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: من نزل منزلا ثم قال أعوذ بكلمات الله التامات من شر ما خلق، لم يضره شئ حتى يرتحل من منزله ذلك

Maksud Syeikh Husni ialah ketika mana anak kecil menangis tidak henti-henti bolehlah dibacakan di ubun-ubunnya sebanyak 3 kali sepotong doa yang diambil dari hadis Rasululullah SAW:

أعوذ بكلمات الله التامات من شر ما خلق، لم يضره شئ حتى يرتحل من منزله ذلك

Selain itu, doa tersebut boleh juga dibacakan untuk mengelakkan gangguan Jin dan Syaitan terutamanya turun ke suatu tempat ataupun rumah baru.

Kesimpulan

Didiklah anak-anak kecil dengan perihal takutnya pada Tuhan yang Satu, yakni Allahhu Ahad. Usahlah dibius dengan ketakutan selainNYA. Bimbang BERANI kerana BENAR menjadi lenyap diterbangkan taufan KETAKUTAN. Apa yang penting, jangan biarkan hidup anda dibelenggu MISTERI.



Rujukan: Kitab Al-Azkar, Imam Hafiz Syeikh Islam Mahyuddin Abi Zakaria Yahya bin Syarifu Nawawi.


Ibnurashidi
4:24 PM, 20 February 2009,
Siberbay, Tanta.



Luangkan sedikit masa anda untuk berkomentar, semoga sama-sama mendapat Tsaqafah dan Ilmu berguna...

29 komentar:

Anonymous said...

Saya tertanya-tanya, bagaimanakah sejarahnya hingga wujudnya konsep hantu di kalangan orang Melayu kita. Hmmm...

Ibnurashidi said...

| a t i q a h |...

Sebenarnya kewujudan Hantu, Jin dan Syaitan memang telah lama wujud. Sebelum kewujudan Adam mereka sudah ada. Cumanya bila dalam istilah orang melayu ia dinamakan hantu.

Perkara tersebut kita wajib percaya, tetapi apa yang saya tekankan di atas janganlah diserapkan ketakutan kewujudannya sehinggakan terlampau batas. Kerana mereka juga makhluk Allah SWT. Allah SWT sepatutnya kita lebih takuti. Itu pointnya. Khususnya dikalangan anak-anak kecil. Yang besar-besar pun termasuk juga:)

Anonymous said...

salam buat ustaz yang pernah dengar suara wanita menyanyi tengah malam...

dapat jugak masuk blog ni...dari petang tak boleh masuk...permission denied...huhu tak tahu kenapa...

sejujur2nya...damai ni termasuk dalam golongan yang penakut....kat rumah,ibu atau adik terpaksalah tunggu di depan pintu bilik air bila2 masa damai hendak ke bilik air....kalau tiada siapa yang sudi nak teman,damai sanggup tahan hajat sampai ada yang sudi nak teman hihi

semoga Allah akan beri kekuatan pada damai dan pada kita semua untuk lawan sifat takut kepada yang selain daripada Allah ini...

Allahu Akbar!!!!

~~insan yang paling suka tengok dan dengar cerita hantu tapi bila sorang2 menggigil2 ketakutan....itulah damai ^^ ~~

Ibnurashidi said...

Salam DAMAI…

Sebab sebenar tak dapat masuk kerana saya sedang lakukan kerja-kerja upgrade blog. Saya terpaksa tutup buat sementara waktu tadi. Maaf ya.

Benar sekali tekaan saya, memang sifat takut yang seperti itu sering dialami anak-anak kecil dan remaja. Hasil dari takutkan hantu secara berlebih-lebihan. Dasyat juga ya sampai mampu tahan..bahaya!:D

Iya, usah dilayan sangat perasaan takut. Kerana menurut Guru saya dahulu, jika kita takut bersangatan itu sebenarnya Syaitan berjaya menguasai diri kita.

P/S : Hati-hati bila keseorangan atau terlalu tengok cerita seram. Sesiapa ada kisah, boleh bercerita di sini:)

Anonymous said...

Assalamualaikum...

khurafat hantu-hantu ni...

dia makhluk juga ciptaan tuhan..

ada hikmah di sebalik kejadiannya...

Ibnurashidi said...

Si mawar...

Wa'alaikumsalam..sebenarnya percaya hantu bukan khurafat, tetapi memuja hantu serta mengamalkan amalan mistik itu khurafat kerana ia telah mensyirikkan Allah SWT.

