Pemikiran Islam
Thursday, July 19, 2007
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم.. الحمدلله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف المرسلين، وعلى اله وصحبه أجمعين. أما بعد
Definisi
Sebuah definisi yang benar harus memenuhi dua hal : secara menyeluruh (jami’an) sekaligus mencegah (mani’an). Yang dimaksud dengan menyeluruh (jami’an) iaitu mencakup seluruh bahagian-bahagian sifat-sifat dari sesuatu yang didefinisikan. Yang dimaksud dengan mencegah (mani’an) iaitu mencegah masuknya makna asing kedalam sesuatu yang didefinisikan. Berdasarkan alasan di atas, Dr. Muhammad Husain Abdullah dalam kitab Dirasât fil fikri al Islami mendefinisikan pemikiran Islam sebagai berikut:
”Pemikiran Islam adalah usaha menilai fakta dari sudut pandang Islam. Dengan demikian, pemikiran Islam mengandung tiga hal, yakni :
(1) Fakta (al-waqi’);
(2) Hukum (justifikasi);
(3) Keterkaitan fakta dengan hukum”
Fakta dapat berupa benda mahupun perbuatan. Fakta berupa benda hanya memiliki dua macam hukum, yakni mubah (halal) dan haram. Buah anggur, misalnya hukum mubah, sedangkan arak (perahan buah anggur yang telah diperlakukan dengan diproses -penapaian- sehingga menjadi arak) hukumnya haram. Dalam konteks benda ini, ada sebuah kaedah syari’at yang diambil dari nas-nas al-Qur’an dan al-Hadis :
Hukum asal setiap benda adalah mubah, kecuali ada dalil yang mengharamkannya.
Dalam hal ini halalnya buah anggur tidak lagi memerlukan dalil khusus dari al-Qur’an dan Sunnah, sebagaimana halalnya buah epal, daging ayam, tauhu, rumah, kereta, perahu, pesawat, komputer, mesin cetak, dan benda-benda lainnya yang ada di daratan, lautan, mahupun udara berdasarkan keumuman makna ayat :
“Allahlah yang menunjukkan lautan untukmu supaya kapal-kapal dapat berlayar padanya dengan seizin-Nya, dan supaya kamu dapat mencari sebahagian kurnia-Nya dan mudah-mudahan kamu bersyukur. Dan Dia menundukkan untukmu apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir.” (Qs. al-Jâtsiyah [45]: 12 -13).
Sebaliknya, haramnya sesuatu harus ada dalil khusus yang mengharamkannya. Misalnya, haramnya minuman arak secara khusus adalah berdasarkan firman Allah :
“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.” (Qs. al-Mâ’idah [5]: 90).
Sedangkan jika fakta itu berupa perbuatan, maka hukumnya ada lima, yakni fardhu (wajib), mandub (sunnah), mubah, makruh dan haram. Misalnya, puasa Ramadhan hukumya wajib, bersugi hukumnya sunnah (mandub), makan roti mubah dan bermuamalah dengan riba itu haram. Kaedah Syara’nya adalah:
Hukum asal setiap perbuatan adalah terikat dengan hukum syara.
Hukum atas fakta harus diambil dari dalil-dalil syari’at iaitu Kitabullah dan Sunnah Rasul, Ijma’ Sahabat dan Qiyas.
Pemikiran Islam ada dua jenis, iaitu pemikiran yang berkaitan dengan akidah, seperti keimanan kepada Allah, kepada Rasul-rasulNya, kitab-kitabNya dan iman hari akhir. Dan pemikiran yang berkaitan dengan hukum syari’at yang bersifat praktik, seperti solat, puasa, zakat, haji, jihad, jual beli, sewa menyewa, akad nikah, akad perusahaan, akad khilafah, pengembangan pertanian dan perindustrian, dan lain-lain.
Asas-Asas Pemikiran Islam
Pemikiran Islam dibangun atas dua asas, yakni akal dan syari’at.
