Sifat Riak..

Monday, August 27, 2007


ا
لحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسوله الأمين وبعد.......... ...

Setiap manusia tidak dapat lari dari melakukan kesalahan, termasuklah diri ini yang tidak terlepas dari melakukan sebarang perkara ( yakni melanggar perintah Allah ). Walaubagaimanapun itu bukanlah menjadi tiket untuk kita terus lemah semangat untuk memohon keampunan kepada Allah SWT. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Di dalam entri kali ini, ingin saya kongsi sedikit perbincangan berkenaan dengan salah satu dosa-dosa yang seringkali kita lakukan iaitu sifat ‘riak’. Barangkali ada yang tidak tersedar apabila melakukan. Bahkan mungkin ada juga yang tidak tahu adakah sifat riak itu hanyalah sekadar dosa-dosa kecil sahaja, tidak melibatkan sebarang hukuman hudud serta qisas seperti mana dosa mencuri, berzina, minum arak. Memang benar, sifat riak itu tidaklah sampai dikenakan hukuman tersebut. Akan tetapi jika kita teliti penulisan karangan Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali, sifat riak ini bukanlah perkara yang boleh dipermain-mainkan. Bukanlah suatu perkara yang hanya sekadar suka-suka. Malah akan di akhirat kelak akan dilemparkan oleh Allah SWT kedalam neraka jahannam, nauzubillahi min zalik. Seterusnya, saya ingin bawakan saudara-saudari semua berkenaan takrifan serta penerangan yang dikemukan oleh beliau :-

Riak menurut apa yang dibahaskan didalam kitab Bidayatul Hidayah karangan Imam Ghazali dinamakan "syirik khafi" satu di antara dua bahagian syirik.

1. Syirik khafi : Ertinya syirik yang samar, iaitu riak.

2. Syirik Jali : Ertinya syirik yang jelas, iaitu syirik menyembah berhala.


Apa yang dimaksudkan dengan makna riak menurut kefahaman kitab tersebut ialah bahawa engkau mencari sebarang penghargaan di hati manusia sehingga dengan itu engkau dapat mencapai pangkat dan darjat.

Manakala cinta kepada pangkat dan kedudukan pula menurut Imam Ghazali ialah termasuk dalam istilah "Hawan Muttaba" ertinya : Hawa nafsu yang diperturutkan. Akibat sifat riak inilah ramai yang menjadi binasa. Maka tidak ada yang membinasakan manusia kecuali hanya manusia itu sendiri. Seandainya manusia mahu memikirkan hakikat perbuatan mereka tentu mereka tahu bahawa kebanyakan ilmu yang mereka cari, apatah lagi adat yang mereka lakukan, tidak lain adalah berpunca dari dorongan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain sedangkan tujuan seperti ini adalah menghilangkan pahala amalan seperti yang disebutkan di dalam hadis Rasulallah SAW :

Ertinya : "Sesungguhnya ada orang yang mati syahid yang akan dihumbankan ke dalam api neraka pada hari kiamat nanti. Lalu ia merasa hairan dan mengadukan halnya kepada Allah sambil berkata : Wahai Tuhanku! Bukanlah aku telah mati syahid dalam membela agamamu? Allah menjawab : Tidak! Sebenarnya engkau sanggup mati syahid supaya engkau dikatakan seorang yang berani. Dan telah pun dikatakan orang demikian kepadamu. Maka itulah ganjaranmu.

Begitulah pula halnya dikatakan kepada orang yang alim, haji dan qari ( yang mereka riak pada amalan mereka). Mereka juga seperti mana orang-orang yang berperang semata-mata kerana riak untuk menunjukkan kehebatan di medan perang. Dewasa ini kita boleh menyaksikan, ramai manusia menjadi alim semata-mata mahu dipandang di mata masyarakat. Begitu jua sesetengah mereka yang mengerjakan haji, hanya bersifat hipokrit semata-mata untuk digelar dengan gelaran ‘haji’. Bahkan ada juga sesetengah qari/qariah tidak terlepas peluang untuk terlibat sama dengan saham dosa riak. Mendendangkan pelbagai alunan gaya bacaan, kemudiannya mengharapkan pujian dari manusia tetapi bukanlah kerana untuk mendapatkan keredhoan dariNYA. Sebenarnya tidak menjadi masalah untuk memperindahkan bacaan bahkan disuruh oleh baginda SAW. Akan tetapi amat malang sekali, bukan sahaja bergelumang dengan dosa riak bahkan kefahaman isi ayat tidak lagi menjadi pedoman hidup, segala macam hukum syariat hanya sekadar menjadi lukisan zaman yang terpahat didalam lembaran kalamullah. Itulah realiti masyarakat kita sekarang, baik di Malaysia khususnya dunia Islam umumnya.

Oleh itu, marilah sama-sama kita bermuhasabah kembali diri masing-masing, menghitung sejauh mana diri kita terhindar dari sifat-sifat mazmumah seperti ini. Semoga saya dan sahabat-sahabiah sekalian mendapat manfaat bersama dari artikel yang di siarkan. Insya’Allah di lain waktu jika diberi kesempatan oleh Allah SWT saya akan bawakan topik perbincangan yang lain pula. Sekian, wassalam.



Rujukan ; kitab Bidayatul Hidayah karangan Imam Ghazali


0 komentar:

Post a Comment

Blogger Muslimin

HarakahDaily.Net

Blogger Muslimat

Tranungkite Online V8

  © Blogger templates Newspaper by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP