Showing posts with label Akhlak. Show all posts
Showing posts with label Akhlak. Show all posts

Hikayat Egois Lelaki

Friday, October 31, 2008


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرحمن الرحيم.. الحمدلله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف المرسلين، وعلى اله وصحبه أجمعين. أما بعد

Seketika melalui lorong-lorong di sebalik rumah-rumah batu bertingkat itu seringkali mendengar perbalahan berlaku di kalangan masyarakat Mesir. Saamada sebesar-besar masalah ataupun sekecil-kecil masalah harus diperdebatkan. Baik lelaki mahupun perempuan. Kedua-duanya mempunyai persamaan sikap ‘hot temper’ nya. Mahu menang tidak mahu mengalah walau diri memang bersalah. Tegar dan tegas sekali pendiriannya.

Teringat lagi beberapa waktu yang lalu, sedang saya berbual bersama rakan di rumah. Kedengaran bunyi bising hiruk pikuk dengan suara volume tahap tinggi. Suara bergalau itu datangnya dari bawah rumah. Saya dapat mengagak, jika begitu bunyi sudah tentu ada perbalahannya. Kami cuba jenguk ke bawah memandangkan rumah kami di tingkat atas. Kalau gambaran kasarnya seperti rumah flat meninggi. Bagi kami, lebih ma’ruf dengan panggilan ‘Imarah Melayu’ di sini ( Imarah ialah sebuah bangunan ). Sangkaan saya tidak meleset, sememangnya berlaku pertengkaran. Masya’Allah, bukan sahaja lelaki wanita juga sama tinggi suaranya. Sekali pandang seperti peperangan dunia ketiga sudah hampir berlaku.

Jika tidak silap sumbernya, pergaduhan itu bukanlah kerana berebut wilayah, tanah atau juga berebut suami isteri tetapi hanyalah kerana sedikit salah faham yang tidak sampai hati untuk saya tulis di sini. Itu salah satu kes dalam seribu kes saya alami. Terimbau kembali keadaan semasa mula-mula menjejakkan kaki ke tanah anbia’ 2 tahun yang lalu. Saya tergegau dengan pertukaran budaya secara mendadak. Mendengar perbalahan suara-suara garau adalah terlalu asing buat diri. Sedikit cuak menyelubungi diri. Apa tidaknya, ketika mula-mula sampai di Mator ( Airport ) Kaherah, Mesir saya sudah dimarahi. Lelaki berpakaian putih penjaga tiket itu rupanya seorang Polis. Ketika sampai giliran saya, lantas saya dimarahnya bertubi-tubi. Terpinga-pinga diri tidak tahu untuk menjawab mahupun membalas. Dahi sudah berpeluh, mata-mata semuanya tertumpu memandang, jantung berdebar-debar.

“Aduhh, macammana ni..apa silap aku?,” bisik hati tidak mampu bersuara.

Terus saya mendapatkan Ustaz yang menjadi ketua kumpulan kami. Akhawat-akhawat di belakang sudah mula bising-bising. Kedengaran seperti takut nadanya.

“Ermm, patutlah enta silap isi borang..ambil isi balik guna nama sendiri”

Rupa-rupanya saya yang tersilap mengisi borang. Kelam kabut sampai tidak mampu concentrate. Maklumlah, hati masih sayu berpisah dengan keluarga 12 jam yang lepas. Fikiran masih menerawang ketika itu teringatkan kampung halaman. Masih tidak percaya sudah berada di persekitaran berbeza. Walaubagaimanapun, segalanya memori pahit berbaur manis itu membuatkan saya termenung dan tersenyum sendirian berulang kali.




Egois Lelaki

Sebenarnya mahu berbicara berkenaan ego, tetapi melalut ceritanya ke kisah dimarahi Polis arab pula. Apapun boleh juga dikaitkan dengan cerita sebenar. Antara marah, ego dan lelaki. Baiklah, sebagaimana umum tahu lelaki sememangnya mempunyai sifat berbeza dengan wanita. Samaada dari segi cara berfikir, emosi, pendirian, tingkah laku dan sebagainya. Sikap lelaki sememangnya dibekalkan dengan keegoan. Sikit atau banyak, berakhlak atau tidak itulah yang mampu menguasai keegoan seorang lelaki. Lihat sahaja dalam pemerintahan, lelaki dengan senang hatinya mahu menjadi ketua, mahu menguasai wilayah, mahu ada kuasa. Berbeza dengan wanita, mereka lebih gemar akan hal-hal yang berbeza dengan lelaki. Lebih tertumpu dan detail pekerjaannya sehingga sekecil-kecil perkara turut diambil pusing. Itu bukan kelemahan!jangan disalah anggap. Itulah kesempurnaan. Baiklah, cuba kita lihat perbualan di bawah ini.