1. Akal – Islam telah memerintahkan manusia untuk mempergunakan akalnya. Allah mendorong manusia untuk memperhatikan alam semesta dan apa saja yang ada didalamnya dengan cermat, sehingga dapat menghantarkan kepada keimanan tentang adanya al-Khalik, yang menciptakannya. Allah Subhanahu wa ta'ala berfirman:
“Pada dirimu sendiri apakah kamu tidak memperhatikan?” (Qs. adz-Dzâriyât [51]: 21).
“Perhatikan manusia itu dari apa dia diciptakan.” (Qs. ath-Thâriq [86]: 5).
“Apakah mereka tidak memperhatikan pada kerajaan langit dan bumi dan segala sesuatu yang telah diciptakan oleh Allah.” (Qs. al-A’râf [7]: 185).
Dengan pengamatan seperti ini manusia, manusia boleh membuktikan adanya al-Khaliq Yang Maha Kuasa.
Dengan akalnya, manusia boleh menjangkau kewujudan al-Khaliq Yang Maha Esa yang telah menciptakan makhluq. Dengan akalnya pula, manusia boleh membuktikan bahawa al-Qur’an adalah kalamullah, dan Muhammad adalah Rasulullah. Oleh kerana itu, akal merupakan asas bagi aqidah Islam. Sekaligus menunjukan bahawa aqidah Islam adalah akidah aqliyyah. Aqidah yang menjadi asas bagi pemikiran Islam. Aqidah yang dibangun berdasarkan akal.
2. Syari’at – Sumber pemikiran Islam, dengan seluruh bahagiannya, adalah hukum syari’at yang bersumber dari wahyu, iaitu al-Quran dan as-Sunnah yakni Ijma' sahabat dan Qiyas. Syari’at merupakan asas pemikiran Islam. Sampai bilapun, pemikiran Islam tidak akan keluar dari syari’at. Agar suatu pemikiran dianggap sebagai pemikiran Islam maka harus digali dari dalil-dalil syari’at, misalnya jihad, syura, dan iman kepada jin.. Semuanya adalah pemikiran Islam yang datang dari dalil-dalil kitabullah dan Sunah Rasul. Adapun imperialisme, teori darwin, ataupun pemikiran sosialisme, bukanlah pemikiran Islam. Bahkan pemikiran Islam telah menjelaskan sikapnya terhadap pemikiran-pemikiran seperti ini.
Ciri khas pemikiran Islam akan hilang jika terpisah secara keseluruhan atau sebahagian dari wahyu. Allah melarang kita untuk melakukan pemisahan ini. Firman Allah :
“Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.” (Qs. Ali-Imran [3]: 85).
Pemikiran Islam tidak menerima tambal sulam sebagaimana yang dilakukan sebahagian orang yang mengambil perekonomian Marxis (Sosialisme) atau Kapitalisme, sedangkan akhlak atau interaksi sosialnya diambil dari pemikiran barat. Bahkan mereka terpesona dengan setiap perkara baru dan asing kemudian menyelitkannya kepada pemikiran Islam. Padahal yang seharusnya seorang muslim menerap pemikiran Islam secara bulat dan menyeluruh. Sebagaimana pesan Allah Subhanahu wa ta'ala dalam firman-Nya :
“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh nyata bagimu.” (Qs. al-Baqarah [2]: 208).
Seorang muslim menerap pemikiran secara kaffah dengan sepenuh keyakinan bahawa pemikiran islam itu adalah pemikiran yang paling jernih dan paling tinggi sebab sumbernya berasal dari Yang Maha Tinggi lagi Maha Mengetahui.
Wallahua'lam.
3 komentar:
Sekadar bertanya, kenapa guna colour ni? Susah nak baca, kena guna daya konsentrasi yang tinggi..
Terima kasih kepada Kak orangbukit yang sudi menyelidik artikel lama dan menegur. Alhamdulillah, sudah saya perbaiki. Teruskan membaca ya!
salam..
ana terpanggil untuk melihat artikel ini sebab ia ada kaitan denagn pemikiran islam, ana sebenarnya musykil, aliran wahabi dan syi'ah muncul kerana tidak mengikut asas pemikiran islam atau sebab lain?harap dapat bg penjelasan, syukran..
Post a Comment