Benar, kerana makhluk Tuhanlah kita perlu takut pada PenciptaNYA. Hikmah kejadiaanya? Ayuh sama-sama fikirkan. Atau ada sesiapa tahu hikmah diciptakan Jin dan Syaitan?:)

Anonymous said...

Salam.. :)

Saya suka entri ini. Pada bahagian yang awak bercerita tentang perempuan menyanyi itu saya gerun jugak mendengarnya.

Saya setuju dengan awak. Anak-anak tidak seharusnya dimomokkan dengan hantu... Jika hendak melarang mereka melakukan sesuatu benda yang kurang baik sekali pun gunakan lah alternatif lain seperti "Allah tak suka orang buat perangai begitu.." dan jika hendak melarang mereka bermain pada waktu senja (contohnya..) gunakan lah teguran alternatif lain juga seperti "dah nak masuk waktu maghrib baliklah, dan bersedia untuk maghrib" ..

alhamdulillah saya lihat keluarga saya dah berubah dah sejak kehadiran adik bongsu saya. saya dan adik kedua saya dahulu selalu sahaja kena dek sakatan hal2 hantu nie.. huhuhuhu...

p.s: saya seorang yang penakut, saya mengaku :P :P sebab saya pernah terjumpa.. huhu

Ibnurashidi said...

Salam nono…terima kasih kerana sudi meletakkan komentar di sini. Bukan sahaja kamu, saya sendiri yang menulis terasa meremang bila teringat kembali peristiwa itu.

Benar sekali, Alhamdulillah. Kamu mengerti apa yang saya cuba sampaikan dalam entri kali ini. Tetapi ada juga yang mengaitkan pantang larang dengan benda musibah. Termasuklah mengaitkan perlakuan binatang buas.

P/S : Ohh, kamu takut kerana pernah terjumpa?silakan cerita kisahnya. Mungkin ramai yang mahu membaca termasuk saya. Sesiapa juga boleh berkongsi kisah diganggu.

Anonymous said...

Salam Farid..

Akhirnya berjaya juga masuk ke sini. Siang tadi rumah ini terkunci. Kak tirana rasa ada kerja2 penyelenggaraan kot..hehehe..

Hantu dan orang melayu sinonim agaknya. Tapi alhamdulillah kak tirana dah ubah cara didikan, tidak lagi menakut-nakutkan anak-anak dengan perkara yang tidak sepatutnya mereka takut. Kak tirana kecil2 dulu tidak terkecuali dari ditakut-takutkan dengan pelbagai jenis hantu. Tujuannya ayah dan ibu tak bagi keluar malam..hehehe.. tapi entah kenapa reason yang diberi, malam ada hantu.. (hantu kepala hitam kot). Sepatutnya explain kenapa tak boleh keluar malam, buruk dan baiknya..insyaAllah anak-anak boleh faham tapi orang dulu2 tak reti nak explain barangkali so cara yang simple..malam ada hantu..eeeee..takutnya..

Ibnurashidi said...

Salam Kak Tirana…

Alhamdulillah, berjaya membaik pulih. Tadi kotak komentar hilang, jadi terpaksa betulkan HTMLnya. Maaf ya.

Baguslah kalau begitu. Agaknya kita boleh tukar kaedah dengan menyebut hantu dalam bahasa Inggeris atau Arab agaknya:).

Sebenarnya ayah ibu tak bagi keluar malam kerana ada hantu itu betul dah. Cumanya perlu tambah ayat lagi menjadi begini, “Malam-malam kurang elok keluar, Syaitan berkeliaran..jadi nak elak gangguan mereka, jangalah keluar..” ada hal penting keluar malam mohon saja pada Allah SWT dengan membaca doa jauh dari gangguan. Pokok pangkalnya, kena berbalik kepada Allah SWT.

Mungkin kot..kalau panjang-panjang jadi ceramah pula ye..hehe. Tapi memang perlu ibu bapa selalu memberi tazkirah pun. Tak begitu Kak?:)

Perokok Soleh said...

salam..

siapa hantu?:hantu = jin = jinislam + kafir as like human la..
jin kafir = syaitan,
kepala syaitan = iblis(sekor nie kan mati)...
betoll tak?

ps:rasanya,ok jerk bg drng takut hantu...
biar smaapi besoww agar anak-anak reti sikit blk umah dari x takut hantu duk dating,adess....

Izzah said...

salam..
saya pernah berpengalaman nampak benda2 nie masa zaman kanak-kanak dulu antaranya saya nampak benda yang berbungkus-bungkus(macam mayat) di bawah pokok pisang pada waktu malam,lelaki tinggi lampai (warna hitam)yang nak memukul saya ketika saya main dengan kwn2 masa petang..dan kadang2 lintasan-lintasan yang saya kurang pasti..dengar suara pun ada,saya memang mengalaminya. Mak saya bawa berubat dengan seorang ustaz (anak murid ustaz harun din). sekarang dah tak nampak dah. tapi lintasan tu masih ada juga kadang-kadang..tapi buat tak tahu saja.

Ibnurashidi said...

Salam perokoksoleh...

Kerana itu saya katakan percaya kewujudan Hantu sememangnya perlu. Takut berlebihan sehingga melebihi takut kepada Allah SWT adalah dilarang.

Bagi saya ianya kurang ok. Tidak berdating atau keluar malam semata-mata takutkan Hantu bukan takutkan larangan Allah SWT boleh mengundang syirik. Kerana menganggap Syaitan perlu kita takuti dahulu.

Dating itu sendiri suruhan Syaitan, bagaimana pula kita boleh ikut suruhannya dan takut padanya?:)

Anonymous said...

salam...

dulu, semasa tinggal di asrama, pernah juga ade pengalaman seram... terjumpa hantu semasa sedang menyidai baju di ampaian jam 2 pagi...seramnya, hanya Tuhan yang tahu..

berkenaan takut kepada hantu, saya rasa memang tak patut kalau kita semaikan rasa takut yang berlebihan kepada hantu.. dulu, saya pon penakut juga.. takut dengan hantu.. tapi satu hari, saya ditegur oleh sahabat saya.. katanya, syirik kalau kita takutkan hantu lebih daripada takutkan Allah... sejak daripada hari tu, saya tersedar yang saya tak boleh rasa takut kepada hantu secara berlebihan... sekarang, saya dah berani sikit sebab saya tahu yg hantu pon makhluk Allah juga dan saya yakin Allah lah yang Maha Berkuasa keatas makhluk ciptaanNya......

Anonymous said...

Salam.. Terasa meremang bile bce sbbnya kisah yg penah saya alami sama mcm ust..tp ms tu sek rendh,thn nk ambk UPSR..sy n kwn2 ikuti tuisyn kt kg,tak jauh dr rumah. Kelas bermula pkul 8 mlm..kami b'jaln dlm kumpulan,da seorg lelaki,tp sgtlah penakut.kelakar jgk ble teringatkn dia..masa nak blik,lbh kurang dlm pkul 10,tetbe t'dgar suara org menangis,kuat dan nyaring..betul2 dkat lngkang besar tak jauh dari tempt kami..masing2 diamkn diri,tp langkah dh jd mcm berlari,yg plg puct kwn yg lelaki..ms tu sy btl2 tkt smpai menggil..esoknya br kami mampu bercerita.. Tu la satu2 pengalaman yg sy lalui.. Mf ye,dh stat bercerita plak..

Anonymous said...

Salam izzah...

Banyak faktor terjadi hal sebegitu. Kamu merupakan salah seorang manusia yang pernah melihat Jin..beruntung juga ya:)

Terkadang masalah itu melibatkan sihir atau buatan orang. Boleh jadi juga adalah kerana kerap menonton, mendengar, berfikir perihal cerita hantu. Atau, sememangnya Jin suka berdamping dengan kamu.

Baguslah kalau sudah berusaha untuk berubat. Kita berusaha Allah menentukan. Insya'Allah..Allah itukan MAHA HEBAT.

Anonymous said...

Salam yEm ^^

Hermm, patutlah terjumpa makhluk alam lain..sidai kain pukul 2 pagi rupanya:)..kalau tak keberatan boleh ceritakan sedikit rupa paras hantu itu tak?

Alhamdulillah kalau dah tersedar begitu..semoga kesedaran itu terus membuka redha Ilahi.

Anonymous said...

Salam Nur_syahadah...

Ohh, cerita yang ada unsur-unsur kelakar. Biasalah malam-malamkan sunyi sepi. Macam-macam suara boleh kedengaran kalau perhati betul-betul.

Agaknya suara orang menangis kuat dan nyaring itu tengah kesakitan kemalangan?tak jengukkah?mana tahu menunggang motor lalu terbabas..menjerit sendirian pula..hehe.