Hiwar 1

“Budin, hang try tolong aku masak hari ni pulak.” 

“Arrgh, benda remeh ja tu..buatla sendiri. Suruh aku pulak. Banyak masalah Negara aku tengah fikir ni..” Bangkang rakannya.

Hiwar 2

“Demo tokleh wat gitu, buat supo kawe nih..berat demo.” Tegur seseorang.

“Biar arr, ikut kawe nak wak guano. Buke sabit ko demo pun.” Balas seseorang pula.

Hiwar 3

“Abang nii, suruh bancuh susu pun tak reti…itu belum suruh masak, basuh baju, kemas rumah, jaga anak..”

“Awak ni banyak membebal tengah-tengah malam ni apahal? Takda masa saya nak buat benda-benda gini!.” Jerkah Si Suami.

Perbualan lazim didengari melibatkan insan bergelar lelaki, samaada peringkat perkuliahan ataupun sudah berumah tangga. Dalam perbualan itu, jika tidak kena konsep hikmahnya saya yakin ia akan berpanjangan. Malahan boleh membawa kepada perbalahan dan keretakan serius keakraban dua insan. Bila bertemu api dan api jika tidak dibendung nescaya bertambah maraklah api itu menjadi sebesar-besarnya bahkan mampu membakar hutan-hutan simpan seperti di Sumatera dahulu. Api lawannya Air. Berhikmahlah dalam menangani.
 
Tauladan Mulia

Memang dan teramat susah untuk mengikuti tauladan junjungan mulia penghulu Nabi iaitu Rasulullah SAW. Ini kerana, isteri baginda Saidatina Aisyah r.a sendiri mengakui akhlak baginda ialah Al-Quran. Tinggi pekerti, luhur akhlaknya, hemah berbicara, lapang dada merupakan antara sifat seorang Nabi yang ma’sum. Namun kita dianjurkan untuk menjadi baginda SAW sebagai role model. Manusia tidak sempurna, menuju kesempurnaan itu sebaik-baiknya.

Tercatit di dalam sirah, ketika mana Nabi Muhammad SAW hendak membuka kota Mekah dalam peristiwa fathul Mekah beliau menyuruh sesiapa di antara penduduk Mekah yang ingin selamat boleh berlindung di rumah Abu Sufian. Kerana baginda tahu, Abu Sufian salah seorang pembesar Mekah yang sukakan kemegahan dan penghormatan sebelum itu. Akhirnya, Abu Sufian memeluk Islam. Lihatlah bagaimana hikmahnya Rasulullah SAW berdepan dengan keegoan seorang lelaki. Luntur, luluh, jatuh berderai ego menjadi debu-debu berterbangan ditiup angin gurun. Diriwayatkan dalam kitab adab, Hakim dan Baihaqi bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”

Antara contoh lain dikalangan sahabat ialah sikap Khalifah Umar Al-Khattab bila mana menjadi Khalifah Islam selepas Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Dalam suatu peristiwa, Saidina Umar ditegur kerana statement berkenaan penetapan mas kahwin yang dikeluarkannya mengundang ketidakpuasaan hati wanita. Lantas wanita tadi menegur pemimpin Islam itu. Adakah Saidina Umar marah? Tidak sama sekali. Bahkan beliau mengiyakan serta menerimanya. Subhanallah, sungguh! Tiada kalam pujian yang mampuku tuturkan lagi buat Rasulullah SAW dan para Sahabat.

Apa reaksi jika pemimpin kita ditegur? Isteri menegur suami? Saya fikir, anda boleh membayangkannya.

Kesimpulan

Konklusinya, dua hikmah yang berbeza dalam dua situasi. Egois bertemu Egoistik. Pertamanya dari penegur itu sendiri, keduanya dari yang ditegur. Kedua-duanya jika kena cara hikmahnya, saya yakin akan jarang berlaku perbalahan rakan taulan, konflik rumah tangga, krisis kepimpinan tidak berakhlak dan sebagainya. Nescaya akan wujud ‘Al-Ukhuwwah wasalamatu sadri’. 



Ibnurashidi
1:17PM, 31 Oktober 2008,
Siberbay.




"Luangkan sedikit masa anda untuk berkomentar, semoga sama-sama mendapat Tsaqafah dan Ilmu berguna..."

Read More......

Sepakat Kata Dalam Satu Muhasabah

Friday, September 19, 2008


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرحمن الرحيم.. الحمدلله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف المرسلين، وعلى اله وصحبه أجمعين. أما بعد

“Patah Tumbuh Hilang Berganti” satu peribahasa melayu yang cukup menarik maknanya. Hilang sesuatu akan muncul sesuatu meneruskan kesinambungannya. Baik sesuatu itu mahal harganya mahupun yang rendah nilai kualiti. Bertitik tolak dari itu, kami selaku anak-anak perantauan di bumi anbiya’ ini memerlukan sebuah persatuan yang mampu memayungi dan menjaga kebajikan seisinya. Ibarat sebuah pokok, hilangnya ranting reput perlu diganti tunas baru supaya benih pokok itu terus hidup memberi manfaat daripada keluaran buahnya mahupun faedah-faedah lain.

Alhamdulillah, Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) 2008 kali ke-16 berjaya dianjurkan sekali lagi. Motifnya seperti juga tahun-tahun lepas, mahu bermuhasabah perjalanan kepimpinan persatuan selama satu sessi, memberi dan mengambil idea bernas berkualiti serta berketrampilan untuk diterima pakai. Selain itu, ia bertujuan menerima reaksi dari kalangan ahli itu sendiri bagi membentuk dan meningkatkan kematangan Mahasiswa Azhari dalam berpesatuan.

Dalam Sepakat Itu Ada Kepelbagaian

Amat susah hendak menyatukan manusia di dalam satu kata, satu kata sepakat yang utuh dan jitu. Namun usaha sedaya upaya itu perlu, harus Istimrar sentiasa supaya cetusan gagasan dibina tidak mudah lemas dalam arus deras globalisasi. Ingatlah ketika mana Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah bagi membentuk sebuah Daulah suatu masa dulu, begitu juga keadaannya. Menyatukan Muhajirin dan Ansar dalam sebuah kesepakatan sehingga sanggup berkorban apa saja demi Islam. Tidak dinafikan, dalam satu masyarakat itu tidak dapat lari dari wujud pelbagai fikrah berbeza. Namun bukanlah halangan untuk disatukan, gunakanlah kaedah bertolak ansur dan dalami jiwa nescaya bertemu titik persamaan itu.


“habis tu kalau mereka tak nak bersatu juga macammana ya?,” soal seseorang.

“tunjukkanlah akhlak yang baik, kepimpinan yang mantap mesti akan tunduk hormat musuh walau tidak menerimanya, silap haribulan terus sama-sama join,” balas seseorang pula.

“bolehke?,” masih tidak berpuas hati jawapan diberi.

“sudah tentu boleh, Rasulullah SAW dan sahabat sudah try.” Jawab ringkas.


Perlu Payung Memayungi

Apabila hujan mahupun panas, orang-orang lama selalu berpesan gunakanlah payung untuk melindungi. Nanti sakit demam susah pula. Begitulah kami di sini, tidak mampu bersendirian mengurus diri dan masalah. Perlu ada yang memayungi supaya terhindar masalah. Disamping itu, menceburkan diri ke dalam arena kepimpinan memberikan peluang tarbiyyah untuk menjadi da’ei yang berkualiti serta ilmu berguna duniawi dan ukhrawi.


 Menyiapkan Backdrop...

 
Barisan AJKT lama...



Pada program MAT ’08 berlangsung 14 September 2008 baru-baru ini saya diberi amanah menjadi Ad-Hoc pelaksana bahagian Unit Persiapan. Bagi saya, apa jua amanah yang diberikan bukanlah suatu perkara yang ringan untuk memikul. Berat!. Namun sedaya upaya dikerahkan tenaga dan fikiran memberikan komitmen sebaik mungkin demi kejayaan. Bukan sahaja pada diri, malah sahabat seperjuangan yang lain. Firman Allah Jalla Wa Ala :-


إِنَّ اللهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا اْلأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَ

“Sesungguhnya Allah memerintahkan kalian untuk menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya.” [An-Nisa`:58]


 
 Name Tag Program...

 Pentas Simple...


Kesimpulan

Akhirnya, ingin saya ucapkan sekalung tahniah kepada kepimpinan baru Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta ( DPMT ) 2008/2009. Jalankanlah tanggungjawab dan amanah yang diberikan. Ingatlah pesanan Rasulullah SAW ketika memegang amanah :-


آيَةُ الْـمُنَافِقِ ثَلاَثٌ: إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ

“Tanda-tanda orang munafiq ada tiga: Jika berbicara berdusta, bila berjanji tidak menepati janjinya, dan apabila diberi amanah mengkhianatinya.” (HR. Muttafaqun ‘alaih)


Semoga muhasabah pada Mesyuarat Agung Tanta baru-baru ini memberikan anjakan untuk terus berbakti kerana Allah SWT. Sekian, Wassalam.




Ibnurashidi
6:30AM, 20 September 2008,
Siberbay.



"Luangkan sedikit masa anda untuk berkomentar, semoga sama-sama mendapat Tsaqafah dan Ilmu berguna..."

Read More......

Panas Batu Api Hilang Sejuk Silaturahim

Wednesday, August 13, 2008


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرحمن الرحيم.. الحمدلله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف المرسلين، وعلى اله وصحبه أجمعين. أما بعد

“Penyakit yang berlaku dalam masyarakat ini seringkali terjadi dan menjadi-menjadi. Malah ada pula merasa bangga dan gembira pula dapat berbuat demikian tanpa sedikit pun merasa takut sebab dan akibat akan diterima kelak. Anologinya mudah, seorang lelaki atau perempuan telah mengadu domba ( yakni menjadi batu api ) perihal sebelah pihak ke sebelah pihak yang lain. Perkara-perkara yang menjadi topik hangat pengaduan tersebut berkaitan hal-hal negatif sehingga timbul fitnah dan merenggangkan hubungan kedua pihak”

عن حذيفة بن اليمان رضى الله عنه فال : سمعت النبى صلى الله عليه وسلم يقول : لا يدخل الجنة نمام
Daripada Huzaifah bin Al-Yaman r.a katanya : Mendengar dari Nabi SAW bersabda : Tidak masuk syurga orang yang batu api ( pengadu domba ).
Hadis ini dikeluarkan dari Al-Bukhari kitab Adab bab larangan dari mengadu domba. 10/847 nombor 6056. Juga dari Muslim kitab Iman bab keterangan permusuhan haram mengadu domba 1/101 nombor 105.

Makna Kalimat

1. Syurga ( الجنة ) : Ialah satu tempat penuh kenikmatan di akhirat kelak disediakan oleh Allah SWT kepada mereka yang beriman dan bertaqwa serta mentaati perintahnya menjauhi larangannya. Iaitu sebuah tempat yang ditutupi dengan pokok-pokok syurga, dinaungi mereka dengan dahan-dahan pokok. Dibawahnya mengalir sungai-sungai indah. Gambaran syurga ini telah dirakamkan dalam firman Allah SWT :

Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang takwa ialah (seperti taman); mengalir sungai-sungai di dalamnya; buahnya tak henti-henti sedang naungannya (demikian pula). Itulah tempat kesudahan bagi orang-orang yang bertakwa, sedang tempat kesudahan bagi orang-orang kafir ialah neraka.
( Ar-Ra’d : 35 )

Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang sopan menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka), dan tidak pula oleh jin.
( Ar-Rahman : 56 )

Dan dimasukkanlah orang-orang yang beriman dan beramal saleh ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya dengan seizin Tuhan mereka. Ucapan penghormatan mereka dalam syurga itu ialah "salaam"[Ertinya: sejahtera dari segala bencana].
( Ibrahim : 23 )

2. Pengumpat, pengadu domba ( نمام ) : Merupakan sighah mubalaghah dari ( النميمة ) iaitu bermaksud : Menaqalkan ( memindahkan ) percakapan dari satu kaum kepada kaum yang lain dengan bersifat keburukan. Itu dari segi makna namanya. Manakala dari segi perbuatannya ialah : Membesar-besarkan janji buruk dengan makna membuatkan perkara kecil menjadi besar sehingga timbul permusuhan diantara satu sama lain.


 Orang beriman sentiasa bersaudara seperti sekawan burung terbang diawanan..


Ulasan

Syurga itu merupakan sebuah tempat yang disediakan oleh Allah SWT kepada orang yang mengabdikan diri kepadaNYA. Iaitu sebuah tempat yang dijanjikan yang mana tidak terbayang dek mata kasar, tidak terdengar dek telinga manusia, tidak terlintas difikiran manusia malah hati juga sama akan bagaimana gambaran sebenar syurga yang dimaksudkan. Syurga itu di dalamnya kebaikan sentiasa bertambah-tambah dari semasa ke semasa. Itulah sebuah tempat yang dijanjikan kepada hamba-hambanya yang beramal soleh, akhlaknya baik sesama manusia, sentiasa patuh suruhan agama Islam .


Persoalannya, tempat yang baik penuh dengan kenikmatan bagi orang-orang beriman bertaqwa itu adakah layak pula bagi mereka-mereka yang mempunyai hati yang kotor menzahirkan pula akhlak buruk serta ingkar suruhan Allah SWT?layakkah meletakkan batu api yang panas membara diletakkan ditempat suci seperti syurga. Sudah tentu tidak bukan. Dalam hadis lain Nabi SAW bersabda bermaksud :-

“Orang batu api, bersumpah, dengki di dalam neraka tidak ada di dalam hati orang mukmin”
( At-Thobaroni fi Mu’jam Al-Kabir 12/445 bernombor 13615 )


Panasnya batu api itu..


Nabi Muhammad SAW menceritakan kepada kita di dalam hadis bahawa Allah SWT mengharamkan syurga bagi sesiapa yang ketika berada di dunia sentiasa melakukan maksiat, suka memecah belahkan diantara orang yang berkasih sesama saudara dengan memutuskan tali silaturahim kerana Allah SWt dan Rasulullah SAW bencikan mereka-mereka bersifat sebegitu. Ini kerana di dalam syurga itu hanya layak bagi mereka yang menjaga hatinya dari sifat-sifat tercela dan kotor peribadinya. Oleh sebab itulah syariat mengharamkan umat Islam daripada melakukan perkara keji tersebut dengan mengumpat, mengadu domba, memecah belahkan umat dan bersifat dengan sifat buruk lain lagi. Ini jelas akan mencetuskan huru hara dalam masyarakat bahkan memutuskan tali silaturahim sedia terbina selama ini. Di dalam membina sebuah Negara Islam misalnya, kekuatan perpaduan, bersatu hati sesama Islam diperlukan bagi menjamin keutuhan daulah yang di bina. Ini dapat dilihat dari permulaan berdirinya daulah Islam Madinah dahulu, Rasulullah SAW berusaha menyatukan kaum-kaum bertelagah terlebih dahulu barulah mengembleng kekuatan lantas mewujudkan suatu ketumbukan kekuatan umat Islam yang jitu.


Kesimpulannya

Jika bertanya kepada semua orang hatta kepada mereka yang jahat sekalipun adakah mahu masuk syurga sudah tentu akan dijawabnya “Ya”. Manusia normal yang mustanir pemikirannya lebih-lebih lagilah cintakan syurga dan takut dilemparkan ke neraka. Nauzubillahhi min zalik. Malah yang lebih utama dari itu ialah mendapat keredhaan Allah sepanjang kehidupan kita Insya’Allah. Maka jauhilah sifat-sifat tercela itu jika anda mengaku sayangkan Nabi Muhammad SAW, kasihkan umat Islamnya, cintakan Allah SWT.



Rujukan :-

1.Kitab Mukhtarat Min Kanuz Sunnah, Oleh Doktor Aiman Mahmud Mahdi, Ustaz 2.Hadis wa Ulum Al-Musaid ketua bahagian hadis kuliah Usuluddin Wa Dakwah Islamiyyah Tanta.
Al-Quran
 

Ibnurashidi
5:56 PM, 13 Ogos 2008,
Siberbay.





"Luangkan sedikit masa anda untuk berkomentar, semoga sama-sama mendapat Tsaqafah dan Ilmu berguna..."

Read More......

Blogger Muslimin

HarakahDaily.Net

Blogger Muslimat

Tranungkite Online V8

  © Blogger templates Newspaper by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP