ROKOK: Satu Kajian

Sunday, April 27, 2008



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرحمن الرحيم.. الحمدلله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف المرسلين، وعلى اله وصحبه أجمعين. أما بعد
 
Rokok merupakan satu nama yang tidak asing lagi dalam masyakat dunia hari ini, malah ianya lebih sinonim dengan kaum lelaki terutamanya dan tidak dinafikan kaum hawa juga secara rasmi telah pun terlibat menyebut asap beracun ini. Dalam istilah bahasa Inggeris ia dipanggil Cigarette. Bagi masyarakat arab pula menyebutnya dengan nama Sajaayir. Ianya mengandungi tembakau yang dibalut kertas ataupun dengan daun kering bagi menghasilkan sebatang rokok. Sekian lama umum mengetahui akan bahaya dan kesannya terhadap kesihatan manusia. Akan tetapi, tabiat merokok ini masih diteruskan juga seakan tarikan magnet yang kuat untuk terus mengamalkan hobi ini di dalam kehidupan seharian.


Rokok dari sudut kesihatan

Kajian yang dilakukan oleh pertubuhan kesihatan sedunia telah menganggarkan lebih 4 juta orang telah meninggal dunia setiap tahun akibat menyedut asap rokok. Manakala di Malaysia pula, Presiden MMA Datuk Dr Khoo Kah Lin, berkata rokok telah menyebabkan kira-kira 10,000 rakyat Malaysia mati setiap tahun. Masalah ini lebih ketara di kalangan lelaki dewasa. Katanya, kira-kira 47.2 peratus lelaki menghisap rokok dengan Melayu paling ramai (55.6 peratus), diikuti Cina (34.1) dan India (33.4). Kebiasaannya, perokok tegar akan mati 14 tahun lebih awal.

Malah kajian juga menunjukkan asap rokok mengandungi 4,000 bahan kimia berbahaya dan 60 daripadanya sangat beracun. Antara bahan-bahan tersebut ialah Ammonia ( bahan pencuci lantai ), Aseton ( bahan penanggal cat ), Arsenik ( racun anai-anai ), Toluidine, Urethane, Toluena ( bahan pelarut ), Dibenzacridine, Fenol, Butana ( bahan api dalam pemetik api ), Karbon Monoksida ( gas beracun ekzos kenderaan ), Polonium-210, DDT ( racun makhluk perosak ), Maetanol ( bahan api roket ), Kadmium ( bahan dalam bateri kereta ), Naftalena ( Ubat gegat ), Dimethylnitrosamine, Pyrene dan Naphthylamine.
Gabungan dari bahan-bahan kimia di atas, ianya akan memberi kesan bahaya kepada penghisap rokok. Antara penyakit sering dialami perokok ialah penyakit jantung, Bronkitis, sesak nafas, Strok, Nafas berbau, gigi dan lidah kekuningan, luka dalam mulut sukar sembuh, mengurangkan kepekaan deria rasa dan bau, melanosis ( tisu badan menjadi hitam akibat penghasilan banyak melanin ), masalah kerosakan gigi dan gusi, Gingivitis kronik, Ulser gingivitis, risiko kemandulan bagi wanita dan mati pucuk bagi lelaki. Rokok juga antara penyebab utama kanser kepada manusia. Penyakit kanser yang dialami ialah kanser paru-paru, Larinks ( peti suara ), Leukoplakia ( tompok putih dalam mulut, boleh bertukar menjadi kanser ), Esofagus, Perut, Pankreas, Leukemia, Buah pinggang, Usus, Pundi kencing. Bahkan rokok juga bertanggungjawab menyebabkan kematian manusia akibat serangan kanser paru-paru, penyakir sekatan pulmonary kronik ( COPD ), Sakit jantung, Strok.

Rokok pada pandangan Islam

Firman Allah SWT yang bermaksud :
  
“…janganlah kamu melemparkan diri kamu dengan tangan kamu sendiri ke kancah kebinasaan..”
( Al-Baqarah : 195 )
“…janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri, sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.”
( An-Nisa’ : 29 )
Sabda Rasulullah SAW maksudnya :-
  
“Tidak boleh mencipta bahaya dan membalas dengan bahaya.”
( HR Ahmad dan Ibnu Majah )

Ayat-ayat Al-Quran dan Hadis di atas dengan jelas melarang umat Islam dari terjebak dengan benda yang mudarat dan memberi kesan tidak baik kepada manusia. Hukumnya menjadi haram kerana di sana wujud amat banyak kesan negatif dari positif berdasarkan larangan-larangan di atas. Ini dikuatkan lagi dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Ulama’ pada hari ini antaranya dari Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia dalam muzakarah kali ke 37 telah bersidang pada tarikh 23 Mac 1995 bersetuju membuat keputusan bahawa rokok adalah HARAM dari pandangan Islam kerana terdapat kemudaratan.
Menurut Ibrahim Muhammad Al-Jamal di dalam bukunya Risalah Ila al-Syabab mengatakan bahawa rokok mengandungi 70 kemudharatan ( bahaya ). Sabda Rasulullah SAW :
Maksudnya :-
“Yang halal itu nyata, yang haram itu nyata, antara keduanya ada perkara-perkara syubhah yang ramai tidak mengetahuinya, maka sesiapa yang menjaga dirinya daripada yang syubhah maka ia menjaga agamanya dan maruah dirinya, dan sesiapa yang terjatuh dalam syubhat maka terjatuh ia ke dalam yang haram seperti pengembala yang membawa haiwan jagaannya sekeliling kawasan larangan ditakuti ia makan dalam kawasan haram itu.”
( HR Bukhari )

Imam Syafie dalam kitabnya yang terkenal Al-Umm, antara lain menulis : “..Atau mereka menggunakan ( makanan/minuman ) yang memabukkan maka sesungguhnya perbuatan itu haram. Demikian juga yang mengandungi racun yang membunuhnya, aku mengirakan haram kerana Allah Azza Wa Jalla mengharamkan seseorang membunuh orang lain, kemudian bererti mereka membunuh diri sendiri,”. Fatwa Imam Syafie ini dikeluarkan kira-kira 700 tahun sebelum penggunaan tembakau dan rokok bermula. Oleh yang demikian itu, Ulama telah menghukumkan HARAM merokok.
Menurut Ulama’ kotemporari, Dr Yusuf Al-Qaradhawi di dalam kitabnya al-Halal Wal Haram Fil Islam mengatakan bahawa mereka yang menghukum makruh kerana kedangkalan dan ketidakpandaian mereka memahami selok belok hukum Islam.

Larangan merokok juga kerana faktor-faktor berikut :-
 
1. Merokok telah membazirkan wang, maka Islam melarang umatnya melakukan pembaziran sebagaimana firman Allah SWT :
“…Dan janganlah engkau melakukan pembaziran kerana sesungguhnya orang-orang yang membazirkan itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya”.             ( Al-Isra’ : 26-27 )
2. Merokok membabitkan pengambilan bahan yang tidak baik ( al-Khabith ). Pengharaman benda-benda yang tidak baik ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam firmannya bermaksud :
“…Dan ia menghalalkan bagi mereka segala yang baik-baik, dan mengharamkan kepada mereka segala yang buruk/keji…”            ( Al-A’raf : 157 )
3. Merokok menyebabkan pencemaran alam sekitar kesan dari asap dan puntung rokok yang dibuang merata-rata.
4. Perokok menyedut asap yang tidak memberi sebarang khasiat kepadanya. Ini samalah seperti perbuatan ahli neraka yang memakan pohon berduri yang tidak mendatangkan apa-apa faedah kepadanya sebagaimana dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya yang bermaksud :
“Tiada makanan bagi mereka ( di dalam neraka itu ) selain dari pokok-pokok yang berduri, yang tidak menggemukkan dan tidak pula menghilangkan sedikit kelaparan pun”.               ( Al-Ghasyiah : 6-7 )
5. Bukan sahaja perokok mendapat bencana dari sedutan rokok tetapi asap yang dihembuskan juga memberi efek menghadapi masalah kesihatan kepada mereka yang tidak menghisapnya. Malah ibu bapa yang menghisap rokok dan dihidu oleh anak-anak mereka berisiko mendapat kanser paru-paru, barah dan asma.


Kesimpulannya

Penyakit ketagihan rokok ini saya melihat ianya amat sukar diubati sebagaimana virus HIV, dadah hasil produk kuffar ini sekiranya :-
  • Golongan pemimpin juga turut sama menghisap, mengagungkan kehebatan merokok di dalam kehidupan.
  • Kerajaan memberi galakan dan permit kepada pengusaha, broker rokok supaya menambah jualan dari setahun ke setahun serta mempromosikan seluas-luasnya ke serata pelusuk Negara Islam. Tidak nafikan ada usaha kerajaan menyekat rokok di jual tetapi hanya menulis “Rokok membahayakan kesihatan” dan menaikkan cukai rokok tidak memadai. Seumpama membuangkan najis di dalam tandas fe’elnya.
  • Golongan Agamawan, Ustaz-ustaz, Tok guru, bakal Ulama’, pelajar-pelajar pengajian Islam, ahli akedamik masih berbangga menyedut asap rokok tanpa ada rasa bersalah sedikit pun di dalam hati dan jiwa mereka. Hebat sungguh racun puak kafir laknatullah sehingga berjaya melalikan golongan berpengaruh ini!
  • Tidak ada kesedaran dari umat Islam itu sendiri tidak kiralah siapa mereka.

Saya yakin umum sudah tahu akan hakikat ini, malah slogan anti rokok ini juga telah berkurun dilaung-laungkan. Akan tetapi hanya sekadar masuk telinga kanan keluar telingan kiri sahaja. Sudah tentu penyakit ini tidak akan dapat diubati hatta sehingga kiamat sekalipun. Oleh itu buka minda seluasnya, guna akal befikir, kuatkan Iman dan Taqwa..Insyallah setiap masalah ada penyelesaiannya.


Sumber rujukan;
-Suara Kampus Edisi Shoubra, Bil. 11, Novembar 2006, Hukum pengharaman rokok.
-Perniagaan Produk Halal…menuju puncak bersama HPA (ilal-Qimmah), Ust.Ahmad Adnan Fadzil.
-Tafsir Al-Quran.

0 komentar:

Post a Comment

Blogger Muslimin

HarakahDaily.Net

Blogger Muslimat

Tranungkite Online V8

  © Blogger templates Newspaper by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP