Sudahlah Jatuh, ditimpa tangga pula..
Wednesday, December 26, 2007
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم.. الحمدلله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف المرسلين، وعلى اله وصحبه أجمعين. أما بعد
Hari ini, sebermula terpancarnya sinar mentari sehingga terbenam di ufuk baratku melangkah nun jauh ke ibukota Jumhur Arabiyah Mesriyyah. Menyelesaikan tugasan yang masih tertangguh di Safarah Malaysia ( Kedutaan Malaysia ) bukanlah suatu kerja yang boleh dianggap enteng memandangkan fatrah imtihan semakin mencengkam diri memberi seribu satu kegelisahan kepada diri yang dhoif ini. Benarlah naqalan diambil dari seorang penceramah yang telah mengunjungi furu' Tanta beberapa tempoh masa yang lalu. Beliau telah mendaurahkan sebuah kitab Tajwid karangan Syeikh Abd Azim mengatakan hidup di Mesir ini memerlukan kita menjadi seperti "sebuah Kamera Digital" dan "Perakam MP3". Kenapa beliau berkata begitu?Ini kerana sebuah Kamera Digital mampu merakam segenap penjuru tempat samaada pernah atau tidak kita melaluinya. Tidakkah ianya serupa dengan mata dan otak kita?ya, jika kita pandai mengaplikasikannya secara berkesan ia mampu menjadi sebuah Kamera Digital yang berkualiti. Begitu juga sebuah MP3 ia dinisbahkan seperti sepasang telinga yang mampu merakam setiap bait alunan bunyi baik yang sedap didengari atau tidak. Apa tidaknya, memang benar kiasan yang dibuat oleh beliau memandangkan hidup ditempat terasing seperti ini memerlukan kepantasan pancaindera mengimbas segala bentuk input baru untuk disimpan di dalam kotak fikiran kita. Seandainya kita lembab menganalisis data-data baru tersebut sudah tentu kita akan ketinggalan maklumat-maklumat penting. Misalannya, seandainya kita secepat Kamera Digital merakam tempat-tempat baru sudah tentu kita tidak akan sesat jalan berkali-kali. Begitu juga MP3, sekiranya sepintas lalu kita merakam bait-bait baru ucapan masyakat umum sudah pasti kita akan memperolehi sepatah dua kosa kata penting di dalam perbualan harian.
Sebenarnya, ingin saya ceritakan beberapa kisah yang telah terjadi kepada kami sepanjang seharian menyelesaikan tugas di Kaherah siang tadi dan ada kaitannya dengan kiasan yang disebut di atas. Ceritanya begini, seketika perjalanan menaiki Tramco ( Van ) bersama beberapa teman yang lain. Kami akhirnya sampai ke pinggir Kota Ramsis yakni di Abut. Sesuatu diluar jangkaan sebenarnya, kerana apa yang dijanjikan ketika permulaan perjalanan ialah dari Tanta sehingga ke Ramsis. Bukannya Abut. Bukan kami sahaja yang berada di dalam Van ketika itu, malah arab sendiri marah-marah kepada pemandu Van. Saya hanya menadah telinga mendengar perbalahan mereka. Marah betul penumpang arab tadi sehingga tidak mahu turun dari Van. Saya juga tidak terlepas dari merasa kecewa dengan sikap pemandu Van tersebut kerana beliau telah mungkir janji, cakap berbelit-belit dan sebagainya. Saya tulis di sini memandangkan ini masalah melibatkan kepentingan umum, bukannya keuntungan individu sebab itu kita mempertikaikannya. Bayangkan kalau ada seribu orang Islam berperangai begitu, apa akan terjadi kepada masyakat tersebut?saya yakin, Islam susah hendak di tegakkan kembali di bumi Arab khususnya selagi mana perangai 'taktik kotor' itu belum disingkirkan dari dada mereka.
Seterusnya selepas berhempas pulas mendapatkan teksi dari Abut tadi untuk terus ke Muhandissin akhirnya temui juga sebuah teksi yang sanggup menghantar kami ke sana dengan perjanjian awal bayaran LE 15 untuk 4 orang. Kami bersetuju dengan syarat tersebut. Tetapi yang menjadi masalah ialah, ketika hampir sampai ke tempat tujuan ( sesat pulak, nakke Safarah Malaysia dihantarnya ke Safarah Kuwait ) drebar teksi minta pula LE 20. Siap marah-marah kami. Minta Maaf Pak cik drebar, kita berpegang kepada perjanjian awal. Terus kami tinggalkan beliau memandangkan mukanya sudah merah padam. Itu masalahnya masyakat Islam, suka sangat cakap putar belit dan tidak menepati janji.
Akibat silap hantar ke Safarah, terpaksa pula kami menyewa teksi lain. Mujurlah kali ini pemandu tersebut tahu dimana letaknya kedutaan Malaysia . Alhamdulillah, sampai juga akhirnya. Tanpa melengahkan masa, saya terus membuat urusan berkaitan Tasdiq dan sebagainya. Satu perkara lagi membuatkanku terfikir berkali-kali dan terasa panas telinga ialah sikap pegawai Safarah yang menghentamku bertalu-talu dengan hujjah yang tak masuk akal. Belum sempat duduk dikerusi lagi sudah terpaksa mendengar leteran yang tidak munasabah dengan tujuan untuk mengecop borang pengesahan kuliah. Hati mana tidak terbakar dengan sikap sedemikian rupa. Lantas sebelum keluar sempat saya membalas pendek dengan nada yang sinis kepadanya kerana tidak dapat menerima kritikan pedas beliau. Sepatutnya sebagai seorang yang educated dan veteran seharusnya menunjukkan adab yang baik memandangkan semuanya warga azhariyyun bukan lagi budak-budak sekolah rendah yang boleh diperbodohkan dan digula-gulakan dengan tindakan tidak wajar seperti itu! Ingatkan arab saja yang buat perangai hari ini, pegawai safarah juga sama fe'elnya. Getus hati kecilku. Rupanya bila ditanya sahabat lain, mereka juga pernah dikritik hebat oleh Sang Pegawai itu. Hai, manusia…manusia. Menjadi lumrah bila ada kuasa ditangan, sesuka hati menyepak, menerajang tidak ketahuan punca ke atas sesiapa sahaja yang dirasakan perlu. Inikah yang dinamakan Islam Hadhari?Bapa borek anak rintik katakan..pemimpin atasan ajar begitu maka yang bawah sama taqlid buta!!
Walaubagaimanapun, saya bersyukur kerana hari ini Allah SWT memberikanku beberapa pengalaman baru semestinya ada hikmah disebalik kejadian seumpama itu. Segalannya perlu difikir dan muhasabah kembali dengan sebaik mungkin. Kesimpulannya :-
- Di Mesir khususnya perlu kita cekap merakam segala bentuk cabang jalan, bangunan dan muka buni supaya tidak sesat berkali-kali.
- Merakam menggunakan telinga serta otak akan segala macam perkataan baru untuk disimpan dan difikirkan kembali bahkan digunapakai sebagai hujjah balas kelak.
- Janganlah kita menipu, bercakap putar belit, dan mudah melenting.
- Perangai manusia bermacam-macam tidak kiralah siapa beliau dan dari bangsa manapun, seandainya tidak mengikuti method-method Islami nescaya rosaklah akhlaknya.
- Seandainya berjanji, tunaikanlah walaupun pahit kerana makian orang lebih pahit dari menunaikannya.
- Islam Hadhari punca kepincangan yang nyata!
- Pemimpin yang kurang berakhlak maka anak buahnya juga begitu.
- Setiap perkara ada hikmahnya, hanya Allah SWT jua semata-mata yang Maha Mengetahui.
- Selagi mana Islam tidak ditegakkan kembali selagi itulah umat Islam menjadi mundur.
Sekian, Wassalam.
Ibnurashidi
2:25 a.m, 27 Disember 2007,
0 komentar:
Post a Comment