Anonymous said...

hehe.. mimpi apa entah, tiba2 nak basuh baju tgh2 malam dan pergi ampaian jam 2 pagi..

rupanya tak berapa jelas (tak berani nak mengintai lebih2).. mula2 terdengar suara seperti berbisik dari arah hujung ampaian. tapi saya diamkan sahaja. tiba2 kawan yang ikut menjemur kain tanya pada saya tentang suara berbisik tu.. saya dah mula seram dan cari dari arah mana... saya ternampak 2 makhluk yang berpakaian serba putih seperti duduk mencangkung di bawah ampaian.. lepas dah ternampak tu, apa lagi, terus cabut masuk bilik dan berselimut sampai ke kepala...sejak daripada hari tu, memang tak berani nak jemur kain malam2... hehehe...

suara said...

Salam Farid...

Paling penting... kak su tak suka tengok cerita hantu. Penakut? Entahlah... rasanya tak jugak. Sbb kak su dari zaman sekolah dulu dah biasa di tinggalkan sorang-sorang kat rumah. Alhamdulillah, Allah jaga kak su dari terserempak dgn makhluk tu... dan juga dari manusia yg berniat jahat.

Nur said...

Salam,

Ana ini, sangat takut dengan hantu, hingga lah sekarang, tak tau la bagaimana takutnya kalau tinggal seorang, ya Allah, lemah betul semangat....:D

Pengalaman dengan menda2 mistik ni pun banyak tak terkira, nauzubillah, mohon2 dah takmo lagi...:D

Ibnurashidi said...

yEm ^^...

Begitu kisahnya...nampaknya hantu itu mungkin agak kepelikan barangkali. Iyalah, jemur kain tengah-tengah malam:)

Apa-apapun, berhati-hatilah terutamanya muslimat kerana jika lemah semangat mudah makhlus halus mengambil kesempatan. Baca doa di atas minta dijauhkan dari perkara tersebut.

Ibnurashidi said...

Salam kak suara...

Saya juga pelik sebenarnya, macammana pengarah filem boleh create rupa hantu tu ya. Mungkin dah pernah tengok rupa Jin agaknya.

Oh, bagus ya kalau tak penakut. Em, saya ada baca kisah gangguan sihir dari blog kak su. Sedikit sebanyak tahu apa yang dialami. Semoga Allah SWT menyelamatkan kita semua dari gangguan Jin dan Syaitan. Amin.

Syada said...

salam alaik ya ibnurashidi..betul apa yg dikatakan. zaman kanak2 adalah zaman dimana kita membentuk pemikiran mereka. jika dikatakan takut pada sesuatu, mereka juga akan takut. sepatutnya, kita lebih ajarkan keberanian. seperti beraninya sahabat rasulullah. dan ajarkan bahwa apa2 yg kita perbuat hanyalah kerna Allah. jadi, kita mulakan dari sekarang lah! hehe. terima kaih atas perkongsian ini. psikologi kanak2 penting untuk Islam.insyaallah.

nahmy said...

assalmualaikum...
satu pengembaraan yg penuh berinfo. alhamdulillah..krn mengongsikannya di sini. ramai yg meneroka mencari 'teknologi' dr pembuatannya dr merenung 'iktibar' akan kewujudannya...

Ibnurashidi said...

Salam shahadah…

Bukankah dalam peribahasa ada menyebut tentang pembentukan buluh bermula dari rebungnya. Juga kain yang putih itu ibarat bayi yang baru dilahirkan. Ibu bapalah yang mencorakkan anak-anak samaada Islamkah, Nasrani atau Yahudi.

Berani. Iya, sangat perlu bagi seorang muslimin atau muslimah. Kerana berani kerana benar mampu mencetuskan gegaran kepada dunia. Psikologi itu tidak dapat tidak harus kita tahu walau sedikit dalam membesarkan anak-anak kelak.

Ibnurashidi said...

Wa'alaikumsalam nahmy...

Kamu tersilap letak komen ya?

Anonymous said...

salam..

saya pun tergolong dlm golongan penakut. ape yg ditakutkan dgn 'hantu' pun saya x tau. sy slalu cuba untk beranikn diri tp slalu ditakutkan oleh adik-beradik yang lain. maklumlah anak bongsu. Alhamdullah sy x prnh jmpe lg. maybe xde jodoh agaknya.

Ibnurashidi said...

Salamalaik...

Normal manusia punya perasaan takut. Manusia takutkan haiwan buas, takut diapa-apakan oleh penjenayah, takut 'hantu' dan lain-lain lagi.

Tetapi janganlah sampai takut yang melampau-lampau. Kalau belum, mohonlah dijauhkan dari gangguan syaitan.

Post a Comment

Blogger Muslimin

HarakahDaily.Net

Blogger Muslimat

Tranungkite Online V8

  © Blogger templates Newspaper by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP